Manoharan Periasamy Kembali Mengemudi Tourism Malaysia, Misi VM2026 Kini Bermula

oleh: zizi hashim

Putrajaya menyaksikan satu detik penting dalam landskap pelancongan negara apabila YBhg. Datuk Manoharan Periasamy diumumkan sebagai Pengerusi baharu Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), berkuat kuasa 8 Disember 2025. Pelantikan ini dimaklumkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, selaras dengan peruntukan Seksyen 5(1)(a), Akta 481 Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992.

Nama Manoharan bukanlah asing dalam ekosistem pelancongan negara. Lebih tiga dekad penglibatan aktif dalam perkhidmatan awam dan industri pelancongan telah membentuk beliau sebagai antara figura strategik paling berpengalaman dalam Tourism Malaysia. Pelantikan ini juga menyaksikan beliau menggantikan YBhg. Datuk (Dr.) Yasmin Mahmood, sekali gus membuka lembaran baharu kepimpinan menjelang kempen besar Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Sebelum ini, Manoharan pernah menggalas pelbagai jawatan kanan yang kritikal, termasuk Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia & Afrika), Pengarah Kanan Bahagian Pengiklanan & Digital, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat. Setiap peranan tersebut membentuk pemahaman menyeluruh beliau terhadap strategi promosi, penjenamaan destinasi dan pengurusan naratif Malaysia di pentas global.

Pengalaman antarabangsa beliau turut mencorakkan perspektif serantau yang mendalam. Dari tahun 2000 hingga awal 2016, beliau memimpin operasi promosi pelancongan negara sebagai Pengarah Tourism Malaysia di Mumbai dan New Delhi, India. Satu tempoh penting dalam mengukuhkan kehadiran Malaysia di pasaran Asia Selatan yang kompetitif dan berpotensi tinggi.

Dalam kenyataan beliau, Manoharan menyatakan kesediaan memikul amanah ini dengan penuh dedikasi, terutamanya dalam memastikan keberhasilan VM2026. Komitmen untuk bekerjasama rapat bersama pengurusan serta seluruh warga Tourism Malaysia dilihat sebagai teras utama kepimpinannya, dengan fokus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Pelantikan ini hadir pada waktu strategik, ketika Tourism Malaysia sedang memperhebat penyelarasan program, aktiviti promosi dan kerjasama serantau termasuk sokongan terhadap Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) serta kesinambungan agenda pelancongan mampan sejajar Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Di bawah kepimpinan baharu ini, hala tuju Tourism Malaysia dijangka lebih tersusun, berpaksikan pengalaman lapangan, kefahaman pasaran antarabangsa dan pendekatan komunikasi yang relevan dengan landskap pelancongan moden. VM2026 kini bukan sekadar kempen, ia menjadi medan pembuktian keupayaan Malaysia menyambut dunia dengan naratif yang lebih matang, inklusif dan berdaya saing.