Mi Sedaap Jelajah PPR Lembah Klang Kongsi Rezeki Bersama Komuniti Ramadan

oleh: zizi hashim

Suasana Ramadan sentiasa membawa bersama kehangatan kebersamaan dan rasa syukur yang lebih mendalam. Semangat itu diterjemahkan oleh Mi Sedaap melalui inisiatif kemasyarakatan “Jom Berbuka Bersama Mi Sedaap”, sebuah siri jelajah yang menyantuni komuniti di beberapa kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang.

Kolaborasi bersama TV3, Pepper Labs dan Dapur Digital menjadikan program ini lebih daripada sekadar acara berbuka puasa. Ia menjadi ruang pertemuan antara jenama, selebriti dan masyarakat setempat dalam suasana yang penuh kemesraan serta semangat berkongsi rezeki.

Setiap sesi jelajah dimulakan dengan aktiviti memasak bersama selebriti di dapur Pepper Labs, sebelum hidangan yang disediakan diagihkan kepada kira-kira 350 penerima di setiap lokasi. Aroma makanan yang hangat dan wajah-wajah ceria penerima mencipta suasana Ramadan yang sarat dengan rasa syukur.

Program ini turut diserikan dengan pelbagai permainan dan aktiviti santai yang menghidupkan suasana di kawasan PPR, menjadikan ia bukan sekadar acara kebajikan, tetapi juga perayaan komuniti yang mempertemukan jiran dan keluarga.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat, Mi Sedaap turut menyerahkan kotak Kongsi Rezeki kepada rakan-rakan Dapur Digital, yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah. Kotak tersebut mengandungi barangan keperluan asas sebagai sokongan kepada mereka yang terus berusaha mencari rezeki demi keluarga.

Inisiatif ini seiring dengan semangat jenama Mi Sedaap yang mengangkat slogan “Kongsi Rezeki, Nikmati Rasa Asli Mi Sedaap.” Melalui pendekatan tersebut, program ini menyampaikan mesej bahawa rezeki yang dikongsi mampu mengeratkan hubungan sesama insan.

Jelajah ini berlangsung di tiga lokasi utama yang dipilih secara strategik di Lembah Klang. Persinggahan pertama di PPR Wangsa Sari pada 21 Februari diserikan oleh pasangan ibu dan anak popular Nabila Huda dan Keisha Laila, bersama pengacara Zati Nizam dan Asyraf Jamaluddin.

Suasana kemudiannya beralih ke PPR Sri Perlis 2 pada 28 Februari, dengan kehadiran pelawak terkenal Angah dan Wawa, yang membawa gelak tawa kepada komuniti setempat. Acara tersebut dikendalikan oleh Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin.

Destinasi terakhir berlangsung di PPR Hiliran Ampang pada 3 Mac, yang turut menjadi kemuncak kepada siri jelajah ini. Acara tersebut dimeriahkan oleh Chef Fazley dan Fariedz Fazley, yang berkongsi kepakaran memasak sambil menyantuni penduduk.

Majlis penutup turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima, Puan Farah Shamsudin, serta Pengurus Serantau Gentle Supreme Sdn Bhd, Encik Ng Hock Guan, sebagai simbol sokongan kepada usaha yang menghubungkan jenama dengan masyarakat.

Melalui program ini, Mi Sedaap bersama rakan strategik berjaya memperkukuh hubungan dengan komuniti sambil menyemarakkan nilai kebersamaan sepanjang Ramadan. Kehangatan yang tercipta sepanjang siri jelajah ini memperlihatkan bahawa semangat berkongsi mampu membawa makna yang lebih luas daripada sekadar hidangan di meja berbuka.

Harapan turut disuarakan agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, sekali gus memastikan lebih banyak komuniti dapat merasai manfaat serta keberkatan yang lahir daripada semangat saling membantu.