Percikan Cinta 'Joy Splash' Tak Pernah Padam, Bertemu ReVeluvs Di Kuala Lumpur Dalam Satu Nafas

oleh: zizi hashim

Malam itu terasa seperti sekeping ruang yang perlahan-lahan dipenuhi cahaya. Bukan cahaya lampu pentas semata, tetapi cahaya rindu yang lama disimpan. Zepp Kuala Lumpur, 25 April lalu, menjadi saksi bagaimana seorang figura bernama Joy tidak sekadar hadir sebagai penyanyi, tetapi sebagai penglipur lara yang diam-diam mengisi ruang kosong dalam jiwa lebih 1,500 ReVeluvs yang berkumpul.

Langkah pertama Joy ke pentas membuka tirai dengan “Hello”, sebuah sapaan yang terasa lebih daripada sekadar lagu. Ia seperti pelukan mukadimah yang lembut, jujur, dan penuh makna. Sejak detik itu, suasana terus mengalir tanpa putus. “Je T’aime” dan “La Vie En Bleu” menyusul, membalut ruang dengan nuansa romantik yang halus, sebelum emosi diperkaya melalui lagu-lagu runut bunyi drama Korea seperti “Introduce Me a Good Person”, “My Lips Like Warm Coffee”, “Yeowooya” dan “Shiny Boy” di mana setiap satunya seakan membawa cerita yang pernah kita lalui dalam diam.

Suara Joy tidak hanya didengar, tetapi turut dirasakan. Setiap not seperti mengalir masuk ke dalam ruang yang paling peribadi, menyentuh sesuatu yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Energi malam itu berubah bentuk saat Joy kembali kepada akar kumpulannya. “Red Flavor”, “Feel My Rhythm” dan “Peek-a-Boo” hadir bersama gerak tari dansa yang penuh pesona. Riuh sorakan penonton seperti ombak yang tidak pernah surut. Kerinduan terhadap Red Velvet bagaikan jelas terubat, meski hanya untuk seketika.

Namun, keindahan sebenar konsert ini terletak pada momen yang lebih sunyi. Satu surat daripada peminat dibacakan, tentang bagaimana karya Joy menjadi tempat berlindung daripada keresahan dan anxiety. Suasana tiba-tiba menjadi perlahan. Seolah-olah seluruh dewan bernafas dalam ritma yang sama. Dan ketika Joy membalas dengan penuh empati, terasa bahawa malam itu bukan sekadar hiburan, tetapi ruang penyembuhan.

Segmen acapella “Ice Cream Cake” menjadi titik di mana sempadan antara pentas dan penonton hilang sepenuhnya. Tiada jarak. Tiada batas. Hanya suara yang saling bertaut, mencipta satu pengalaman kolektif yang sukar dilupakan. Joy juga tidak melepaskan peluang untuk benar-benar mendekati peminat dengan bermain teka lukisan, berbalas pesanan, ketawa kecil yang terasa jujur. Semua itu menjadikan malam tersebut terasa intim, seakan pertemuan lama yang akhirnya menemukan kembali suara yang dirindui.

Perjalanan malam itu dilengkapkan lagi dengan “Love Splash”, “Day by Day”, “Happy Birthday to You” dan “Scent of Green”, sebelum encore membawa gelombang terakhir dengan “Zimzalabim”, “You Better Know” dan sekali lagi “Hello”, seakan mengikat seluruh perjalanan menjadi satu lingkaran yang sempurna. Ada sesuatu yang sukar dijelaskan tentang malam itu. Ia bukan sekadar konsert. Ia adalah pertemuan antara kenangan dan harapan. Antara luka yang belum sembuh dan lagu yang perlahan-lahan merawat. Dan mungkin itulah sebabnya, ramai yang pulang bukan dengan tangan kosong, tetapi dengan hati yang sedikit lebih ringan.

Bagi peminat setia, rata-rata yang mengakui Joy sebagai “cinta pertama”, malam itu adalah lebih daripada sekadar nostalgia. Ia adalah bukti bahawa muzik mampu mengekalkan rasa, walau masa terus bergerak ke hadapan. Joy Splash akhirnya menjadi satu pengalaman yang tidak hanya dinikmati, tetapi dirasakan sepenuhnya. Sebuah malam yang membuktikan bahawa dalam dunia yang serba cepat ini, kejujuran masih mampu menyentuh jiwa dengan perlahan, tetapi pasti.

Dan di hujung segala gema itu, satu harapan kecil masih berbisik, agar suatu hari nanti, Red Velvet kembali berdiri bersama di pentas yang sama, membawa pulang seluruh warna yang pernah mereka ciptakan. Mungkin?