Sempena tibanya Maulidur Rasul 1447H, layar kaca tanah air kembali menyala dengan siaran yang sarat makna. TV3 dan TV9 menyulam kerohanian melalui sajian ilmiah yang disusun penuh teliti, menyingkap kembali cahaya sunah dan teladan Rasulullah SAW untuk direnungi bersama. Inisiatif ini menjadi bukti kesungguhan kedua-dua saluran dalam menjadikan televisyen bukan sekadar hiburan, tetapi wahana yang mendidik jiwa.
Sorotan utama tahun ini terletak pada program Tanyalah Ustaz, yang tampil dengan wajah baharu menerusi episod khas berjudul Bertopengkan Sunah. Perbincangan yang dijangka membangkitkan renungan ini mengungkap fenomena penyalahgunaan salasilah Rasulullah SAW demi kepentingan diri, kumpulan mahupun ideologi, termasuklah peredaran hadis palsu yang digunakan bagi menghalalkan perilaku yang menyalahi syariat. Episod istimewa ini mempertemukan dua figura berpengaruh, Datuk Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Yaakub Yusra, yang akan mengupas isu berlapis dengan hikmah, bersiaran 5 September 2025 jam 6.50 pagi di TV3 dan TV9.
Rangkaian pengisian lain turut dipersembahkan sebagai peneman jiwa sepanjang minggu penuh keberkatan ini. Bacaan Yasin 2025 (5 September 2025) menampilkan enam qari terkemuka – Da’i Hakim, Da’i Fahmi, Ustaz Fakhrul Radhi, Husaini Mahmuri, Amirahman Abas dan Harith Hakimi – memperdengarkan lenggok murattal Surah Yasin dengan visual kecerdasan buatan yang memaknakan setiap kalimah.
Sementara itu, Kapsul Rasulullah Cahaya Inspirasi (2 – 7 September 2025) membawa penonton menyingkap empat sifat agung Rasulullah SAW – Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fathonah – melalui kisah ringkas namun berkesan, disampaikan oleh Ustaz Muhamad Amin. Selang beberapa hari kemudian, Kapsul Selawat (5 – 7 September 2025) pula menyerlahkan suara tulus generasi muda, apabila kumpulan Nasyid As-Saif dari SK Telok Pulai, Klang mempersembahkan qasidah dua minit yang menggetarkan rasa cinta terhadap Nabi junjungan.
Tidak ketinggalan, Tanyalah Ustaz: Diari Muslim yang bersiaran dari 29 Ogos hingga 20 September 2025, menyingkap amalan sunah kecil yang sering dipandang remeh. Bersama Ustaz Izmir Fareez, episodnya meliputi perbincangan tentang keindahan azan, hikmah tahnik dan aqiqah, adab salam serta keberkatan pada setiap suapan.
Rangkaian siaran ini tidak hanya menawarkan tontonan, tetapi mengajak penonton menyelam ke dasar rohani. Dengan tekad memperkukuh perpaduan, menumbuhkan kasih sesama insan dan memupuk kecintaan yang tulus kepada Nabi Muhammad SAW, TV3 dan TV9 menghadirkan Maulidur Rasul kali ini sebagai pengalaman yang menyalakan jiwa.