Taiwan IP Expo 2026 Bawa 12 Karakter Comel Ke Malaysia, Sunway Pyramid Jadi Dunia Fantasi Paling Meriah

oleh: zizi hashim

Lakaran karakter bukan lagi sekadar gambar comel di atas kertas. Hari ini, dunia IP berkembang menjadi bahasa budaya moden: hidup melalui merchandise, animasi, fesyen, komuniti dan emosi yang melekat dalam kehidupan harian manusia. Dari situlah Taiwan IP Expo 2026 in Malaysia kembali menghidupkan imaginasinya di Malaysia dengan skala yang jauh lebih besar, lebih interaktif dan lebih imersif berbanding tahun sebelumnya.

Bakal berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2026 di Sunway Pyramid, ekspo kreatif ini menghimpunkan 12 karakter IP popular dari Taiwan yang bakal memenuhi Oasis Avenue dengan dunia visual penuh warna, emosi dan pengalaman interaktif. Selepas kejayaan debutnya tahun lalu, edisi kali ini tampil dengan fokus lebih besar terhadap kolaborasi rentas negara, peluang komersial dan keterlibatan peminat secara lebih dekat.

Antara IP yang paling mencuri perhatian termasuk Kittensisland yang pernah menjadi antara IP paling laris ketika debut Malaysia sebelum ini, selain Takokuma yang semakin berkembang ke Jepun dan Korea menerusi animasi serta buku cerita originalnya. Tidak ketinggalan, Kuroro Space Exploration Team yang cukup popular di Thailand juga bakal tampil dengan siri ilustrasi dan merchandise eksklusif tersendiri. 

Namun kekuatan terbesar Taiwan IP Expo 2026 in Malaysia tahun ini bukan sekadar pada karakter-karakter tersebut, tetapi bagaimana ia membuka ruang kepada kerjasama kreatif pertama antara Taiwan dan Malaysia menerusi 12 kolaborasi original melibatkan ilustrator dan pencipta kandungan kedua-dua negara.

Melalui pendekatan rentas budaya, setiap karya yang dihasilkan cuba memberi nafas baharu kepada karakter IP sedia ada untuk disesuaikan dengan audiens berbeza. Dari situlah lahirnya interpretasi visual yang lebih segar, unik dan memiliki potensi komersial lebih luas dalam pasaran Asia Tenggara.

Antara kolaborasi yang bakal dipertontonkan termasuk gabungan karya antara Pee Yong bersama Market the Cat, Ahmek dengan Kuroro, Jefferson Ng bersama Takokuma, serta pelbagai lagi kerjasama kreatif yang menggabungkan gaya seni Taiwan dan Malaysia dalam satu dunia imaginasi yang lebih universal. Dalam masa yang sama, ekspo ini juga berfungsi sebagai platform pembangunan perniagaan dan pelesenan IP yang semakin berkembang pesat di Asia Tenggara.

Pelbagai sesi business matching akan diadakan bagi mempertemukan pemilik IP, pencipta kandungan, jenama dan pembeli serantau untuk membina peluang kolaborasi serta pengembangan pasaran baharu. Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana industri IP kini bukan lagi sekadar hiburan visual, tetapi telah menjadi antara pemacu penting ekonomi kreatif serantau.

Selain memberi fokus kepada industri, ekspo selama lima hari ini turut menjanjikan pengalaman awam yang jauh lebih menyeronokkan dan interaktif. Pengunjung boleh meneroka pelbagai zon pameran kreatif, instalasi interaktif berkuasa AR, penampilan maskot karakter serta sesi perkongsian bersama pencipta kandungan.

Keseluruhan pengalaman tersebut direka bagi membawa pengunjung masuk ke dalam “Taiwan IP Universe”, sebuah dunia fantasi yang membolehkan orang ramai bukan sekadar melihat karakter, tetapi benar-benar merasai atmosfera dan emosi di sebalik setiap karya. Menambahkan lagi kemeriahan acara, pihak ekspo turut bekerjasama dengan Sunway Pyramid menerusi kempen spend-and-redeem yang menawarkan tote bag koleksi edisi terhad menampilkan karakter-karakter IP terlibat.

Koleksi tersebut boleh ditebus setiap hari selagi stok masih ada. Sepanjang lima hari berlangsung, Taiwan IP Expo 2026 in Malaysia dilihat bukan sekadar sebuah ekspo karakter biasa. Ia adalah ruang pertemuan budaya, seni dan peluang komersial yang menghubungkan Taiwan dan Malaysia dalam bahasa kreatif yang lebih moden dan dekat dengan generasi hari ini.

Comments
* The email will not be published on the website.