oleh: zizi hashim
Segalanya bermula bukan dengan tepukan, tetapi dengan debar halus yang perlahan-lahan menjalar tumbuh di dalam dada. Saya duduk di baris tengah, terbenam antara manusia yang tidak saya kenali tetapi anehnya terasa akrab. Di dalam ruang kelam Zepp Kuala Lumpur itu, udara terasa berat dengan harapan yang tidak terucap, seakan seluruh jiwa di situ menanti sesuatu yang lebih.
Ketika lampu pentas mulai meredup dan overture pertama menyentuh udara, saya tahu malam ini tidak akan berlalu seperti biasa. Nada-nada piano dan gesekan gitar menyarung ruang dengan sejenis kesayuan yang halus. Seperti sedang membuka pintu yang telah lama tertutup, pintu kepada rasa-rasa yang biasanya tersimpan di daerah paling sunyi.
Di malam 19 Julai 2025 itu, kerumunan ramai berkumpul kerana satu nama, tak lain tak bukan si Feby Putri siapa lagi. Dan Feby tidak muncul dengan sorakan, tidak membawa badai. Dia datang dengan keheningan. Piano yang melankolik, gitar yang berbisik. Feby berdiri tanpa lampu berlebihan, tanpa dentuman dramatik. Hanya tubuh kecilnya di tengah pentas luas, dan suara yang seolah-olah keluar terus dari luka yang belum sembuh sepenuhnya.
Lagu pertamanya, "Rantau", dilemparkan tanpa sebarang pengenalan. Ia hanya mengalir, seperti anak sungai yang sudah terlalu lama tersumbat akhirnya menemukan celah untuk mengalir pulang. Konsert ini dinamakan 'Hitam Putih Vol.3', dan malam itu benar-benar membuktikan bahawa Feby bukan sekadar menyanyi, dia malahan menyulam perasaan. “Hitam” adalah kesayuan yang kita elak, dan “Putih” adalah tenang yang kita dambakan. Antara keduanya, Feby berjalan, dan khalayak mengikutinya. Kadangkala dengan langkah yakin, kadangkala dengan lutut goyah.
Setiap lagu, dari "Semoga Ada Waktu Luang", "Kembali" sehingga ke "Tayangan Oleh Kepala" tidak berdiri sendiri. Ia seperti hela nafas yang tertangguh terlalu lama. Ada yang memejam mata, ada yang mengusap wajah sendiri, ada yang diam-diam menangis. Feby tidak memberi hiburan, dia menawarkan pertemuan antara kita dan rasa-rasa yang telah lama kita sisihkan. Dan ketika "Senyum Semu" berkumandang, seluruh ruang belajar diam bersama. Suaranya perlahan, tapi mengikat setiap jantung di ruangan itu. Tidak ada siapa yang mengangkat telefon. Semua seperti bersetuju, malam ini terlalu sakral untuk dirakam dalam bentuk piksel.
Beberapa kali saya perhatikan, Feby berdiri agak lama selepas lagu tamat. Seolah sedang menunggu sesuatu, mungkin sisa emosi yang belum betul-betul reda. Atau mungkin dia pun sedang mengumpul nafas. Di antara sorotan lampu dan gelap pentas, kita semua belajar sesuatu: diam juga boleh menjadi jujur. Sampai akhirnya, "Tangan-Tangan Ucap Perpisahan" dinyanyikan, lagu yang meremukkan, kerana kita tahu selepas itu, sesuatu akan berakhir. Tapi Feby tidak memilih untuk mengakhiri di pentas.
Perlahan, dia turun, dan menyusup ke tengah penonton. Tanpa spotlight, tanpa muzik keras. Hanya langkah senyap dan suara kecilnya yang menyelinap dari celah-celah tubuh. Di saat itu, dia melantunkan "Perasa yang Baru Tumbuh", dan dari tempat saya berdiri, saya nampak jelas ketara wajahnya. Bukan wajah seorang selebriti, tetapi wajah seseorang yang sedang benar-benar hadir. Dan dari raut itu, saya tahu, Feby tidak menyanyi untuk dipuja-puji. Dia menyanyi kerana dia pun sama turut pernah terluka, dan ingin kita tahu bahawa luka itu boleh tumbuh menjadi sesuatu yang lembut.
Ketika dia berada di antara kerumunan ramai itu, tidak ada jurang. Tidak ada pentas. Tidak ada hierarki. Hanya seorang manusia, menyanyi sepenuh hati kepada manusia yang lain. Ia terasa seperti pertemuan yang tidak dirancang tetapi diperlukan. Dan apabila "Bagai Bintang Bulan" mengisi pekat malam dengan suara lembut yang tidak berpura-pura, malam itu telah berubah menjadi sesuatu yang sukar dinamakan, tetapi mustahil dilupakan. Lagu "Dunia" dan "Runtuh" menjadi babak terakhir yang menggenapkan segala rasa.
Saya selalu fikir lagu paling kuat adalah lagu paling tinggi nadanya, tetapi malam itu saya sedar kekuatan sebenar datang dari ketelusan. Dan "Runtuh" malam itu, bukan sekadar menyentuh. Ia menggenggam hati saya, menggoncang perlahan, dan kemudian melepaskan dengan belas kasihan. Penutupnya datang dengan "Usik", lagu yang seperti gema lama, datang mengganggu semula hati saat hampir tenang. Dan akhirnya, semua pemuzik berundur satu persatu, meninggalkan Feby sendirian dalam temaram. Sebuah simbolik yang halus, namun cukup dalam. Kita semua dilahirkan sendiri, dan pada akhirnya, suka atau tidak, mahu tak mahu, harus juga berdiri sendiri.
Namun kisah malam itu belum tamat. Feby kembali, perlahan-lahan seperti cahaya kecil yang menyusup selepas gelap pekat. "Detik Menit Jam" dinyanyikan sebagai epilog, bukan untuk menamatkan, tetapi untuk merangkumi keseluruhan durasi. Lagu itu bukan sekadar penutup, tetapi simpulan. Penahan angin yang membolehkan semua rasa akhirnya duduk diam di dalam dada. Saya pulang malam itu tidak dengan hati yang baru, tetapi dengan hati yang telah dicuci oleh kata-kata, nada-nada dan momen senyap. Apa yang dibawa Feby dalam Hitam Putih Vol.3 adalah sebuah ritual batin; sejenis penyucian yang tidak perlu air suci, cukup dengan suara yang jujur dan keberanian untuk rapuh di hadapan orang lain.
Kerana malam itu, Feby Putri bukan hanya menyanyi. Dia menyembuhkan. Terima kasih Feby, sampai jumpa lagi nanti!