
oleh: zizi hashim
Seberkas cahaya perlahan-lahan menyinari pentas Zepp Kuala Lumpur malam 30 Mei itu, lalu saya sedar satu perkara: sesetengah suara memang tidak pernah tua. Tiga puluh tahun boleh berlalu. Trend boleh berubah. Generasi boleh berganti. Namun ada suara yang tetap menemukan jalannya ke hati pendengar walau sejauh mana masa berjalan meninggalkannya.
Malam For You Nourul terasa seperti sebuah pelukan panjang antara seorang penyanyi dan para peminat yang tidak pernah benar-benar meninggalkannya. Sejak montaj pembukaan dimainkan bersama medley koir yang menggabungkan "Tika Cinta", "Keliru", "Cinta Azali", "Kerana Terluka" dan "Aku Cinta Aku Rindu", ruang Zepp KL sudah mula dipenuhi aura nostalgia yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


Saya melihat ramai yang tersenyum. Ramai yang diam. Dan ramai juga yang mula menyanyi perlahan sebelum Nourul sendiri muncul menerusi lagu "Impianku". Sorakan yang bergema saat itu bukan sorakan untuk seorang selebriti semata-mata. Ia lebih menyerupai sambutan untuk seorang sahabat lama yang akhirnya pulang setelah sekian lama merantau. Apa yang paling mengkagumkan saya ialah bagaimana vokal Nourul masih kedengaran begitu terpelihara. Ada kelembutan yang matang pada setiap bait lagu, namun tetap memiliki tenaga yang cukup untuk memenuhi segenap ruang dewan. Usia dan pengalaman tentunya menambah warna pada lunak suaranya.
Segmen inspirasi adalah momen yang paling saya suka. Memuatkan lagu-lagu cover simbol penghormatan Nourul kepada figura seni yang dikaguminya seperti "Janji Manismu", "Kau Kunci Cintaku", "Madah Berhelah" dan "Sembilu" terasa seperti membuka semula helaian-helaian lama dalam diari kehidupan ramai orang. Setiap lagu membawa kisah tersendiri. Setiap lirik mengingatkan seseorang kepada seseorang. Dan setiap melodi seolah-olah menghidupkan semula memori yang selama ini tersimpan diam di sudut hati. Pada saat itu, ramai yang hadir sing-along berjemaah tanpa perlu dipinta.


Kekuatan sebenar Nourul bukan terletak pada kemampuan mencapai nota tinggi. Sebaliknya pada keupayaannya membuat penonton percaya kepada setiap perkataan yang dinyanyikan. Momen antarabangsa menerusi "Aujourd’hui" dan "That’s The Way It Is" pula memperlihatkan sisi lain dirinya. Pengalaman lebih tiga dekad jelas terpancar dalam cara Nourul mengawal pentas. Tenang. Yakin. Tidak perlu berlebihan. Tidak perlu membuktikan apa-apa lagi.
Saka Band yang dipimpin Eddie Slam turut memainkan peranan besar menjadikan keseluruhan persembahan terasa mantap dan segar. Setiap susunan muzik menghormati identiti asal lagu-lagu klasik tersebut sambil memberikan nafas baharu yang lebih moden. Visual pentas pula disusun dengan elegan. Tidak terlalu berlebihan. Tetapi cukup indah untuk membingkai emosi setiap segmen persembahan. Sorotan lampu yang lembut, visual latar yang bersahaja dan tata bunyi yang kemas membuatkan fokus utama kekal pada suara dan cerita yang ingin disampaikan.
Salah satu detik paling menyentuh malam itu tentunya ketika kemunculan Zachery Depp menerusi "Joget Kenangan Manis". Melihat seorang ibu berkongsi pentas dengan anaknya menghadirkan rasa yang sukar diterjemahkan. Ada kebanggaan. Ada kasih sayang. Ada simbolik bahawa seni mampu menjadi jambatan yang menyatukan generasi. Keakraban itu terasa tulus dan sangat manusiawi.


Konsert ini juga memberi ruang kepada peminat untuk menjadi sebahagian daripada sejarah malam tersebut apabila dua pemenang bertuah, Suzy dan Wan, dijemput berduet bersama Nourul menerusi "Seiring & Sejalan" dan "Sehati & Sejiwa". Jarang sekali kita melihat hubungan artis dan peminat diraikan dengan begitu dekat. Dan malam itu, hubungan tersebut benar-benar terasa hidup.
Kehadiran Mimi Fly pula membawa tenaga berbeza ke dalam konsert. Lagu "Temberang" hadir dengan karakter yang lebih segar sebelum diteruskan menerusi duet "Persamaan", "Maafkanku" dan "Keliru". Keserasian mereka mencipta keseimbangan menarik antara generasi dan gaya muzik yang berbeza. Sungguh padu melihat Mimi Fly rapping pada verse lagu "Keliru", satu kelainan yang segar mencetus gema sorak gemuruh pada setiap ruangan Zepp KL.
Malam itu turut disaksikan oleh ramai rakan seperjuangan seperti Ning Baizura, Fauziah Latiff, Salamiah Hassan, Ziana Zain dan Dee Jangan Ketawa yang hadir memberikan sokongan kepada seorang sahabat seni yang telah lama mengabdikan hidupnya kepada muzik.


Namun jika ada satu momen yang benar-benar membuat seluruh Zepp KL terkesima, ia adalah pada ketika "Selagi Ada Cinta" bergema. Nourul turun dari pentas. Mendekati penonton. Menghapuskan jarak yang selama ini memisahkan artis dan peminat. Dan ketika mikrofon dihulurkan kepada Ning Baizura yang hadir sebagai tetamu istimewa, suasana bertukar menjadi sesuatu yang sangat luar biasa. Dua figura besar muzik tanah air berkongsi lagu di tengah-tengah lautan manusia yang sama-sama menyanyikan setiap bait lirik. Itu bukan lagi persembahan. Itu adalah kenangan.
Separuh kedua konsert pula membawa emosi ke wilayah yang lebih mendalam. Medley Ikhlasnya Cintaku, Tangis Syukur dan Tertutup Hati mengalir dengan penuh penghayatan sebelum diteruskan menerusi Rinduku Padamu dan Aku Cinta Aku Rindu. Pada saat itu, saya melihat ramai yang tidak lagi menyanyi. Mereka sekadar memejam mata. Menghayati. Membiarkan lagu-lagu itu berbicara bagi pihak hati.
Kemuncak paling simbolik malam itu tentunya pelancaran semula "Andai Ku Kenali Ku", karya ciptaan Yasin Sulaiman dan lirik Eena Houzyama yang telah dihasilkan sekitar 15 tahun lalu sebelum diberikan nafas baharu menerusi susunan Eddie Slam. Lagu tersebut turut dirakam sebagai muzik video rasmi secara langsung pada malam konsert berkenaan. Judul lagu itu sendiri terasa seperti refleksi perjalanan Nourul. Tentang mengenali diri. Tentang menerima luka. Tentang berdamai dengan masa lalu. Dan tentang keberanian untuk terus melangkah ke hadapan.


Pada ketika "Kerana Terluka" berkumandang menutup malam yang sarat kenangan itu, lautan cahaya daripada telefon bimbit penonton mula berkelip memenuhi ruang Zepp KL, seumpama gugusan bintang yang turun singgah ke bumi. Ribuan suara menyatu mengiringi setiap bait lagu, seolah-olah enggan membiarkan malam itu berakhir terlalu cepat. Saat nota terakhir perlahan-lahan menghilang ke udara, yang tertinggal bukan sekadar tepukan gemuruh, tetapi rasa syukur kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang seorang anak seni bernama Nourul.
For You Nourul bukan tentang mengembalikan kegemilangan yang pernah berlalu. Ia adalah perayaan terhadap ketabahan, kesetiaan dan cinta yang terus hidup meski waktu bergerak tanpa belas. Tiga dekad mungkin sudah berlalu, namun karya-karyanya masih menemukan rumah dalam hati ramai orang. Malam 30 Mei membuktikan bahawa perjalanan seni Nourul belum menemui titik noktah. Masih banyak cerita yang mahu dikongsi, masih banyak rasa yang mahu disampaikan, dan masih banyak hati yang akan disentuh oleh suara yang tidak pernah berhenti percaya kepada muzik. Syabas Nourul dan ND Entertainment! Semoga dapat berjumpa lagi di konsert mendatang!