
oleh: zizi hashim
Empat puluh tahun. Sebut macam senang... tetapi percayalah ia tidak pernah mudah. Ramai memulakan perjalanan dengan mimpi yang besar. Tidak sedikit yang akhirnya berhenti separuh jalan. Ada yang hilang ketika nama sedang dijulang, ada yang tenggelam sewaktu zaman mula berubah, dan ada yang perlahan-lahan menjadi cerita lama yang hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Namun malam itu, saya melihat seorang wanita berdiri teguh di hadapan ribuan manusia. Tidak membawa kisah tentang kemenangan. Tidak juga tentang penyesalan. Dia hanya membawa dirinya. Dan itu sudah lebih dari memadai.
Begitulah rasanya menyaksikan Aishah 40 Chapters of Love. Tiada keperluan untuk membuktikan bahawa Dato' Aishah masih mampu menyanyi. Empat dekad telah lama menjawab persoalan itu. Malam tersebut hanyalah sebuah pertemuan yang tertangguh terlalu lama antara seorang penyanyi dengan mereka yang tidak pernah berhenti mempercayai lunak suaranya. Megastar Arena malam itu tidak terasa seperti sebuah dewan konsert. Ia lebih menyerupai ruang tamu yang sangat besar. Hadirin datang membawa cerita masing-masing. Di antara ramai, saya percaya ramai yang pernah jatuh cinta dengan "Janji Manismu."

"Camar Yang Pulang" dipilih sebagai mukadimah malam. Syahdunya... lagu itu tidak lagi terasa seperti sebuah lagu. Ia menjadi lambang simbolik kepada diri Dato' Aishah sendiri. Pulang kepada pentas. Pulang ke pangkuan mereka yang tidak pernah membiarkan namanya hilang begitu saja ditelan masa. Pulang kepada sebuah kehidupan yang telah membentuk dirinya selama empat dekad.
Medley "Tiada Duka", "Never Gave Up On You" dan "Jari-Jariku Sakit Semua" kemudian mengalir merdu satu persatu bagaikan membuka helaian pertama sebuah autobiografi yang tidak ditulis menggunakan dakwat, tetapi melalui melodi. Setelah itu, "Kau Sahabat", "Kekasih & Teman", "Kasih Kita" dan "Kau Yang Teristimewa" hadir seperti pelukan kepada ribuan penonton yang selama ini membesarkan karya-karyanya. Saya memerhati sekeliling. Tiada siapa duduk diam. Ada yang bernyanyi sambil tersenyum. Ada yang menutup mata. Ada yang menggenggam tangan pasangan. Saat itulah saya sedar... lagu-lagu Aishah telah lama berhenti menjadi miliknya. Ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup orang lain. Dan itulah hadiah paling mahal yang dimiliki oleh seorang penyanyi.
Bab berikutnya membawa pentas kembali kepada akar budaya. Persalinan tradisional hitam keemasan memberi isyarat bahawa perjalanan seni Aishah tidak pernah terpisah daripada tanah tempat beliau berpijak. "Tari Silat Melayu", "Lambaian Nogori" dan "Bahtera Merdeka" tidak hadir sekadar selingan. Ketiga-tiganya menjadi tanda hormat kepada warisan yang sentiasa hidup dalam dirinya. Kemudian... "Fatwa Pujangga". Ada lagu yang menjadi popular kerana zamannya. Ada lagu yang terus hidup kerana jiwanya. Saya percaya karya ini tergolong dalam kelompok kedua.

Suasana bertukar lebih sunyi apabila rangkaian "Di Mana Ku Cari Ganti", "Ayah" dan "Syurga Di Telapak Kaki Ibu" memenuhi arena. Sunyi yang saya maksudkan bukan kerana muzik berhenti. Sunyi yang lahir apabila setiap orang sedang berbual dengan kenangan masing-masing. Saya melihat mata yang mula berkaca. Saya melihat senyuman yang perlahan-lahan berubah menjadi rindu. Muzik memang aneh. Ia tahu membuka pintu yang selama ini kita kunci rapat. Saya sangat menyukai bagaimana keseluruhan konsert ini dibina seperti sebuah buku. Setiap lagu menjadi satu bab. Setiap bab membawa emosi yang berbeza. Tiada lagu dipilih semata-mata kerana popular. Segala-galanya mempunyai tujuan.
Di sinilah sentuhan Sharon Paul benar-benar menyerlah. Susunan muziknya kedengaran segar tanpa menghilangkan roh asal lagu-lagu Aishah. Beliau tidak cuba mengubah identiti karya-karya itu, tetapi memberi ruang untuk ia bernafas dalam bunyi yang lebih moden. Busana putih yang diperagakan selepas itu terasa seperti simbol lembaran baharu. "Bayangan" membuka ruang kepada suasana yang lebih lembut. Disusuli "You've Got A Friend", saya seakan memahami bahawa malam itu sebenarnya sedang berbicara tentang satu perkara yang sangat sederhana. Kesetiaan. Bukan kesetiaan seorang penyanyi kepada pentas. Tetapi kesetiaan peminat yang tidak pernah pergi meninggalkan seorang penyanyi.
Kemunculan Ara Johari menerusi "Kemaafan Dendam Yang Terindah" memberikan dimensi yang cukup indah. Saya tidak melihatnya sebagai sekadar artis jemputan. Ara menjadi jambatan yang menghubungkan generasi lama dengan generasi baharu. Malah ketika beliau meneruskan persembahan solo menerusi "Menjaga Jodoh Orang Lain", saya nampak ramai tersenyum sendiri. Begitulah muzik. Ia sentiasa bergerak ke hadapan tanpa pernah memutuskan akar yang membesarkannya.

Memasuki bab berikutnya, Aishah kembali menghangatkan suasana menerusi "Melukut Di Tepi Gantang", "Wajah", "Di Antara Cinta & Kasih" serta "Wanita". Rentak persembahan berubah menjadi lebih bertenaga sebelum beliau mempamerkan kemampuan vokal yang tidak pernah pudar menerusi "One Moment In Time". Sejujurnya, lagu itu menjadi antara bukti bahawa usia hanyalah angka apabila disiplin dan pengalaman berjalan seiring. Apabila medley "Sensation", "Call Me", "I Feel Love" dan "Don't Let Me Fall Alone" bergema, saya melihat sisi Aishah yang begitu bebas menikmati pentasnya sendiri. Tiada rasa penat. Tiada rasa terbeban. Yang kelihatan hanyalah seorang wanita yang masih jatuh cinta dengan muzik.
Kemuncak malam akhirnya tiba. "Janji Manismu" pun berkumandang. Entah berapa ribu kali lagu itu pernah dimainkan di radio. Entah berapa banyak pentas pernah menyaksikannya. Namun malam itu...Ia terasa berbeza. Saya tidak lagi mendengar Aishah menyanyikannya. Saya mendengar seluruh Megastar Arena menyanyikannya bersama-sama. Aishah hanya memulakan disahut hadirin yang sing-along berjemaah. Barangkali di situlah letaknya makna sebenar empat puluh tahun. Sebuah lagu akhirnya berhenti menjadi milik penciptanya. Ia menjadi milik semua. Sorakan yang tidak mahu berhenti membawa Aishah kembali ke pentas.

"Pulanglah" dan "Setitis Cahaya Di Aidilfitri" menjadi penutup yang sangat indah, seolah-olah Aishah enggan mengakhiri malam itu tanpa mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada setiap insan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya. Kata-kata Aishah tentang empat puluh tahun yang dipenuhi suka, duka dan kenangan terasa begitu jujur. Begitu juga penghargaan Vox Nation Live yang menyifatkan konsert ini sebagai penghormatan kepada legasi seorang legenda. Malam itu bukan sekadar meraikan seorang penyanyi, tetapi seluruh perjalanan seni yang telah meninggalkan jejak mendalam dalam muzik Malaysia.
Lampu akhirnya dipadamkan. Pentas kembali sunyi. Kerusi mula ditinggalkan satu demi satu. Namun saya percaya, ada sesuatu yang enggan meninggalkan Megastar Arena malam itu. Barangkali bukan gema muzik. Bukan juga sorakan ribuan manusia. Mungkin... ia hanyalah "Janji Manismu" yang akhirnya ditunaikan. Bukan kepada industri. Bukan kepada sejarah. Tetapi kepada semua hati yang selama empat puluh tahun tidak pernah berhenti menyebut nama...Aishah.