Gema Besar Di Ruangan Kecil, 'Simply Unplugged: Malam Echo' Intimasi Akustik Santai

oleh: zizi hashim

Sejenak melangkah masuk ke ruangan kecil kafe Simply Sandwiches yang terletak di TTDI itu, hati terasa hangat, dekat dan tanpa formaliti yang membebankan. Lampu-lampu dengan cahaya malapnya membentuk lingkaran lembut di atas sofa yang dijadikan pentas, seolah-olah memanggil sesiapa yang hadir untuk melepaskan dunia di luar pintu dan hanya berada di sini, sepenuhnya. Jam menunjukkan tepat 9 malam.

Untuk sebuah acara anjuran kafe yang cukup terkenal dengan kelazatan kopi dan sandwich, ekspektasinya mungkin cuma setaraf sederhana. Namun apa yang terbentang malam itu jauh lebih memukau daripada apa yang dibayangkan. Dua kerusi sofa yang saya pilih lebih awal terasa seperti tempat perlindungan kecil, ditemani sepinggan brownies dan segelas iced chocolate, hidangan ringkas yang tiba-tiba menjadi teman istimewa kepada sebuah malam yang mengalir jinak.

Pesawat yang diwakili oleh Jippie dan Nizam, membuka tirai malam 6 Disember 2025 dengan kelembutan yang tidak dijangka. Meski Jippie kedengaran masih bertarung dengan batuk, energinya tidak goyah walau sesaat. Ternyata dia tetap menghadirkan vokal penuh warna, sanggup 'melanggar' tubuhnya sendiri demi menyampaikan lagu-lagu yang sudah lama bertapak dalam ingatan peminat. “Rapuh”, “Luluh”, “Rasional Emosional”, “Mesti Mau”, setiap lagu terasa seperti pintu nostalgia yang dibuka perlahan-lahan. Bahkan cover “Warisan Wanita Terakhir” dan “Fix You” seakan mengangkat seluruh ruangan ke dalam satu pelukan besar.

Aroma kopi dan sandwich menyatu dengan denting gitar akustik menjadi atmosfera yang membuat hati terasa damai dan tenang. Ruang kafe semakin dipenuhi wajah-wajah yang mencari nyaman melalui muzik. Di pentas kecil itu, cuma ada sebuah sofa sebagai takhta persembahan, namun ia cukup untuk menyimpan seribu kisah. Dan ketika “Euforia” dan “Mirage” menjadi penutup sesi akustik, saya sedar bahawa Pesawat, samada sengaja atau tidak, telah menghidupkan kembali serpihan kenangan lama yang mungkin telah berhabuk di dalam diri masing-masing.

Nada malam berubah rona ketika Edrie Hashim mengambil tempat di sofa utama. Ada aura legenda yang santai, seperti seseorang yang sudah terlalu lama menyimpan cerita dan akhirnya memilih untuk berkongsi semuanya malam itu. Ramai mengetahui Edrie sebagai komposer dan gitaris, tetapi tidak ramai pernah melihat sisi penyanyinya terbuka selebar ini. Edrie Hashim menyanyi? Rugilah siapa yang tak datang malam itu. Di antara gurauan kecil, Edrie membawa hadirin masuk ke dunia proses kreatifnya: bagaimana lagu-lagu lahir, dari mana ilham menyentuh bahunya, dan bagaimana setiap melodi mempunyai riwayatnya sendiri.

Mendengar Edrie membawakan “Iris”, “Ampunkan Aku” dan “Pudarnya Satu Nama” memantul ke seluruh ruang, membuatkan semua yang hadir merasa seperti mereka sedang bertandang ke studio peribadi seorang maestro. Tidak hanya lagu ciptaannya, Edrie juga menghadiahkan lagu-lagu yang membentuk dirinya: "Every Rose Has Its Thorn", "I Remember You" dan "Purple Rain" adalah lagu-lagu kegemarannya, menambah lapisan nostalgia yang lembut dan bersahaja. Ramai yang tidak ketinggalan sing-along mengiringi petikan gemersik gitar akustik.

Kemudian hadir momen yang paling manis: kemunculan Pat Candy, isteri tercintanya, disambut dengan sorakan penuh kasih. Gurauan antara suami isteri ini menceriakan ruang, dan energi mereka terasa begitu selesa. Ibarat menonton dua sahabat lama berbahagi rahsia kecil di hadapan kawan-kawan mereka. Pat membuka sessi dengan "Kau Ilhamku", lagu yang membuat seluruh ruang bersatu dalam harmoni spontan. Disusuli dengan “Selow”, “Standby Me” dan “To Love Somebody”, semuanya dibalut dalam vokal yang penuh kehangatan dan kehadiran yang menenangkan jiwa. 

Dan tentu saja, malam itu terasa kurang lengkap tanpa lagu-lagu Candy. “Akukah Yang Bersalah” dan “Akan Ku Tunggu” dilantunkan dengan senyum penuh keikhlasan. Tidak ada seorang pun yang tidak bernyanyi bersama. Semua hafal benar lirik lagu hits Candy sejak tahun 1997 ini. Namun detik paling manis hadir sewaktu mereka berdua berduet lagu "More Than Words". Segenap ruang senyap, terpegun dan menikmati kelembutan dua jiwa yang saling mengerti tanpa perlu banyak bicara. Sumpah sweet! Pat akhirnya menghadiahkan encore “Dua Insan Bercinta” yang membuat seluruh bilik tersenyum dengan rasa yang sukar diterjemahkan. 

Malam Echo tidak hanya digerakkan oleh artis, tetapi juga oleh sokongan teknikal yang luar biasa daripada CK Music. Sistem bunyi mereka menjadikan setiap pluck gitar dan setiap lengkung vokal terasa bersih, dekat, dan meresap jauh ke dalam pengalaman penonton. Dengan tiket berharga RM70 (pre-sale termasuk minuman pertama) dan RM80 (walk-in), malam itu terasa jauh lebih bernilai daripada apa yang dibayar. Ia bukan sekadar persembahan; ia adalah komuniti yang sedang tumbuh, ruang selamat untuk berkongsi, bernyanyi, dan bernafas bersama.

Saat lampu-lampu dimalapkan, atmosfera itu masih melekat seperti bau hujan yang enggan hilang. Malam Echo menjadi gema yang tertinggal lama, mencetus titisan harapan kecil di dada mereka yang hadir. Ruang kecil itu, dengan semua tawa, cerita, lagu, sendaloka gurauan Jipie, Edrie dan Pat, tepukan mesra, hidangan lazat serta wajah-wajah asing yang terasa dekat menjadi bukti bahawa muzik selalu menemukan cara untuk menyatukan kita. Sampai jumpa di Simply Unplugged berikutnya! Semoga gema malam ini terus bernafas dalam diri kita masing-masing.

Foto Kredit: Impak Foto / Simply Sandwiches