Gema 24 Lagu Ikonik Dalam Nada Akustik 'Spider Unplugged' Sukses Tanpa Efek Elektronik, Tanpa Gimik!

oleh: zizi hashim

Tidak perlu letupan mewah, lampu gah atau layar besar berkilau; hanya empat insan dengan instrumen di tangan dan jiwa yang tak pernah letih menyala. Spider Unplugged adalah malam yang tak sekadar terdengar, tetapi terasa sehingga ke nadi. Tanggal 25 Oktober 2025 di Mega Star Arena menjadi saksi bagaimana Tam, Aie, Iss, dan Pown menghidupkan semula makna sebenar 'bermain muzik' tanpa sebarang topeng elektronik, hanya jiwa, jari dan getar keikhlasan.

Sejak melangkah masuk ke arena itu, udara seolah berubah. Terasa seperti waktu perlahan-lahan mundur ke era di mana setiap nada dicipta dengan tangan dan hati. Tiada letupan, lampu yang keterlaluan, tiada pyroteknik, hanya pentas sederhana yang dibalut warna lampu ambar dan biru lembut. Namun di situ, sesuatu yang besar sedang menunggu untuk terjadi.

Ketika Tam menyebut, “Rasakan Resapkan”, lalu not pertama bergema, seluruh arena menjadi satu tubuh yang bernafas bersama. Nuansa senyap bukan kerana formaliti, tapi kerana setiap orang sedang mendengar dengan hati. Lagu-lagu lama seperti “Kau Saja”, “Kacap Terlabik” dan “Sumpah Tak Buat Lagi” dibalut semula dengan tekstur akustik yang halus, membuatkan setiap bait terasa hela nafas lama yang kembali disedut perlahan, membawa nostalgia yang tak pernah pudar. Mungkin itulah keajaiban unplugged, ia menanggalkan segala lapisan hingga yang tertinggal hanya kejujuran.

“Konsep unplugged yang kami bawa ini pertama kali dibuat bersama Spider. Kami mahu hasilnya mewah, tersendiri, dan menjadi momen terbaik buat peminat,” ujar Fandy Alias dari Naga Legend Entertainment dan kata-kata itu bukan janji kosong. Apa yang berlaku di Mega Star Arena malam itu benar-benar “mewah” dalam makna yang tidak materialistik, yang ada hanya kemewahan emosi, kemewahan pengalaman. Konsep unplugged yang diangkat oleh penganjur terbukti berani dan berhasil. Tanpa distorsi, tanpa kesan elektronik, Spider berdiri dengan kejujuran paling mentah dan justeru di situlah kemewahan sebenar tercipta.

Vokal Tam, di usia 51 tahun, masih hangat, masih teguh. Ia tidak sekadar memikat, malah menyembuhkan. Duduk dengan gitar di tangan, beliau berbicara dengan setiap individu di dalam arena dengan gemersik. Tidak melaung, hanya menyampaikan. “Relaku Pujuk” dilagukan dengan keheningan yang membuatkan setiap baris lirik terasa seperti doa yang jatuh perlahan ke dada penonton. Ribuan suara bergema sing-along menjadi satu harmoni bahagia.

Salah satu detik paling menusuk datang ketika lagu “Jangan Kau Berputus Asa” yang didedikasikan kepada saudara di Palestin. Tanpa banyak basa-basi, Tam mengangkat gitar, lampu malap, dan Mega Star Arena tenggelam dalam doa berbentuk lagu. Saat itu, muzik menjadi bahasa kemanusiaan dalam bentuk solidariti. Susunan muzik oleh Firdaus Mahmud dan Rafi Mohd menunjukkan kelasnya. Horns dan seksyen string yang dipimpin oleh Ahmad Munir, Sabrina Azman, Afif Zulkifli dan barisan pemuzik muda berbakat membawa kedalaman bunyi yang sinematik. Setiap gesekan biola dan setiap denting gitar akustik berbaur menjadi satu landskap bunyi yang kaya tetapi tetap tulus.

Ketika tiba giliran “Cinta Dewa Dewi”, “Aladdin”, dan “Nazraku” berkumandang, suasana berubah energi. Penonton fanatik mulai berdiri, bersorak, menari malah ada yang memanjat kerusi. Ada yang menjerit nama Spider dari barisan belakang, bukan histeria, tetapi kerana rindu yang terlalu lama dipendam. Tam ketawa kecil, lalu berkata, “Kita semua dah tua, tapi jiwa kita masih sama.” Dan Mega Star Arena pun bergema dengan tepukan gemuruh yang panjang. Kata-kata itu disambut sorak-sorai mengakui, "Ya, benarlah kita semua memang membesar dengan lagu-lagu ini."

Konsert ini berlangsung lebih dua jam, dengan 24 lagu yang menjadi runut hidup ramai antara kita. “Kasih Latifah”, “Waduh Tijah”, “Nak Lantak” dan “Jangan Kau Berputus Asa” diberi nafas baharu, lebih perlahan, lebih matang memperlihatkan Spider ingin mengajak kita menghargai waktu, bukan melawannya.

Apabila tirai malam ditutup dengan “Mungkinkah Terjadi”, seluruh Mega Star Arena berdiri. Lampu memantul pada wajah-wajah puas yang enggan pulang. Dan saya sendiri yang kemaruk mendengar “Relaku Pujuk” merasakan sesuatu yang sukar dijelaskan dengan kata-kata. Waktu bagaikan berputar, dan semua yang pernah kita cintai hadir kembali dalam bentuk muzik yang murni.

Lagu penutup yang dipilih ibarat noktah penuh kasih sayang pada perjalanan dua dekad Spider. Lampu menyala lembut, suara penonton berpadu, dan Tam hanya tunduk. Mungkin dalam syukur, mungkin dalam keterharuan. Spider Unplugged bukan hanya konsert, ia sesi pengakuan antara artis dan pendengar. Tentang cinta yang tidak luntur meski waktu berganti. Tentang muzik yang tidak pernah tua, hanya bertukar bentuk. Pengakuan bahawa kita sama-sama pernah jatuh cinta pada muzik, dan cinta itu masih hidup.

Konsert ini juga menjadi simbol bahawa dalam dunia yang semakin digital, ada ruang untuk kejujuran yang sederhana. Bahawa kadangkala, untuk menjadi luar biasa, kita hanya perlu kembali kepada asal, kepada gitar kayu, kepada suara manusia, kepada keikhlasan. Dan malam itu, Spider membuktikan: mereka tidak pernah hilang, hanya menunggu masa yang tepat untuk kembali menggetarkan hati.