PTTI Ukir Legasi Baharu, Raih Dua Pengiktirafan MBOR, Ubah Landskap Kejayaan SPM

oleh: zizi hashim

Satu pencapaian yang mengkagumkan dan menggamit perhatian seluruh negara apabila Pusat Tuisyen PTTI sekali lagi membuktikan keunggulan dalam landskap pendidikan apabila berjaya meraih dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book of Records (MBOR) susulan kejayaan luar biasa dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Dua anugerah bersejarah tersebut — ‘Most Straight A’s SPM Students in a Tuition’ dan ‘Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition’ — merupakan cerminan kepada komitmen tidak berbelah bahagi PTTI dalam memberikan pendidikan bertaraf tinggi dan menyeluruh. Dengan seramai 401 pelajar berjaya meraih keputusan Straight A’s dan sejumlah 18,432 Gred A terkumpul, kejayaan ini bukan sahaja memecah rekod, malah meletakkan PTTI sebagai peneraju utama dalam industri pendidikan negara.

Kejayaan gemilang ini diraikan dalam suasana penuh gemerlapan di Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dihadiri lebih 2,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat pada 1 Jun 2025. Turut menyerikan majlis ialah barisan personaliti ternama negara seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Dato’ K), Datuk Wira Dr. Azizan Osman, serta selebriti muda berpengaruh seperti MK K-Clique, Iman Troye, Alyssa Dezek, Zaki Yamani, dan Naim Daniel.

Majlis ini bukan sekadar meraikan kejayaan pelajar cemerlang, malah turut memberi penghargaan kepada 356 pelajar berstatus ‘Nearly All A’s’ serta 1,685 pelajar yang memperoleh enam A dan ke atas, sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan semangat juang mereka.

Sebagai tanda sokongan terhadap pencapaian luar biasa ini, PTTI dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa telah menyampaikan insentif tunai berjumlah RM500 kepada setiap pelajar Straight A’s, menjadikan jumlah keseluruhan insentif mencecah RM200,500. Langkah ini bukan sahaja sebagai galakan moral, malah simbol sokongan kepada pelajar dari pelbagai latar belakang untuk terus mengejar kecemerlangan akademik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Puan Siti Farhana Abu Osman, kejayaan ini adalah hasil kerjasama mantap antara tenaga pengajar, pelajar, ibu bapa serta keseluruhan ekosistem PTTI yang sentiasa menekankan pendekatan pendidikan berstrategi dan berfokuskan impak jangka panjang.

“Ini bukan kejayaan individu, tetapi kemenangan kolektif. Ia membuktikan bahawa pendidikan yang berkualiti, disokong oleh sistem yang teratur dan sokongan berterusan, mampu mengubah nasib pelajar dan mencipta masa depan yang lebih cerah,” ujar beliau.

Memandang ke hadapan dengan penuh keyakinan, PTTI menyasarkan untuk mencetak 1,000 pelajar Straight A’s bagi SPM 2025 menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi, antaranya pengajaran berasaskan teknologi, sesi konsultasi akademik secara individu, serta pemantauan prestasi yang teliti dan berterusan.

Sebagai langkah proaktif membantu pelajar menghadapi cabaran SPM yang semakin mencabar, PTTI turut menawarkan sesi konsultasi percuma kepada ibu bapa dan pelajar bagi mengenal pasti pendekatan pembelajaran paling sesuai mengikut keperluan individu.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi PTTI di www.ptti.my — kerana di sinilah permulaan kepada pencapaian luar biasa bermula.