Satu Pentas, Enam Legenda, 5000 Fanatika Raikan Legasi 'Senariounion 30 Tahun | The Last Kopek'

oleh: zizi hashim

Umpama sebuah petang raya yang tidak pernah benar-benar berakhir, malam di Idea Live Arena terasa penuh warna dan rasa hangat, riuh, dan sesekali menyelinap sunyi yang sarat makna. Langkah pertama memasuki ruangan yang dipenuhi hampir 5,000 peminat itu sudah cukup memberi isyarat bahawa ini bukan sekadar sebuah konsert. Ini adalah perhimpunan kenangan, tempat manusia datang membawa masa lalu yang masih hidup dalam ingatan.

Baju raya menjadi tema tidak rasmi malam itu tampak ceria dan berwarna-warni. Sungguh ketara terasa bagaikan seluruh ruang bertukar menjadi halaman rumah terbuka yang luas. Ada keluarga datang bersama anak-anak, ada sahabat lama berpelukan semula, dan ada generasi baharu yang mungkin hanya mengenali Senario melalui cerita orang tua mereka. Namun apabila lampu dipadamkan dan sorakan mula bergema, semuanya menjadi satu: sebuah komuniti berkongsi memori yang sama.

Kemunculan Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya di atas pentas disambut dengan gemuruh tepukan yang tidak mampu ditahan. Tidak perlu pengenalan panjang. Wajah-wajah itu sudah cukup untuk mencetuskan rasa. Rasa yang pernah menemani waktu kecil, waktu remaja, dan waktu yang entah bila hilangnya.

Persembahan dibuka dengan deretan lagu yang menjadi nadi kepada perjalanan mereka “Senario”, “Kerja” dan “Cinta Sate”. Tanpa dipaksa, seluruh arena menyanyi berjemaah bersama. Lirik-lirik yang dahulu hanya didengar di radio kini hidup semula dalam ruang yang sama. Tenaga yang mereka bawa terasa tulen, tidak dibuat-buat. Mereka tidak cuba menjadi sesuatu yang baharu. Mereka hanya menjadi diri mereka sendiri dan itulah yang membuatkan semuanya terasa jujur.

Sepanjang malam, 19 buah lagu dipersembahkan. Antaranya “Cari Tapak”, “Lap Lip Lap”, serta rangkaian lagu raya termasuk yang terbaharu, “Bila Lagi Nak Jumpa”. Setiap lagu membawa cerita, setiap segmen membuka lembaran memori yang berbeza. Dari "Boria Miskin Kaya", "Dikir Barat Siang Malam", "Kerja Baik Kerja Jahat", "Senario XX", "Ceti" hingga "Cepat Kaya": semuanya mengingatkan kembali bagaimana Senario pernah menjadi suara rakyat, mengangkat kisah manusia biasa menjadi sesuatu yang lucu tetapi penuh bermakna.

Segmen “Sinaran Pasport Kegemilangan” pula terasa seperti perjalanan kembali ke titik mula. Mereka tampil dengan pakaian peserta, seolah-olah mengulang langkah pertama menuju dunia seni. Momen itu terasa intim. Melihat legenda menoleh ke belakang dengan penuh syukur, bukan sekadar mengenang, tetapi menghargai. Kemunculan lagu-lagu seperti “Lap Lip Lap”, “Hukum”, “Motor Kapchai” dan “Cinta Berkarat” menyuntik semula roh era 90-an. Ada sesuatu yang indah apabila masa lalu dipanggil kembali tanpa paksaan. Ia datang seperti memori yang tidak pernah benar-benar hilang. Ia cuma menunggu untuk dihidupkan semula.

Namun di sebalik tawa yang berderai, hadir satu detik yang meruntuhkan seluruh suasana menjadi sunyi. Tribute buat Allahyarham Hamdan menjadi antara momen paling menyentuh malam itu. Apabila anak arwah, Muhamad Syazreen Haqeem, dipanggil ke pentas untuk menyampaikan lagu “Doa Untuk Ayah”, suasana berubah sepenuhnya. Lagu yang suatu ketika dahulu dinyanyikan Hamdan bersama kumpulan Serba Salah kini kembali dalam bentuk yang jauh lebih peribadi.

Tujuh kerusi tinggi disusun di pentas. Diam, tetapi penuh makna. Ia seolah-olah mewakili tujuh jiwa yang pernah berjalan bersama. Saat trofi Artis Komedi Popular ABPBH Ke-36 yang dimenangi pada 2024 diserahkan kepada keluarga arwah, jelas terlihat bahawa kasih dalam kumpulan ini tidak pernah terputus. Seperti yang dikongsi Azlee, trofi itu adalah hasil undian peminat dan malam itu, ia dikembalikan kepada mereka yang paling berhak menyimpannya sebagai kenangan.

Malam kembali bernafas ceria apabila segmen raya mengambil alih. Lagu “Puasa dan Raya”, “Seminggu Berhari Raya” dan “Bila Lagi Nak Jumpa” menghidupkan suasana yang sangat dekat dengan jiwa masyarakat. Ia membawa aroma kampung, bunyi mercun yang jauh, dan rasa rindu yang hanya hadir setahun sekali.

Kehadiran Aina Abdul menjadi satu kejutan yang menyenangkan. Gabungan antara generasi lama dan baharu terasa segar. "Joget Senda Gurau", "Joget Toleh Menoleh", "Zapin Cinta SMS" dan "Zapin Usin Mengusik" dipersembahkan dengan harmoni yang tidak janggal. Aina membawa aura moden, sementara Senario kekal dengan jiwa rakyat yang membumi: dua dunia yang akhirnya bertemu dalam satu garis emosi yang sama.

Menjelang penghujung, “Pancarona”, “Etalase”, dan “Terbuang Dalam Waktu” memberi ruang untuk penonton bernafas sebelum encore meledak. “Aspalela” menjadi detik di mana seluruh dewan bangkit berdiri untuk menyanyi, menari, dan melepaskan segala rasa yang tersimpan. Disusuli “Sebelum Sesudah” dan akhirnya “Cari Tapak”, penutup yang terasa seperti sebuah kitaran yang lengkap.

Pada akhirnya, konsert 'Senariounion 30 Tahun | The Last Kopek' ini melakar sejarahnya tersendiri. Bukan sahaja kerana skala besar selepas sekian lama, tetapi kerana ia membuktikan bahawa selepas tiga dekad, Senario masih berbisa. Mereka tidak bergantung kepada nostalgia semata-mata. Mereka berdiri dengan identiti yang masih utuh, masih relevan, dan masih mampu menyentuh hati.

Malam itu mengajar satu perkara. Masa mungkin bergerak jauh ke depan, tetapi kenangan yang jujur sentiasa tahu jalan pulang. Senario tidak berubah menjadi sesuatu yang lain. Mereka kekal sederhana, kekal ikhlas, dan mungkin itulah sebabnya mereka masih hidup dalam hati ramai peminat fanatik mereka. Ramai datang untuk ketawa. Ramai juga pulang dengan mata yang basah. Dan dalam diam, kita semua tahu, malam itu bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah kepulangan.

Foto Kredit: Kamarul Bahari / Mewah Event Management