oleh: zizi hashim
Dalam kabus halus yang menari di celah cahaya neon dan gema sorakan, ribuan langkah menuju Arena of Stars bukan sekadar menjejaki nostalgia, tapi seperti menuju ke altar kenangan; tempat di mana Ratu Rock negara, Ella, menyalakan semula bara yang tak pernah padam sejak 3 dekad lalu. Disitulah terpatri satu malam agung, 'Konsert Ulang Tahun Ke-30 Ella USA'. Ia adalah malam memperingati sebuah album lagenda, penghormatan buat seorang wanita yang telah menakluki pentas dengan suara yang melawan waktu dan semangat yang tidak pernah layu. Langkah demi langkah memasuki Arena of Stars terasa seperti menembusi dimensi lain, dimensi di mana masa tidak menghakis dan jiwa kekal muda.
Lebih 4,000 peminat setia Ratu Rock negara berkumpul dalam rona putih dan denim, mencipta satu landskap visual yang bersatu dengan pentas yang bersinar megah serta harmoni visual yang memancarkan aura nostalgia. Di tengah-tengah segala keghairahan, hati ini tahu, malam ini lebih daripada persembahan. Ia adalah saksi kepada ketahanan seorang wanita yang telah menulis sejarah dalam denyut nadi rock tanahair. Malam itu bukan tentang kegemilangan seorang artis semata-mata. Ia adalah sambutan terhadap keteguhan hati, keberanian bermimpi, dan semangat wanita yang tidak gentar meletakkan Malaysia di peta rock dunia, bermula dari Los Angeles dan San Francisco, tempat album Ella USA dilahirkan pada tahun 1994, hingga ke malam magis ini di tanah tinggi Genting.
Jam 8.30 malam, suasana berubah mendadak. Tata cahaya perlahan-lahan menjadi suram dan malap. Nafas terhenti. Bunyi overture meresap ke dinding-dinding sepi, seluruh Arena of Stars seperti dihipnosis. Ketika Ella muncul, dengan penuh aura, penuh karisma, penuh pesona, seluruh ruangan arena meledak dengan tepukan dan jeritan. Lagu “Ala Amerika” menjadi pembuka tirai yang membawa semua hadirin menelusuri ruang masa; ke saat-saat ketika Ella masih muda remaja bermata bintang, merakamkan vokalnya di studio bersalji di seberang lautan, demi mengejar mimpi bertaraf antarabangsa.
Visual rakaman asal di siar di layar pentas. Wajah Ella ketika muda, ekspresi penuh cita-cita dipaparkan di skrin besar, melintasi lorong-lorong bersalji Los Angeles dan San Francisco. Sangat menyentuh hati yang pernah menyimpan lagu-lagu itu dalam kaset, dalam walkman, dalam hela nafas zaman remaja. Namun malam itu, bukan kenangan yang mendominasi, tapi diiringi rasa kagum yang segar. Betapa Ella masih memiliki kuasa itu. Vokalnya tak kalah bertenaga, emosinya tetap murni, dan staminanya... luar biasa. Ella mengambil risiko besar: meninggalkan zon selesa demi menembusi pasaran global, satu keputusan berani yang memerlukan bukan sahaja bakat, tetapi tekad dan keberanian.
Paling menyentuh, ialah apabila beliau mengenang semula detik-detik awal bersama penerbit Jepun yang ikonik, Kyoji Yamamoto. Lelaki itu, terbang jauh dari Hawaii, transit Tokyo dan tiba pagi itu semata-mata untuk berdiri di sisi sahabatnya. Pagi itu dia baru mendarat dan menjelang malam, jari-jemarinya sudah memetik gitar di Genting, mencipta kilat muzik yang menghentak dan menyentuh serentak. Ketika Ella memperkenalkan Yamamoto, hanya satu kalimat ringkas diucap: “Apa khabar?” Tapi jerit sorak yang membalasnya, menggoncang ruangan arena.
Tidak perlu prolog panjang. Gitar itu sudah cukup bercerita. Kyoji menyertai Ella dalam 8 lagu, termasuk "Rindu", "Penawar", "PPP" dan "Gemilang". Namun bukan lagu semata-mata yang menyentuh hati. Cara dia bermain, seperti seseorang yang sedang menebus kenangan lama, menyulam semula roh album 'Ella USA' dengan nada-nada yang mengalir deras namun mendalam. Setiap nada seperti membuka semula halaman sejarah yang tidak pernah berdebu. Petikan gitarnya tidak sekadar melodi, tetapi naratif emosi, menyulam kisah lama yang tak perlu disebut, cukup dirasai.
Ella, dari awal hingga akhir, membuktikan bahawa staminanya belum luntur. Suaranya masih menusuk, auranya masih menggelegak. Dia tidak hanya melantunkan vokalnya, dia menghidupkan nuansa. Lagu-lagu balada romantis seperti “Menanti” dan “Mungkin” mendakap sunyi yang pernah kita simpan dalam hati. Ketika “Layar Impian” dan “Kembara Kita” bergema, penonton bangkit tanpa dipaksa, menari dalam euforia yang ikhlas, buat seketika lupa realti usia, berdansa hingga lupa semua beban di dada. Tanpa sengaja, Ella mengubah suasana menjadi pesta tarian. Khalayak bangkit, menari, menyanyi, meraikan kebebasan yang hanya muzik sejati mampu berikan.
Medley “Sembilu”, “Pengemis Cinta”, “Permata Biru”, “Retak” dan “Pedih” pula hadir seperti sebuah warkah terbuka, menghantar pesan bahawa luka-luka lama tidak pernah sia-sia, kerana darinya lahir lagu-lagu abadi. Setiap nada lagu bagaikan harta karun dari masa lalu, dibuka satu demi satu malam itu. Meremang bulu roma saya dibuatnya saat lagu "Standing In The Eyes Of The World" menakluki pentas. Saya ikut berdiri, sing-along berjemaah dan apabila “Gemilang” dipilih menjadi penutup malam, terasa seperti sebuah babak akhir dalam filem epik yang mengundang air mata dan tepukan serentak.
Sistem bunyi malam itu ibarat sentuhan sutera pada telinga. Bersih, berlapis, dan jelas hingga ke dasar hati. Setiap nota gitar Yamamoto terasa dalam rongga dada, dan vokal Ella kekal jernih. Bukti bahawa teknologi dan emosi boleh berpadu dalam simfoni. Pencahayaan pula menyempurnakan suasana; sinematik, dramatis seperti babak klimaks dalam filem rock.
Namun yang menjadikan konsert ini benar-benar istimewa, adalah sentuhan kemanusiaannya. Dalam kerangka sambutan Hari Guru dan Hari Bomba Sedunia, Genting Malaysia menyemarakkan rasa hormat dengan menghadiahkan tiket kepada para guru, bomba dan petugas barisan hadapan. Momen ini merubah aura acara: daripada pesta rock semata, kepada simbol solidariti dan penghargaan. Ella sendiri sempat melontarkan penghormatan, dengan suara penuh tulus, kepada mereka yang selama ini berada di belakang tabir kehidupan masyarakat.
Album Ella USA suatu ketika dahulu menjadi rekod artis wanita Malaysia paling laris dan malam itu terbukti, setiap lagu darinya masih kekal dalam nafas generasi. Ia bukan sekadar kejayaan komersial. Ia adalah pencapaian budaya. Dan pada malam ulang tahun ke-30 itu, semua hadir bukan sekadar untuk meraikan lagu, tapi merayakan sebuah jiwa yang tetap hidup, menyala dalam ruang yang kadang sunyi dari keikhlasan seni.
Sebagai penonton malam itu, saya menjadi sebahagian yang menyaksikan sebuah perjalanan. Sebuah ziarah kepada zaman di mana muzik bukan sekadar irama, tapi bahasa yang menyambung manusia dengan perasaan mereka yang paling jujur. Ella, engkau bukan sahaja masih berdiri di mata dunia. Engkau masih berlari dalam jiwanya. Dan kami akan terus mengikutimu selagi masih ada lagu, selagi masih ada malam untuk kau bernyanyi! Teruslah Gemilang!