Malaysia Pacu Era Baharu Automotif Menerusi KLIMS 2026, Visi Lebih Hijau Dan Lebih Pintar

oleh: zizi hashim

Bingit bunyi enjin yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kemajuan automotif kini berkongsi pentas dengan suara yang lebih senyap, lebih pintar dan lebih lestari. Itulah gambaran perubahan besar yang sedang berlaku dalam industri automotif global, sebuah transformasi yang menjadi nadi utama kepada Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 12 hingga 21 Jun 2026, KLIMS kembali untuk edisi ke-11 dengan membawa tema “Beyond Mobility”, sekaligus memperlihatkan bagaimana industri automotif sedang berkembang melangkaui fungsi tradisional pengangkutan kepada ekosistem mobiliti yang lebih menyeluruh, pintar dan mampan.

Penganjuran kali ini dianjurkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA) dengan kerjasama Qube Integrated Malaysia, menghimpunkan pelbagai pemain industri yang tampil memperlihatkan teknologi, inovasi serta penyelesaian mobiliti masa hadapan. Sebanyak 18 jenama automotif tempatan dan antarabangsa mengambil bahagian, menjadikan KLIMS 2026 antara edisi paling besar dan komprehensif pernah dianjurkan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, yang menegaskan kepentingan peralihan ke arah mobiliti hijau, penggunaan kenderaan elektrik serta sistem pengangkutan yang lebih selamat dan mesra alam. Beliau turut menyifatkan perkembangan teknologi seperti elektrifikasi, automasi dan sistem pengangkutan pintar sebagai pemangkin penting dalam membentuk landskap mobiliti negara pada masa hadapan.

Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain, pula menekankan bahawa mobiliti hari ini tidak lagi hanya berkisar tentang perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain. Sebaliknya, ia mencerminkan bagaimana teknologi membantu menghubungkan komuniti, memperkukuh fungsi bandar dan memperkenalkan penyelesaian yang lebih mampan kepada kehidupan seharian masyarakat.

Selari dengan agenda peralihan tenaga negara, KLIMS 2026 memberi tumpuan besar kepada teknologi hijau serta penggunaan kenderaan elektrik atau xEV. Perkembangan tersebut turut disokong oleh peningkatan minat pengguna Malaysia terhadap teknologi automotif baharu. Menurut MAA, jualan kenderaan elektrik menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama 2026, mencerminkan perubahan positif dalam corak penggunaan pengguna tempatan.

Selain pameran kenderaan terkini, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pelancaran model baharu, konsep mobiliti masa hadapan dan pelbagai teknologi berkaitan industri automotif. Antara jenama yang mengambil bahagian termasuk Perodua, Proton, Honda, Toyota, Mazda, Hyundai, GWM, XPeng, Zeekr, MG, Jetour dan beberapa lagi pemain utama industri.

Pengalaman di KLIMS 2026 juga diperluaskan melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti simulasi perlumbaan, pengalaman simulator penerbangan, pertunjukan kereta ubah suai, sesi pandu uji serta persembahan artis dan selebriti sepanjang pameran berlangsung. Kehadiran elemen gaya hidup ini menjadikan KLIMS lebih daripada sebuah pameran automotif konvensional.

Sebagai penghargaan kepada pengunjung, penganjur turut menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai keseluruhan RM125,000, termasuk hadiah utama sebuah Perodua Bezza. Inisiatif tersebut dijangka menambah keterujaan ribuan pengunjung yang bakal memenuhi ruang pameran sepanjang 10 hari acara berlangsung.

Lebih penting daripada angka dan teknologi yang dipamerkan, KLIMS 2026 memperlihatkan keyakinan bahawa Malaysia sedang bergerak seiring dengan perubahan global. Mobiliti masa hadapan bukan lagi sebuah imaginasi yang jauh, sebaliknya sedang dibentuk hari ini melalui inovasi, kolaborasi dan keberanian untuk berubah.

Ketika dunia automotif memasuki lembaran baharu yang dipacu oleh elektrifikasi, kecerdasan buatan dan kelestarian, KLIMS 2026 berdiri sebagai pentas yang merakam permulaan kepada perjalanan tersebut. Sebuah perjalanan yang membawa Malaysia melangkaui konsep mobiliti yang selama ini kita kenali.

Comments
* The email will not be published on the website.