Tourism Malaysia dan YTL Hotels Jalin Kerjasama Strategik Sempena Visit Malaysia 2026

oleh: zizi hashim

Langkah baharu tercipta di persada pelancongan negara apabila Tourism Malaysia dan YTL Hotels menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 30 Oktober 2025, sebagai usaha memperkukuh promosi Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan di Asia Tenggara.

Gabungan dua entiti besar ini bukan sahaja memperluas horizon promosi antarabangsa, tetapi juga melambangkan sinergi antara sektor awam dan swasta dalam mempersiapkan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026). Dengan jaringan promosi global Tourism Malaysia serta kepakaran hospitaliti bertaraf dunia milik YTL Hotels yang mengurus 35 hartanah ikonik di seluruh dunia, kerjasama ini dijangka mempertingkatkan daya saing Malaysia di mata dunia sebagai negara yang bukan hanya indah dikunjungi, tetapi dirasai dengan hati.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak akan menggerakkan pelbagai kempen promosi bersama, termasuk inisiatif co-branding, cross-marketing, dan pengalaman eksklusif di rangkaian hotel YTL. Usaha ini seiring matlamat nasional untuk mencapai 47 juta ketibaan pelancong menjelang VM2026, sekaligus memulihkan semangat industri pelancongan selepas tempoh mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih menarik, YTL Hotels turut akan mempromosikan kempen Visit Malaysia 2026 melalui rangkaian agensi perhubungan awam mereka yang berpangkalan di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Singapura, Korea Selatan, dan China, memperkukuh keterlihatan Malaysia di pasaran global yang strategik.

Menurut YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, kerjasama ini menjadi bukti pentingnya hubungan awam-swasta dalam menjayakan visi pelancongan negara. “Bersama YTL Hotels, kami ingin mencipta pengalaman pelancongan yang menggambarkan keindahan budaya, keunikan tarikan, serta layanan mesra rakyat Malaysia yang menjadi jenama tersendiri.”

Sementara itu, Encik Wayne Lee, Naib Presiden Operasi Resorts YTL Hotels, menyatakan penghargaan terhadap kolaborasi ini, “Kerjasama ini seiring dengan janji kami untuk menghadirkan ‘Treasured Places, Treasured Moments’. Kami ingin mempersembahkan Malaysia sebagai destinasi yang memikat jiwa, tempat di mana keindahan masa lalu berpadu harmoni dengan daya tarikan moden.”

Penandatanganan MoU ini menjadi saksi kepada komitmen Malaysia dalam menyambut dunia dengan tangan terbuka. Ia menandakan langkah penuh makna menuju Visit Malaysia 2026, di mana setiap perjalanan yang tiba bukan sekadar pelancongan tetapi kisah pertemuan, pengalaman dan kenangan yang abadi.