
oleh: zizi hashim
Langkah pertama menjejak lantai Dewan Orkestra ASWARA pada tanggal 20 September 2025 sudah cukup untuk membuat hati berdebar-debar. Suasana malam itu seperti sedang menyimpan rahsia, yang akhirnya meledak menjadi pesta rock penuh jiwa. Pistol & Bunga bukan hanya sebuah showcase, ia adalah naskhah yang menulis sejarah kecil, mempertemukan maestro, otai legenda, dan generasi pelapis dalam satu pentas yang bergetar dengan emosi. Pistol & Bunga berdiri sebagai simbol, keras dan lembut, garang dan indah, bersatu di atas pentas dengan aura yang bergelora.
Sekilas cahaya gemerlap menyapu pentas, dan bayangan gitaris dikagumi ramai pun muncul. Edrie Hashim, maestro gitar yang sekian lama berdiri sebagai arkitek bunyi rock tanah air melangkah dengan penuh karisma. Ketika jari-jemarinya meluncur ke Answers karya Steve Vai dan Flight of the Wounded Bumblebee oleh Nuno Bettencourt, seluruh dewan seakan disambar kilat. Setiap petikan gitarnya adalah peluru bercahaya: tajam, terarah, dan penuh disiplin. Nafas penonton tertahan, bulu roma berdiri, dan seketika udara hanya dipenuhi oleh gema enam tali yang menguasai segenap ruang Dewan Orkestra ASWARA.


Gelombang itu diteruskan dengan dua karya asli ciptaan Edrie sendiri, Terpaling dan Sakti. Bukan sekadar lagu, tetapi helaian diari seorang seniman yang menulis kisah perjalanannya melalui gitar. Bunyi itu membawa kita kepada sisi peribadi Edrie: seniman yang terus mencari, terus menolak batas, namun tetap berpijak pada tanah seni yang dibinanya sejak puluhan tahun. Bersama Hafiz Shah (dram) dan Ijoy (bass), The Edrie Hashim Experience mencabar kredibiliti dalam persembahan penuh teknikaliti, gaya dan jiwa.
Dan tiba saat nostalgia merasuk. Medley hits ciptaan beliau Suralaya Dalam D Major (Amy Search), Ampunkan Aku (DefGabC), dan Iris (Awie) bagai pintu ajaib yang terbuka, membawa penonton kembali ke masa muda, ke kamar remaja berteman radio kecil. Ada yang menyanyi perlahan, ada yang hanya tersenyum dengan mata menyala. Malam itu, muzik automatik menjadi mesin waktu. Hadir kejutan yang tidak disangka: medley hits itu dilantunkan dengan vokal Edrie sendiri. Ada kejujuran yang raw, ada getar yang tidak berpura-pura. Ramai tersenyum kagum, kerana surprise malam itu menjadi, satu sisi lain Edrie yang jarang dipamerkan, menambahkan lagi pesona dan versatiliti beliau sebagai pemuzik serba boleh.


Ada momen-momen istimewa yang meninggalkan kesan mendalam dalam diri setiap khalayak, saya pasti ketika sessi jamming Little Wings menjadi jeda yang hangat, seolah-olah kita semua sedang duduk sebumbung, berkongsi muzik tanpa sempadan. Malam itu tidak hanya milik legenda. Ia juga milik pelapis muda yang menghidupkan pentas dengan keberanian. Aqil Daniel (gitar), Muhammad Furqan (gitar), Adam Hazreeq (gitar), Soehad Daniey @ Kong (gitar), Muhamad Basir (bass), Muhammad Khairul Hanafie (kibod), Mirza Izani (dram), Muhammad Khairin (dram) dan Hanifah Naimi (dram), yang lulus ujibakat, berdiri setaraf profesional.
Dari teknik permainan, keyakinan, hingga disiplin pentas, mereka adalah wajah masa depan rock Malaysia yang sedang ditempa. Melihat mereka beraksi, saya teringat wajah-wajah Candy dan Edrie di awal perjalanan mereka. Penuh mimpi, penuh berapi! Dan satu lagi momen paling menyentuh hadir saat Redha (The Victory) dialunkan. Gitar Edrie menjadi doa, menjadi ratapan, menjadi solidariti untuk Palestin. Dewan terdiam, hanya bunyi petikan yang menusuk dada. Ada yang menutup mata, ada yang menunduk dengan tangan di dada. Ketika gema terakhir lenyap, tepukan panjang bergema, bukan sekadar tanda kagum, tetapi tanda persaudaraan dan kebersamaan.


Seusai detik penuh meremang tadi, tibalah giliran Pat, Nancy, Anis dan Bulan mengambil alih pentas. Aura mereka masih membara. Energi mekar ranum dengan single terbaru Setia2U yang catchy dan tempo rancak Jaringan yang buat khalayak mulai tak senang duduk. Dan ketika Warisan berkumandang lantang, suasana di seluruh dewan diresapi semangat pariotik. Candy tampak gah di pentas, dan hadirin yang datang tidak dapat menahan diri membentuk mosh-pit dan hangguk kepala berjemaah. Sungguh meriah dan happening habis! Saya berasa gembira dan bangga berada di tengah-tengah kerumunan ramai.
Lantas datang rentetan lagu yang membuktikan mengapa Candy masih menjadi ikon rock wanita negara: Emansipasi yang bertenaga, set akustik Akukah Yang Bersalah yang menikam rasa, Bagai Permata yang lembut berkilau, dan lagu yang paling ditunggu-tunggu dan paling sing-along, Akan Ku Tunggu, menutup set dengan janji yang tetap hidup. Candy masih utuh, masih penuh karisma, masih 'maintain' meski masa berlari jauh. Sedikit pun tidak dimakan usia, Candy tetaplah Candy, rocking dengan sepenuh tenaga mencipta nuansa rock yang terus bergema.


Encore menutup malam dengan gegaran. Wanita Seluruh Dunia dinyanyikan bersama, menjadi seruan yang membangkitkan dada. Candy, Edrie dan pelajar-pelajar ASWARA berdiri sama tinggi di atas pentas mencetus suasana gamat dengan sorak-sorai yang membelah malam. Ramai sing-along berjemaah, melompat bersama, seketika lupa segala masalah di dalam kepala. Yang penting malam itu semua enjoy!
Tak lama kemudian, alunan riff gitar familliar, Sweet Child O’ Mine meledak, menjemput sorakan generasi lama dan baru, sebelum Welcome to the Jungle menghentam keras sebagai peluru terakhir. Pentas bergelora, pistol dan bunga akhirnya menyatu sepenuhnya. Keras dan lembut, riuh dan indah! Gabungan 3 generasi, legenda rock wanita, gitaris maestro, dan pelapis muda menghasilkan letupan energi yang memukau dan mempesonakan. Tepukan gemuruh dan sorakan panjang daripada penonton membuktikan bahawa persembahan itu meninggalkan kesan yang tidak mungkin dilupakan.


Kekuatan showcase ini bukan sahaja pada nama besar yang tampil, tetapi juga pada kualiti barisan pelajar ASWARA yang menyerlahkan bakat, disiplin dan profesionalisme setanding penggiat industri. Mereka bukan sekadar pelengkap, tetapi sebahagian daripada nadi utama persembahan. Kehadiran mereka mengangkat Pistol & Bunga sebagai satu produksi pendidikan yang berjaya melahirkan pengalaman sebenar industri muzik dalam suasana akademik.
Pistol & Bunga menjadi bukti bahawa muzik rock masih segar dan relevan. Kredibiliti Edrie sebagai gitaris tersohor yang mampu melangkaui instrumen ke dunia vokal, aura Candy yang tetap maintain sebagai kumpulan rock wanita legenda, serta keberanian pelajar ASWARA yang tampil penuh yakin, bersatu untuk mencipta sebuah malam yang gempak, happening dan penuh kepuasan. Penonton yang memenuhi Dewan Orkestra pulang dengan senyum puas, membawa pulang kenangan tentang sebuah persembahan yang bukan sekadar konsert, tetapi juga sebuah perayaan warisan muzik rock tanah air.


Saya sendiri meninggalkan dewan dengan telinga yang masih berdengung, hati yang puas penuh girang dan senyum yang sukar dilenyapkan. Malam itu membuktikan sesuatu yang dalam skala sederhana mampu meninggalkan impak yang besar. Rock masih hidup, masih bernafas, dan masih punya rumah di jiwa kita. Pistol & Bunga telah meletus mekar semekar-mekarnyanya dan gema itu akan terus tinggal bersama sesiapa yang pernah berada di sana.
Foto Kredit: Pa Pa Din