Makan Bijak Bersama Ayam Brand™ 2025 Tempa Kreativiti Baharu Nutrisi Generasi Muda

oleh: zizi hashim

Riuh rendah kecil itu bergaung lagi di lorong-lorong sekolah; tawa yang jujur, tangan yang disimbah warna, dan minda-minda muda yang terbuka mencari jawapan tentang dunia. Program Makan Bijak Bersama Ayam Brand™ 2025 mengalir masuk ke 30 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, membawa satu misi yang lebih besar daripada sekadar ceramah pemakanan, ia menyentuh akar kreativiti dan kehidupan kanak-kanak secara bertahap, lembut namun meninggalkan impak mendalam.

Sejak Jun hingga November, lebih 6,300 murid menyertai tiga komponen utama iaitu Ceramah Pemakanan, Pertandingan Seni Individu dan Pertandingan Mural Antara Sekolah, setiap satunya menjadi jambatan antara nutrisi dan imaginasi. Sama seperti tubuh memerlukan tenaga, jiwa kanak-kanak juga menuntut ruang untuk berkarya, dan di sinilah Ayam Brand™ menyalakan lampu kecil di setiap sudut pembelajaran. 

Teoh Wei Ling, Ketua Pemasaran A Clouet (Malaysia), merumuskan falsafah program ini dengan begitu indah: nutrisi yang baik membuka pintu fokus, manakala seni membentuk empati dan daya imajinasi, dua komponen yang membina seorang manusia dengan lebih seimbang.

Perjalanan bermula dengan ceramah pemakanan yang menyentuh konsep Pinggan Sihat Malaysia dan #SukuSukuSeparuh, sambil murid menerima pek hadiah seperti Santan Kelapa Ayam Brand™ dan Ayam Carik Mayones sebagai galakan untuk membawa amalan sihat pulang ke rumah. Mereka belajar bukan sahaja daripada buku, tetapi melalui pengalaman, bagaimana hidangan seimbang memberi tenaga untuk bermain, melukis dan berfikir lebih jauh daripada biasa.

Sementara itu, Pertandingan Seni Individu mengundang 150 penyertaan, lalu menghadirkan tiga juara cilik iaitu Nur Zara Afina, Siti Nur Shakirah, dan Nur Qisya Adelia yang berjaya memanifestasikan kesihatan dalam bentuk visual yang ceria dan menyentuh. Setiap lukisan terasa seperti pintu kecil kepada dunia yang lebih optimistik.

Kemuncaknya, dinding-dinding sekolah berubah menjadi kanvas perayaan apabila Pertandingan Mural Antara Sekolah melibatkan 30 pasukan murid dan guru. Mural-mural ini dinilai berdasarkan mesej, kreativiti dan keterikatan pada tema “Gaya Hidup Sihat dan Ceria bersama Ayam Brand™”, dengan markah tambahan daripada penggunaan tanda pagar #Sihat&CeriaBersamaAyamBrand dan #MakanBijakBersamaAyamBrand di media sosial.

Di antara mural yang mencuri perhatian ialah karya SK Taman Seri Gombak 2, diterjemahkan oleh Alya Hani yang baru berusia 11 tahun. Kata-katanya polos namun benar: "Makanan sihat menjadikan saya lebih bertenaga untuk melukis dan bermain.” Dan pada akhirnya, gelaran juara mural dimiliki SK Desa Tun Hussein Onn, membawa pulang RM4,000 serta trofi, disusuli SK (1) Selayang Baru dan SK Dusun Tua sebagai pemenang kedua dan ketiga.

Di sebalik mural, seni, dan bengkel nutrisi, program ini turut meraikan usaha sekolah, guru dan komuniti pendidikan yang memberi ruang kepada murid untuk mencorakkan dunia mereka melalui garis-garis kecil penuh makna. Ia adalah bukti bahawa pemakanan bukan hanya perkara dapur; ia membentuk cara seorang anak melihat hidup, menghargai tubuh, dan menzahirkan suara hati.

Ayam Brand™, sebuah jenama berusia 133 tahun, tidak sekadar membawa produk ke meja makan, tetapi membawa nilai kualiti, kreativiti dan kesejahteraan. Dari fasiliti bertaraf dunia hingga rangkaian makanan sihat bebas bahan pengawet, komitmen ini menjadi pengikat program dan terus memberi manfaat kepada generasi baharu yang akan mewarisi dunia ini dalam keadaan lebih baik.

Ketika hadiah diumumkan dari 24 hingga 26 November, wajah-wajah kecil itu bercahaya bukan kerana ganjaran semata, tetapi kerana rasa dihargai. Dan mungkin itulah sebenar-benarnya misi program ini: membesarkan anak-anak yang sihat jasmani, tajam imaginasi dan yakin mengekspresikan diri.

Program Makan Bijak Bersama Ayam Brand™ 2025 berakhir dengan senyum yang panjang, tetapi impaknya masih hidup di dinding sekolah, dalam pek santan di dapur, dan dalam hati ribuan murid yang kini tahu bahawa kreativiti dan pemakanan yang baik bergerak seiring.