Limpahan Karisma Harmoni R&B Signatur Boyz II Men Di Suatu Malam Yang Manis Di Kuala Lumpur

oleh: zizi hashim

Membesar dalam dekad emas R&B, saya menyambut kedatangan malam 25 Mei 2025 dengan satu perasaan yang sukar diterjemahkan. Langkah kaki menuju Megastar Arena Kuala Lumpur terasa seperti kembali ke masa lalu, menelusuri lorong-lorong Sungei Wang yang menyimpan gema tawa remaja dan detik-detik patah hati yang pernah dibalut oleh lagu-lagu dari 3 suara emas asal Philadelphia itu. Terlalu banyak emosi melimpah ruah, antisipasi saya Boyz II Men akan menghadiahkan sebuah malam yang menjangkaui sekadar hiburan. Ia menjadi perayaan memori, tempat jiwa-jiwa lama kembali bertaut dan merawat diri.

Boyz II Men — 3 nama, 3 suara, 3 jiwa yang pernah menjadi latar kepada ribuan kisah cinta, kehilangan, dan harapan, kembali menyapa peminat Malaysia dalam sebuah konsert yang seolah-olah ritual penyembuhan. Disusun oleh Shiraz Projects, konsert ini tidak berdiri sebagai acara hiburan semata, tapi sebagai jambatan waktu, menghubungkan semula kita dengan diri yang pernah kita jadi suatu ketika dahulu. Lampu dipadam perlahan, sorakan menggema, dan sebaik nota pertama “Can’t Let Her Go” berkumandang, hati ini tahu, malam ini akan menyentuh tempat yang paling terdalam.

Degup jantung yang mula laju, bukan kerana keterujaan semata-mata, tetapi kerana ekspektasi bahawa sesuatu yang sentimental akan hadir. Dan benar, begitu sahaja “Can’t Let Her Go” dilontarkan ke udara, seluruh ruangan Megastar Arena larut dalam irama. Mereka tidak perlu perkenalkan diri, kerana kita sudah lama kenal mereka, sejak era kaset, mixtape, dan surat cinta yang dilipat kemas. Mereka tidak hanya menyanyi, mereka menyampaikan rasa. Suara-suara yang dulu mengisi radio dan kaset walkman kini berdiri di hadapan, utuh, matang, tetapi tetap dengan getar yang sama. 

Nathan, Shawn dan Wanya tampil sederhana, namun auranya tetap megah. Sejak Michael McCary meninggalkan kumpulan kerana masalah kesihatan 2 dekad lalu, trio ini telah membuktikan bahawa cinta terhadap muzik tetap teguh bertahan meskipun formasi line-up telah berubah. Vokal mereka, meski tidak semuda dahulu, masih mampu menyentuh urat perasaan dengan cara yang tidak semua penyanyi mampu lakukan. Ada yang memanggil mereka “Raja R&B” namun bagi saya malam itu, mereka lebih dari sekadar raja. Mereka adalah wira penyelamat nostalgia.

"Don’t Stop ‘Til You Get Enough” membawa riuh rendah, namun ketika intro lagu kegemaran saya “Water Runs Dry” mula menyusup ke udara, suasana berubah. Seluruh arena bagaikan disedut masuk ke satu alam yang lain. Diam. Lalu jeritan perlahan, dan akhirnya nyanyian serentak ribuan jiwa yang mungkin tidak pernah bertemu, tapi pernah terluka dan sembuh dengan lagu yang sama. Setiap jiwa yang hadir, tak kira usia, mula sing-along. Lagu itu, dan banyak lagi selepasnya, adalah serpihan hidup yang pernah kita simpan dalam diam.

Mata terpejam, tangan terangkat melambai, seolah-olah semua khalayak yang membanjiri Megastar Arena itu kembali ke satu titik yang pernah wujud dalam hidup mereka. Saya sendiri terdiam sejenak saat “On Bended Knee” berkumandang. Lagu itu pernah menjadi teman di kala hati sedang remuk teruk. Saat cinta pertama pergi tanpa pesan. Dan di tengah ribuan penonton yang bersatu dalam harmoni, saya sedar, luka itu masih ada, namun malam itu, ia tidak lagi pedih. Ia cuma tinggal kenangan yang akhirnya saya peluk tanpa gentar.

Momen yang paling menyentuh ialah ketika “I’ll Make Love To You” dilagukan. Tiba-tiba seluruh arena menjadi langit semesta, dengan lampu telefon bimbit yang bersinar seperti bintang. Bukan sekadar visual yang cantik, tetapi simbol cinta yang tidak pernah mati. Ada yang berlinanga airmata, ada yang berpelukan, dan saya? Saya cuma duduk diam, menikmati suara-suara itu yang terasa seperti pelukan hangat dari masa lalu. Boyz II Men tidak hanya menyorot nostalgia, tetapi memberi sesuatu yang segar. Segmen medley yang menampilkan “Purple Rain”, “Come Together” dan “Locked Out of Heaven” membuktikan betapa luasnya spektrum muzik mereka. Dari balada ke soul, dari pop ke rock, harmoni tetap menjadi senjata utama mereka. Dan meski mereka keluar dari zon selesa, mereka tak pernah kehilangan intipati.

Lagu-lagu hits Boyz II Men sentiasa menjadi jendela ke masa silam buat saya. Saat lampu telefon bimbit dinyalakan, suasana jadi syahdu, seperti langit malam yang dihiasi bintang, dan setiap cahaya memegang cerita tersendiri. Wanya sempat berkata, “Muzik adalah penyembuh paling jujur. Malam ini, kita sembuh bersama.” Kata-kata itu masuk terus menyelinap ke dasar hati. Betapa tepat dan mendalamnya maksud itu. Saat hidup menghimpit dengan beban dan kehilangan, malam itu menjadi ruang rehat, ruang untuk menarik nafas dan percaya bahawa kita tidak keseorangan dalam rasa. Seakan-akan semua luka lama yang tak pernah sempat diungkap akhirnya mendapat ruang untuk dilepaskan.

Setiap bait lirik terasa seperti surat cinta lama yang baru dibuka semula. Tidak keterlaluan jika dikatakan, malam itu, muzik telah menjadi bahasa antara hati yang terluka dan harapan yang perlahan tumbuh kembali. Ketika “It’s So Hard to Say Goodbye to Yesterday” dan "One Sweet Day" didendangkan, dengan wajah Michael McCary terpapar di skrin, perasaan rindu mencengkam. Ramai yang mengesat air mata dan saya sendiri tidak terkecuali. Lagu itu, bukan sekadar ucapan perpisahan, tetapi salam untuk kenangan yang kekal hidup dalam diam. Muzik jiwa tidak mati, ia hanya berpindah tangan, dari satu generasi ke generasi lain, seperti pusaka yang penuh makna.

Konsert ini dirancang seperti naratif hidup: bermula dengan semangat, melintasi luka, menyinggah di rindu, dan akhirnya pulang dengan harapan. Lagu demi lagu menjadi bab dalam cerita yang dikongsi bersama. Suara mereka bukan sekadar vokal, tetapi gema emosi yang hidup kembali dalam dada setiap pendengar. Yang menyentuh hati juga, ialah penonton. Dari generasi X ke Z, ibu bapa yang membawa anak remaja, pasangan yang memegang tangan erat sepanjang lagu cinta didendang, semuanya bersatu di bawah satu langit muzik yang pernah, dan masih, menjadi nafas jiwa. Konsert ini bukan saja tentang Boyz II Men, tetapi tentang bagaimana muzik menjadi jambatan antara waktu dan manusia.

Mereka tidak berdiri di puncak carta hari ini, tetapi mereka tetap berada di puncak hati kita semua. Lebih 60 juta album terjual, 4 anugerah Grammy, dan satu legasi yang tidak ternilai. Malam itu membuktikan, tidak semua bintang memerlukan langit untuk bersinar. Terkadang, mereka hidup di dasar hati kita, menyala perlahan, cukup untuk menerangi bahagian hidup yang pernah gelap. Saat lagu penutup “Motownphilly” dilaungkan, Megastar Arena bergema dengan tepukan. Ucapan terima kasih untuk semua yang pernah Boyz II Men berikan. Dan saya melangkah keluar usai konsert dengan dada penuh rasa, rindu yang manis, luka yang telah diubati, dan satu keyakinan bahawa muzik yang jujur akan sentiasa menemukan jalannya. Boyz II Men tidak hanya menghidupkan semula era emas R&B. Mereka menghidupkan semula kita.

Foto Kredit: Sudasan