oleh: zizi hashim
Di hujung minggu yang biasanya ditutup dengan kesibukan dan keletihan, ribuan langkah menghala ke Zepp Kuala Lumpur pada malam Ahad tanggal 14 September 2025. Ada sesuatu yang bergetar di udara ibu kota malam itu. Dari jauh, cahaya neon bergema di dinding bangunan moden itu, menyambut lautan manusia yang hadir dengan hati berdebar-debar. Mereka datang untuk menyaksikan bab perjalanan 10 tahun sebuah kumpulan yang sudah menjadi sebahagian daripada hidup mereka, Midnight Fusic.
Konsert 'Forevermore 2025' berdiri sebagai lebih daripada acara muzik; ia adalah momen kolektif yang mengikat jiwa, satu deklarasi bahawa sebuah band indie-rock dari Malaysia mampu mengisi ruang bukan hanya dengan bunyi, tetapi dengan makna. Midnight Fusic lahir dari semangat anak muda yang enggan terikat pada aturan. Arif Kamarudin, dengan suara serak lembutnya, mula menulis lirik sejak remaja. Adrian Danial menajamkan bakat gitar dari bilik kecil yang penuh poster band Barat. Firdaus Azmi jatuh cinta pada bass kerana merasakan ia nadi rahsia muzik, manakala Muaz Rabbani menjadikan dram sebagai bahasa kedua selepas diam.
Mereka muncul pada 2013 di era ketika SoundCloud menjadi wadah generasi baharu mencari identiti. Lagu awal mereka, Caramel Cream, lahir dari ruang eksperimentasi itu, ringkas tetapi tulus, dan tanpa sedar menjadi anthem kecil untuk remaja di sekolah dan kolej. Perlahan-lahan, nama Midnight Fusic bergema di gig indie, diperkenalkan dari mulut ke mulut, sebelum dibawa ke festival besar. Hari ini, dengan EP Modus Operandi, mereka bukan lagi sekadar budak-budak gig. Mereka sudah mengisi festival di luar negara, mendapat jutaan penstriman, dan menjadi simbol bahawa muzik alternatif Malaysia punya tempat di peta dunia.
Seawal jam 5 petang, kawasan sekitar Zepp sudah berubah menjadi pesta mini. Barisan panjang meliuk-lintuk di luar pintu, ada yang duduk di lantai sambil membuka bekal makanan, ada yang sibuk mengambil gambar OOTD dengan latar banner konsert. Kelihatan pasangan muda dengan jaket denim bertampal patch band, sekumpulan sahabat yang ketawa sambil membandingkan setlist impian, malah ada keluarga yang datang bersama anak kecil, bukti bahawa Midnight Fusic sudah menyeberang generasi.
Bunyi pengumuman pintu dibuka disambut dengan sorakan, dan perlahan-lahan, lautan manusia itu masuk ke ruang gelap yang hanya diterangi lampu neon biru. Setiap langkah terasa penuh debaran. Saat lampu padam sepenuhnya, hanya kedengaran sorakan bergemuruh. Visual abstrak mula dipancarkan ke layar gergasi, dan bunyi “Intro” dalam mood penuh ekspektasi mengalun menandakan pintu ke dunia Midnight Fusic sudah pun terbuka.
Tanpa menunggu lama, fanatika dihidangkan medley panjang 11 minit Time Machine + Sandiwara + WLWA Off My Mind meletup sebagai pembukaan. Sorakan penonton menggelegak, tubuh-tubuh mula melompat, dan udara di Zepp dipenuhi tenaga raw yang hanya hadir bila muzik dimainkan secara hidup. Arif menyalurkan vokal penuh keyakinan, Adrian menghunus gitar dengan riff tajam, Firdaus menyalakan lantai dengan bass pekat, sementara Muaz menghalau waktu dengan hentakan dram deras. Dari awal lagi, jelas malam ini bukan untuk penonton pasif.
Tidak setiap konsert mampu membuat penonton bernyanyi serentak, tetapi di sini, seolah-olah ribuan orang sudah berjanji untuk menyanyi berjemaah dan kedengaran seperti sebuah koir indah. Setiap bait lirik dilantunkan tanpa putus, dari lagu lama sehingga ke rilisan terbaru. Ketika I Don’t Wanna Dream Tonight dimainkan, suasana menjadi perlahan dan hening. Lampu putih lembut membasuh pentas, dan suara Arif terasa seolah berbicara terus ke hati setiap khalayak yang hadir. Ramai memejam kan mata, membiarkan lagu itu menjadi ruang perenungan peribadi.
Kemudian, detik istimewa hadir saat Lunadira muncul untuk duet Vertigo. Sambutannya bagai letupan cahaya. Suara mereka berpadu rapuh tetapi indah, mencipta rasa yang sukar dijelaskan, seolah-olah dua jiwa sedang membuka luka lama dan menyembuhkannya bersama. Apabila bait pertama Lovesick bermula, penonton serentak mengangkat telefon mereka. Cahaya kecil berkelip memenuhi ruang, menjadikan dewan bagaikan langit yang bertabur bintang. Satu pemandangan indah penuh melankolia menjadi simbol betapa lagu itu telah menemani perjalanan ramai orang, lagu yang pernah diputar ketika jatuh cinta, atau mungkin ketika patah hati.
Suasana kemudian bertukar menjadi pesta. Summer Love bersama Lil Asian Thiccie meledakkan Zepp KL dengan rentak segar dan penuh warna. Penonton menari tanpa malu, menjerit tanpa henti. Selepas itu, I Just Wanna Go Outside, Cahayaku, dan Ingatlah Selamanya dimainkan berturut-turut, membawa penonton melalui pelbagai emosi dari kegembiraan sederhana, kehangatan penuh kasih, hingga refleksi penuh rasa. Midnight Fusic berjaya menggenggam hati penonton dalam aura syahdu.
Bahagian klimaks menyajikan Midnight Fusic pada bentuk paling liar. One More Time, Upside Down, Modus Operandi, dan Strangers dimainkan dengan intensiti maksia. Adrian menyalakan gitar seperti kilat, Firdaus menghentak bass hingga terasa di tulang, Muaz memandu dram bagai badai, dan Arif menyalurkan vokal penuh semangat. Pada detik itu, Zepp KL berubah menjadi festival mini, dindingnya bergema dengan kebebasan, lantainya bergetar dengan kegilaan, dan udara dipenuhi peluh bercampur sorakan.
Selepas gegaran yang membadai, suasana kembali ditenang. Heart of May dimainkan dengan penuh kelembutan, seolah menjadi pelukan buat mereka yang sudah lama mengikuti Midnight Fusic. Kemudian, Caramel Cream dihadiahkan kepada peminat lama, lagu yang menjadi pintu pertama mereka. Penonton tersenyum, ada yang menitiskan air mata, kerana lagu itu mengembalikan mereka ke saat-saat awal ke masa remaja yang penuh harapan. Akhir sekali, Residue menutup malam. Lagu itu menjadi simbolik bahawa selepas segalanya selesai, yang tinggal bukan hanya bunyi, tetapi jejak emosi. Dan jejak itu akan terus menetap lama di hati.
Konsert ini digerakkan oleh Oyollo Asia sebagai penganjur utama, dengan sokongan penaja est Cola dan Kenangan Coffee. Borneo Springs turut serta, sementara Gleneagles Hospital Kuala Lumpur bertindak sebagai rakan perubatan rasmi. Dari segi teknikal, KSD Media, You Can Entertainment, dan Laskar Sonas Productions memastikan setiap cahaya, bunyi, dan visual mencapai piawaian tertinggi. HITZ FM sebagai radio rasmi menghubungkan momen ini ke seluruh negara, manakala Astro Gempak memberi liputan digital. Wake The Baby Records mengendalikan PR & media, menambah lapisan naratif yang lebih luas.
Forevermore 2025 bukan hanya sebuah tajuk. Ia adalah deklarasi bahawa Midnight Fusic telah matang, telah berdiri teguh di medan yang penuh cabaran, dan kini berdiri sebagai simbol penyatu generasi. Bagi peminat, malam ini akan diingat sebagai malam mereka ketawa, menangis, menjerit, dan bernyanyi bersama. Bagi Midnight Fusic, ia adalah cap waktu, satu bab baharu yang akan dikenang ketika mereka menatap masa depan. Dan mungkin, seperti judulnya, janji itu akan bertahan buat selama-lamanya.