
oleh: zizi hashim
Tanpa perlu membuktikan apa-apa, dia berdiri di atas pentas, hadir dengan membawa seluruh dirinya. Aura yang terpancar bukan dari glamor berlebihan, tetapi daripada ketenangan seorang wanita yang sudah masak dengan gemuruh sorotan tatacahaya, dan masih memilih untuk menyanyi dari tempat paling jujur dalam hatinya. Senyum Misha ketika dia melangkah ke pentas malam itu seperti mentari yang menyelak kabus pagi di tepi pantai timur. Sejenak, suara itu memecah senyap, menyapa satu persatu jiwa yang sudah sekian lama menanti.
Konsert 'Dia Misha Omar' menghidupkan segala ceruk cerita, tentang keraguan, kejatuhan, harapan, dan kebangkitan. Kata Misha, setiap pertunjukan adalah hadiah untuk peminat yang tidak putus percaya dan malam itu, hadiah itu terbalas dengan tepukan, air mata, sorakan dan syukur. Malam itu menunjukkan bahawa seni suara sejati tidak lekang dek masa. Misha Omar membuktikan, legenda bukan ditulis oleh populariti semata, tetapi oleh keteguhan hati, komitmen, dan kejujuran emosi yang dipancarkan ke setiap nada.


Digarap cermat, diperkasakan susunan muzik Sze Wan, ketelitian teknikal Simon Khoo, dan sentuhan elegan Pengarah Konsert, Jennifer Thompson, visual pentas tampak elegan: lampu lembut, pencahayaan yang menyentuh, elemen artistik yang tidak meleret glamor tetapi mencipta aura intim. Membentuk sebuah ruang yang tidak memenatkan mata sebaliknya membuka lorong untuk emosi mengalir berleluasa. Seakan pentas itu memahami: malam ini bukan soal persembahan besar, tetapi perayaan rasa.
Sorakan tidak sekadar sokongan, melainkan penghormatan kepada seorang penyanyi yang tetap bertahan meski arus zaman berubah. Misha tunduk sambil melambaikan tangan ke arah sisi pentas, ibarat bersalaman dengan setiap tangan yang tercuit memori. Seawal pembukaan, saya terkesima melihat sisi Misha yang jarang terserlah. Humor spontan, gurauan ringan, cara dia menyapa penonton seperti kawan lama yang baru berjumpa kembali. “Sayang-sayang semua,” katanya sambil ketawa kecil, dan Mega Star Arena serta-merta menjadi hangat. Siapa sangka seorang penyanyi dengan reputasi sebesar ini begitu comel dan penuh jenaka?


Keindahan sebenar bermula, kalau menurut saya, adalah ketika nota pertama "Bunga-Bunga Cinta" dimainkan. Lagu yang sering disebut sebagai 'lagu kebangsaan' untuk peminat balada itu mewujudkan satu gegaran halus dalam dewan. Suara Misha terdengar matang, padu, tidak berlebihan malah menyerlahkan rasa yang pernah kita lupa pernah wujud. Dari "Ku Seru" ke "Pulangkan", dari "Dedebu Cinta" ke "Angin Syurga", dari "Tanpa Rela" ke "Sampai Bila", setiap lagu menjadi pintu ingatan yang dibuka semula satu demi satu. Ada detik yang membuat penonton ingin menyanyi sekuat hati, tetapi kebanyakan memilih untuk diam kerana takut merosakkan atmosferanya sendiri.
Momen paling menyentuh hati hadir ketika Misha berkongsi detik awal pembentukan kariernya bersama tokoh penting dalam hidupnya, gurunya Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. “Suara saya biasa-biasa saja,” ceritanya, “tapi ada rasa yang membuat orang mahu mendengar lagi.” Kata-kata itu terpantul tepat kerana malam itu, rasa itulah menjadi segala-galanya. Misha tidak memaksa; tidak menunjuk-nunjuk; tidak mengejar nota tinggi seolah-olah itu lambang kecemerlangan. Dia menyanyi seperti seseorang yang telah memahami makna kehilangan, kasih, penyesalan dan ketabahan.


"Cinta Adam & Hawa" mengalir tenang hingga ke "Break" yang membawa nafas baru. Di tangan Misha, lagu-lagu ini tidak hanya dinyanyikan. Ia diperhalusi, diperkaya, dihidupkan semula dengan susunan muzik Sze Wan yang begitu rapi. Bunyi setiap instrumen jernih, seolah berdiri sendiri tetapi tetap berkait rapat antara satu sama lain. Istimewa sungguh rasanya apabila Misha membuat seluruh arena yang gah itu terasa seperti ruang tamu rumahnya sendiri. Tidak ada jarak antara penyanyi dan penonton. Hanya manusia yang saling menghargai kehadiran satu sama lain. Misha sangat funny, sangat manis dan sangat comel.
Konsert 'Dia Misha Omar' bukan biasa-biasa. Ia luar biasa. Ia seperti jurnal hidup yang dibacakan menggunakan melodi, dititipkan melalui suara yang mempunyai graviti sendiri. Malam itu, saya melihat Misha sebagai seorang pejuang seni yang sudah lama berdiri teguh tinggi tetapi masih tetap membumi. Masih tetap merendah diri. Dia tidak terburu-buru menunjukkan kebolehan, tetapi cukup cermat memilih saat untuk melepaskan 'peluru berpandu' vokalnya. Dan ketika ia dilancarkan, seluruh arena bagaikan berhenti bernafas buat seketika. Kagum sungguh!


Keghairahan kira-kira 4,000 jiwa berkumpul sebagai satu komuniti, menunggu seorang penyanyi yang sering kita dengar di radio, tetapi malam itu… terasa seperti pertama kali mengenalinya semula. Seluruh tubuh saya ditarik masuk ke ruang nostalgia. Sze Wan, Simon Khoo dan Jennifer Thompson jelas memahami bagaimana tubuh sebuah lagu boleh bernafas semula; setiap susunan muzik seakan melapisi memori lama dengan tekstur baru yang elegan dan matang. Paling manis datang sewaktu Misha meninggalkan pentas dan mendaki tangga ke bahagian atas arena untuk mendekati peminat, menyentuh tangan, tersenyum tanpa jarak.
Salah satu detik paling manusiawi hadir melalui kemunculan Muhammad Idris Ezzwa, putera kecil Misha yang tiba-tiba mencuri hati seluruh arena. Kepetahannya, selambanya mengusik penonton, dan kemudian menyanyi "Destiny" bersama ibunya, semuanya membina lapisan lembut yang sukar dicari dalam konsert berskala besar. “Kalau dulu awak kenal saya umur lapan, sekarang saya dah sembilan,” katanya, dan seluruh arena pecah dengan tawa kecil penuh kasih. Lalu Misha sendiri berkongsi bahawa pernah ada fasa gelap yang membuatnya hampir menyerah terhadap nyanyian, sebelum Datuk Syafinaz menariknya kembali ke cahaya vokal yang lebih utuh.


Sehingga akhirnya, saat "Bunga-Bunga Cinta" ditutup untuk kali kedua, tiada sesiapa yang mahu beredar. Kerusi-kerusi seakan memahat kaki semua khalayak, tidak rela membiarkan malam berlalu. Misha berdiri di tengah pentas, dikelilingi rasa cinta yang telah dibina sejak dua puluh tahun lalu, ditonton rakan-rakan seindustri seperti Anuar Zain, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Ernie Zakri, Syamel, Datuk Fazley Yaakob dan Sherry Al Hadad. Saya pulang dengan dada yang penuh. Bukan euforia semata-mata, tetapi kesedaran bahawa konsert ini adalah ritual kecil: memperingati betapa muzik mampu membina kembali jiwa manusia.
Dan malam itu, saya percaya… akan tetap begitulah 'Dia Misha Omar' sampai bila-bila, dengan penuh aura kemesraannya mendekati peminat, humornya, kedewasaan vokalnya serta kejujuran naratifnya menjadikan konsert ini perayaan cinta, seni dan ketahanan jiwa. Band dan pemuzik latar memegang peranan penting, tidak sekadar menemani, tetapi membingkai setiap lagu supaya terasa seperti dialog jiwa. Betapa santainya suasana sebuah konsert vokalis hebat setaraf Misha Omar. Tetapi keselesaan itu hanya permulaan kepada sesuatu yang jauh lebih menggetarkan.
