Fipper X Soloz 2026 Kembali Dengan Koleksi Kedua, Strategi Bijak Soloz Rancang Masa Depan

oleh: zizi hashim

Sorakan di arena e-sukan mungkin bergema lantang, namun bagi Soloz atau Muhammad Faris Zakaria, kejayaan sebenar terletak pada perancangan yang teratur dan disiplin kewangan yang tidak goyah. Pemain profesional Mobile Legends: Bang Bang ini percaya dunia e-sukan bergerak sepantas kilat, sementara jangka hayat seorang atlet digital tidak selama yang disangka.

Setiap kemenangan dan hadiah wang tunai yang diraih tidak pernah dianggap sebagai tiket untuk berbelanja mewah. Sebaliknya, ia menjadi batu asas membina aset masa depan. “Saya sentiasa fikir tiga hingga lima tahun ke hadapan. Kalau sesuatu pelaburan tak ada potensi berkembang, saya tak akan buat. Saya elakkan perbelanjaan yang hanya beri kepuasan sementara,” jelasnya.

Prinsip penggandaan keuntungan atau compounding menjadi pegangan, melaburkan semula hasil yang diperoleh untuk menjana pulangan lebih kukuh pada masa akan datang. “Kalau kita tak rebut peluang, orang lain akan ambil. Dalam dunia yang kompetitif, kita kena bertindak pantas dan bijak,” tambahnya lagi.

Pendekatan berstrategi itu diterjemahkan melalui kolaborasi kali kedua bersama Fipper menerusi koleksi Fipper X Soloz 2026, yang rasmi dilancarkan pada 28 Februari 2026 di Kuala Lumpur. Kejayaan koleksi pertama pada tahun 2023 yang habis terjual dalam tempoh singkat menjadi pemangkin kepada kelahiran edisi baharu ini. Permintaan tinggi daripada peminat yang terlepas mendapatkan koleksi terdahulu memperlihatkan sinergi kukuh antara fesyen gaya hidup dan budaya e-sukan.

Menurut Soloz, kolaborasi ini merupakan sebahagian daripada strategi diversifikasi pendapatan di luar arena pertandingan. Produk gaya hidup seperti selipar membuka pasaran yang lebih universal dan stabil berbanding pakaian atau aksesori yang sering terikat pada trend dan saiz. “Dengan Fipper, peminat boleh memiliki sesuatu yang lebih praktikal dan mampu milik. Ramai ibu bapa jadikan saya contoh kepada anak-anak mereka, jadi produk ini boleh jadi hadiah yang ada nilai sentimental,” ujarnya.

Koleksi kedua ini hadir dengan sentuhan lebih peribadi, di mana sekitar 70 peratus konsep termasuk pemilihan warna dan rekaan ditentukan oleh Soloz sendiri. Kualiti material premium dikekalkan, manakala elemen hiasan di bahagian sisi diperbaharui dengan rekaan berbentuk haiwan yang lebih tahan lasak. Pelancarannya yang bertepatan dengan Ramadan dan persiapan Aidilfitri menambah makna eksklusif kepada koleksi terhad ini.

Dari sudut rekaan, dua gaya diperkenalkan. Siri Slip-On menawarkan keselesaan ringan dan mudah disarung, hadir dalam tiga warna iaitu Rage Burst (pink dan ungu), Toxic Rush (neon) serta Over Drive (merah). Sementara itu, siri Refitt tampil dengan siluet lebih berstruktur dan refined, lengkap dengan tali tebal untuk kestabilan tambahan, dalam pilihan Volt Signature (neon) dan Crimson Legacy (merah). Setiap pasang memaparkan tanda tangan Soloz pada bahagian strap sebagai simbol kolaborasi identiti.

Sambutan awal yang memberangsangkan menyaksikan salah satu warna Slip-On telah habis terjual sepenuhnya, mencerminkan sokongan kuat komuniti Gen-Z, gamer dan trendsetter terhadap koleksi ini.

Bagi Fipper yang telah 18 tahun bertapak dalam industri dan diiktiraf dalam ASEAN Book of Records sebagai jenama dengan kombinasi warna tertinggi, kerjasama ini melangkaui batas komersial. “Kolaborasi ke-2 ini melambangkan perkembangan, bukan sahaja dari segi reka bentuk, tetapi juga keyakinan dan identiti. Ia tentang membuka potensi tahap seterusnya,” kata Fatin Fadila, General Manager Fipper Malaysia. Soloz turut menegaskan, “Koleksi ini terasa lebih peribadi dan lebih berkuasa. Ia melambangkan usaha, tenaga dan kekal setia kepada diri sendiri.”

Gabungan strategi kewangan yang cermat dan keberanian meneroka peluang baharu membuktikan Soloz bukan hanya tangkas di arena digital, malah cekal membina legasi dalam dunia nyata. Fipper X Soloz 2026 menjadi simbol bahawa perancangan masa depan memerlukan visi, disiplin dan keberanian untuk melangkah ke tahap seterusnya.