
oleh: zizi hashim
Awal 2026 membuka tirai dengan sebuah pencapaian yang mengukuhkan lagi reputasi Spritzer Berhad sebagai jenama air mineral semula jadi terkemuka negara. Dua pengiktirafan berprestij iaitu Putra Brand Awards 2025 dan Superior Taste Award 2025 diraih sekali lagi, menjadikan detik ini sebagai kesinambungan legasi yang dibina bertahun-tahun dengan disiplin dan kesungguhan.
Putra Brand Awards 2025 menyaksikan Spritzer meraih Anugerah Emas dalam kategori Minuman – Tanpa Alkohol, kemenangan ke-10 dalam kategori tersebut. Lebih signifikan, anugerah ini dipacu sepenuhnya oleh pengguna; rakyat Malaysia sendiri yang menilai dan memilih pemenang merentasi 30 kategori. Keputusan tersebut mencerminkan kepercayaan yang berakar kukuh, kesetiaan yang teruji masa, serta relevansi jenama yang terus bertahan dalam landskap minuman yang sarat persaingan. Lebih membanggakan, Spritzer muncul sebagai satu-satunya jenama air mineral dalam kalangan jenama minuman global terkenal di Malaysia.


Anugerah berkenaan disampaikan kepada Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Spritzer, Dr. Chuah Chaw Teo, mewakili syarikat. Beliau menegaskan bahawa kemenangan ke-10 ini lahir daripada budaya penambahbaikan berterusan, kawalan kualiti yang teliti serta penyelidikan yang berdisiplin. Komitmen memelihara integriti air mineral semula jadi kekal menjadi teras, disertai inovasi yang bertanggungjawab demi memenuhi keperluan pengguna individu dan juga korporat yang semakin berkembang.
Sementara itu, pengiktirafan antarabangsa hadir menerusi Superior Taste Award 2025 yang dianugerahkan oleh International Taste Institute. Pensijilan global yang berpangkalan di Brussels, Belgium ini terkenal dengan metodologi penilaian sensori profesional dan ketat. Air Mineral Semula Jadi Spritzer meraih penarafan 3-bintang untuk tahun ke-10, sekaligus mengekalkan legasi 15 tahun pengiktirafan berterusan oleh institusi tersebut.


Penilaian dilakukan secara blind tasting oleh lebih 250 chef dan sommelier bertaraf dunia dari lebih 20 negara. Hanya produk yang mencapai skor melebihi 70 peratus layak menerima pensijilan ini. Keputusan tersebut bukan sahaja mengesahkan keunggulan rasa, malah menilai komposisi mineral serta konsistensi kualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Pencapaian dua anugerah ini memperlihatkan keseimbangan antara kepercayaan domestik dan validasi global. Sokongan proses R&D yang komprehensif, pengurusan kualiti yang konsisten serta warisan jenama yang berteraskan alam semula jadi menjadi fondasi kukuh kepada reputasi Spritzer. Setiap botol yang sampai ke tangan pengguna membawa bersama janji ketulenan sumber dan komitmen terhadap standard yang tiada kompromi.

Menurut Dr. Chuah, pengiktirafan ini mencerminkan keyakinan pengguna yang diberikan saban hari. Spritzer kekal beriltizam melindungi sumber semula jadi, memperkukuh inovasi dan membekalkan air mineral berkualiti tinggi yang boleh dipercayai di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Langkah ke hadapan tampak jelas. Dengan dukungan rakan kongsi, pelanggan dan pasukan yang berdedikasi, Spritzer terus mengangkat nama Malaysia ke persada dunia, membuktikan bahawa kecemerlangan yang konsisten mampu menembusi sempadan geografi dan masa.