Jalinan Baharu Timur: Menyusuri Nadi Pelancongan Sabah & Labuan ke Pantai Timur

oleh: zizi hashim

Arus pelancongan domestik kini bergetar dengan semangat baharu. Sabah & Labuan Meet East Coast Roadshow 2025 dilancarkan sebagai kesinambungan daripada gema kejayaan “Bah, Mari Pigi Sabah & Labuan Roadshow 2023”. Diselenggarakan Tourism Malaysia bersama Sabah Tourism Board dan Labuan Corporation, usaha ini bukan sekadar promosi biasa, melainkan jambatan persahabatan antara Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan keindahan yang tersimpan di bumi Sabah dan Labuan.

Kota Bharu menjadi saksi pertama pada 21 September 2025, diikuti Kuantan pada 23 September 2025. Dua titik ini dipilih bukan tanpa makna, ia menandai pintu gerbang Pantai Timur yang semakin terbuka kepada daya tarikan Borneo. Dalam dua perhentian ini, hadir delegasi seramai 15 pemain industri dari Sabah dan Labuan: agensi pelancongan, pengusaha pakej, persatuan pelancongan, hingga pengusaha hotel yang membawa aspirasi. Mereka datang bukan hanya untuk mempromosi, tetapi untuk menyulam jaringan dan mewujudkan peluang baharu dalam sesi pertemuan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang dijangka penuh wacana dan strategi.

Lebih menarik lagi, acara ini mempersembahkan 2 penceramah inspirasi. Mereka mengupas lapisan-lapisan keindahan Sabah dan Labuan seperti pantai yang tidak bertepi, gunung yang megah, laut yang berkilau dengan kehidupan, dan budaya yang terikat dalam sejarah panjang komuniti setempat. Naratif mereka menjadi undangan terbuka: ayuh jelajahi, kenali, dan alami keindahan yang tidak hanya indah di mata, tetapi menyentuh di jiwa. Dengan dukungan penuh daripada kerajaan negeri Kelantan dan Pahang, acara ini dijangka disertai lebih 100 pembeli pelancongan dari Pantai Timur, sekali gus mengukuhkan hubungan 2 wilayah yang selama ini terpisah laut tetapi disatukan oleh destinasi.

Bagi para delegasi Sabah dan Labuan, perjalanan ini juga membuka ruang untuk menyusuri produk pelancongan Pantai Timur sendiri. Lawatan pengalaman mereka melintasi Kelantan, Terengganu dan Pahang memberi peluang melihat sendiri warisan budaya, daya tarik semula jadi serta produk pelancongan yang boleh diangkat dalam kerjasama bersama. Pertemuan ini akhirnya membentuk ekosistem saling melengkapi, Borneo memperkenalkan syurga tropikalnya, sementara Pantai Timur memperlihatkan pesonanya yang tersendiri.

Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Puan Haryanty Abu Bakar menegaskan kepentingan strategik program ini: “Seiring dengan Visit Malaysia 2026 (VM2026), kami ingin mengangkat pendekatan lebih agresif, memperbanyakkan pakej pelancongan, mempelbagaikan promosi, dan menyemarakkan aktiviti di semua negeri, agar perjalanan antara wilayah menjadi lebih rancak.”

Akses kini lebih mudah dengan penerbangan AirAsia yang menghubungkan Sabah ke Pantai Timur Semenanjung sebanyak tiga kali seminggu. Namun, dengan meningkatnya permintaan perjalanan dua hala, harapan terbuka luas agar lebih banyak syarikat penerbangan berani meluaskan jaringan mereka ke sektor ini. Ruang kolaborasi semakin jelas: permintaan tinggi perlu dijawab dengan akses yang lebih meluas.

Data rasmi yang dikongsi Sabah Tourism Board menggambarkan optimisme yang nyata. Dari Januari hingga Julai 2025, Sabah telah menerima 2,119,813 pelawat, lonjakan 20.3 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. Daripada angka ini, 854,648 adalah kedatangan antarabangsa, sementara 1,265,165 datang dari dalam negara. Statistik ini seakan menjadi saksi bahawa tanah Borneo masih menjadi dambaan, dan menghubungkannya dengan Pantai Timur akan membuka bab baharu dalam peta pelancongan Malaysia.

Lebih daripada sekadar angka, Sabah & Labuan Meet East Coast Roadshow 2025 menandakan pertemuan dua dunia, Pantai Timur yang berbudaya, Borneo yang magis. Pertemuan ini menghidupkan harapan bahawa pelancongan domestik bukan lagi hanya pilihan, tetapi gaya hidup yang mempertemukan rakyat Malaysia dengan keindahan tanah air mereka sendiri.