Tourism Malaysia Raih Asia Best Choice 2025: Anugerah Yang Mengangkat Martabat Destinasi Nusantara

oleh: zizi hashim

Sejambak penghargaan bertaraf serantau kembali mengangkat nama Malaysia apabila Tourism Malaysia dinobatkan penerima Asia Best Choice Tourism Organisation Award 2025. Pengiktirafan berprestij ini berlangsung di Hotel Savoy Homann, Bandung, sebuah majlis anugerah yang digerakkan oleh Mediatama Award Management bersama National Award Foundation, memperakui usaha jitu organisasi pelancongan negara dalam melebarkan pesona Malaysia kepada dunia.

Anugerah tersebut disampaikan kepada YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, dan diterima bagi pihak beliau oleh Mr Hairi Mohd Yakzan, Pengarah Tourism Malaysia Jakarta. Dalam ucapan yang sarat makna, beliau menzahirkan rasa terharu atas pengiktirafan itu, menyifatkannya sebagai gambaran komitmen pasukan Malaysia dan Indonesia dalam memperkasa promosi destinasi negara. Ujar beliau, kejayaan ini menyuntik dorongan untuk memperluas kerjasama strategik, merencana pendekatan pemasaran baharu, serta mencipta pengalaman yang lebih signifikan buat pelancong dari Indonesia dan rantau sekitarnya.

Tekad itu semakin diperkukuh apabila beliau menegaskan bahawa anugerah ini bakal memacu usaha promosi yang lebih rancak bagi menarik kehadiran lebih ramai pelawat ke Malaysia sepanjang tahun mendatang. Momentum ini hadir seiring sejarah cemerlang Tourism Malaysia yang sebelum ini diangkat sebagai National Tourism Organisation of the Year selama lima tahun berturut-turut (2019, 2021, 2022, 2023 dan 2024) oleh Indonesia Travel & Tourism Awards (ITTA) Foundation.

Statistik turut membuktikan kemaraan positif sektor pelancongan negara. Dari Januari hingga Ogos 2025, Malaysia menerima 28.2 juta pelawat antarabangsa, lonjakan sebanyak 14.5% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Kenaikan ini mencerminkan pesona Malaysia sebagai destinasi pelbagai dimensi, kota moden yang meriah, kulinari yang rencam, kepulauan tenang yang menggugah rasa, serta bandar warisan yang kaya naratif budaya.

Horizon masa depan memperlihatkan harapan yang lebih besar menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026), dengan sasaran 47 juta pelawat antarabangsa. Tourism Malaysia bertekad melakar pendekatan lebih inovatif dan kolaboratif, memastikan Malaysia terus menjadi destinasi unggul yang memikat imaginasi global.