Nafas Baharu Ruang Industri 'The Goodday Milk Factory' Jadi Hab Komuniti Petaling Jaya

oleh: zizi hashim

Hamparan konkrit dan struktur industri yang pernah menjadi sebahagian landskap lama Seksyen 13, Petaling Jaya kini memikul identiti baharu. Goodday Milk melangkah keluar daripada lorong produk tenusu dan memperkenalkan 'The Goodday Milk Factory', sebuah destinasi gaya hidup lima ekar yang menafsir semula makna ruang komuniti harian.

Dilancarkan secara rasmi pada 13 Februari 2026 di Jalan Semangat, inisiatif ini bukan projek komersial bermusim, sebaliknya konsep placemaking selama setahun yang dirancang berteraskan aliran rutin sebenar masyarakat, daripada senaman pagi, makan tengah hari santai, hingga pertemuan petang dan hujung minggu bersama keluarga.

Ruang yang dahulunya tapak industri itu dipulihara dengan kesedaran estetik. Karakter rustik tidak dipadam, malah diraikan. Dinding-dindingnya dihiasi mural terinspirasi corak lembu yang diterjemah dalam bentuk tompok ekspresif dan ceria: simbol visual kepada falsafah “Where Good Days Come Together”. Suasana yang terhasil terasa hidup, tidak terlalu digilap, dan dekat dengan denyut realiti harian.

Projek ini digerakkan oleh Lotus Capital, firma modal teroka Malaysia yang diasaskan oleh Karthiik Doraisingam, Ketua Pegawai Kewangan Lotus Group dan anak kepada pengasasnya, Tan Sri R. Doraisingam Pillai. Dikenali sebagai pelabur awal Tiffin at the Yard serta rakan pertumbuhan myBurgerLab dan myPizzaLab, Lotus Capital membawa kepakaran dalam membangunkan jenama F&B tempatan. Melalui kerjasama bersama Etika, destinasi ini direalisasikan dengan visi yang sama: membentuk ruang terbuka, mesra dan inklusif untuk komuniti.

Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., menjelaskan falsafah di sebalik inisiatif ini, “Di Goodday Milk, kami percaya gaya hidup sihat perlu hadir secara mudah dan semula jadi dalam kehidupan seharian. Itulah yang mengilhamkan kami menghidupkan semula ruang industri ini menjadi The Goodday Milk Factory. Kami meraikan keaslian ruang ini kerana kesejahteraan terbina melalui hubungan yang tulus, rutin harian dan pengalaman bersama. Inilah makna sebenar ‘Where Good Days Come Together’, evolusi kami daripada jenama produk kepada kehadiran gaya hidup yang dekat dengan komuniti.”

Falsafah tersebut memperlihatkan anjakan signifikan Goodday Milk daripada sekadar jenama produk kepada kehadiran gaya hidup yang lebih menyeluruh dan fizikal. Struktur ruang The Goodday Milk Factory dirangka dengan komposisi yang seimbang. Studio senaman berafiliasi HYROX oleh Backyard Training menjadi teras kecergasan, manakala gelanggang komuniti The Backyard Pickleball membuka ruang interaksi aktif yang inklusif. Di bahagian kulinari, Nasi Lemak Burung Hantu menjadi antara tarikan utama, disertai pelbagai jenama tempatan lain. Pilihan minuman merangkumi produk Etika seperti Goodday Milk, Pepsi dan Wonda.

Ruang fleksibel turut disediakan untuk perhimpunan komuniti, pengaktifan jenama dan acara persendirian, memperkukuh peranannya sebagai destinasi pelbagai guna dalam kejiranan. Karthiik R. Doraisingam selaku Pengarah Urusan Lotus Capital, menyatakan, "The Goodday Milk Factory ialah inisiatif Lotus Capital yang dirangka untuk menyatukan orang ramai melalui makanan, pergerakan dan pengalaman bersama. Ia diwujudkan selaras dengan Visit Malaysia 2026, Visit Selangor 2026 serta momentum inisiatif pembangunan ruang komuniti yang semakin berkembang. Projek ini mencerminkan keyakinan kami dalam membina ruang yang mudah didekati, berdaya hidup dan berakar pada komuniti. Kerjasama dengan Etika membantu membentuk destinasi yang direka untuk diteroka, dinikmati dan dikongsi oleh masyarakat setiap hari.”

Pelancaran destinasi ini diraikan dengan sentuhan simbolik. Seramai 1,500 pengunjung pertama menerima hidangan percuma Nasi Lemak Burung Hantu bersama Goodday Milk. Sepanjang hari, sesi pensampelan produk berlangsung, disertai pilihan minuman Etika di seluruh kawasan. Persembahan tarian singa turut memeriahkan suasana sebagai sambutan menjelang Tahun Baharu Cina.

Sebagai jenama yang telah menjadi kegemaran rakyat Malaysia sejak 1968, Goodday Milk — dihasilkan oleh Etika Dairies dan diedarkan oleh Etika Sdn. Bhd. — terus memperluas portfolio produknya daripada susu pasteur Full Cream, Low Fat dan Chocolate kepada variasi UHT seperti Strawberry, Goodday Charge serta Good Vibes (non-dairy). Goodday Charge pula diperkenalkan sebagai susu coklat pertama diperkaya dengan 10 nutrien penting bagi tenaga berpanjangan.

Etika sendiri merupakan antara pengedar minuman terbesar Malaysia dan pembotol rasmi PepsiCo, memasarkan jenama global seperti Pepsi, Tropicana, Mountain Dew, Revive Isotonic, Mirinda, 7UP, Lipton Ice Tea, MUG, Gatorade, Sting dan Evervess selain Kickapoo serta rangkaian produknya sendiri seperti WONDA Coffee, Calpis, Dairy Champ, Hijrah, Chill Asian Drinks dan Bleu.

Melalui The Goodday Milk Factory, satu naratif baharu terhasil. Naratif tentang ruang yang menghubungkan makanan, kecergasan, budaya dan manusia dalam satu koordinat fizikal yang inklusif. Lima ekar ini bukan sekadar alamat baharu di Petaling Jaya; ia sebuah eksperimen sosial yang meraikan kebiasaan harian sebagai sesuatu yang patut dihargai.

Foto Kredit: Nazlin Nasa