“Finnish Baby Box”, Hadiah Permulaan Hidup Selamat dari Mamaway untuk Bayi Malaysia

oleh: zizi hashim

Setiap kelahiran membawa harapan baharu, namun di sebalik senyuman pertama bayi, wujud juga kebimbangan yang membayangi ibu bapa. Minggu-minggu awal kelahiran sering menjadi fasa paling rapuh, ketika ramai ibu bapa memilih tidur bersama si kecil di katil dewasa. Walau terasa dekat dan memudahkan penyusuan, amalan ini kadangkala menyembunyikan risiko yang tidak disangka. Beberapa kes tragis yang berlaku akhir-akhir ini menjadi peringatan bahawa sejak detik pertama, bayi memerlukan ruang tidur yang benar-benar selamat.

Mengambil peduli akan keresahan itu, Mamaway Malaysia tampil dengan kempen tanggungjawab sosial korporat nasional iaitu “Finnish Baby Box”, yang berlangsung sepanjang tahun. Melalui inisiatif ini, baby box Mamaway diberikan secara percuma kepada ibu hamil dan keluarga yang baru menimang cahaya mata. Hasratnya sederhana namun penuh makna: mewujudkan permulaan hidup yang lebih tenteram, selamat, dan bebas gusar buat setiap bayi.

Terinspirasi dari amalan di Finland yang terkenal di seluruh dunia, baby box versi Mamaway direka sebagai ruang tidur mudah alih yang kukuh, kemas dan beraliran udara baik, sekali gus mengurangkan risiko tidur bersama di katil dewasa. Bukan sahaja digunakan pada waktu malam, baby box ini juga berfungsi sebagai ruang rehat praktikal ketika ibu sibuk memasak, mengemas atau bekerja dari rumah.

“Keibubapaan bukan tentang berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi tentang mengetahui cara yang betul. Mamaway ibarat satu jaring keselamatan. Jika anda melalui fasa ini, kami tidak akan biarkan anda jatuh,” ujar Deborah Liu, pengasas Mamaway. Kata-katanya mencerminkan roh syarikat yang sejak 20 tahun lalu berdiri sebagai pendamping setia ibu, mencipta produk, ruang dan pengetahuan yang menjadikan perjalanan keibubapaan lebih ringan, bebas dan penuh rasa bahagia.

Buat para ibu hamil, proses penebusan cukup mudah. Hanya bawa Buku Pink ke mana-mana cawangan Mamaway di IOI City Mall Putrajaya, Bellisa Row Pulau Pinang, Mid Valley Megamall Kuala Lumpur, Setia Tropika Johor Bahru atau Mid Valley Southkey Johor Bahru untuk mendapatkan baby box mereka. Sebagai tambahan, Mamaway turut menawarkan tilam hydrofoam gred perubatan pada harga diskaun 50% dengan sebarang pembelian. Tilam hipoalergenik dan tidak bertoksik ini telah melalui 223 ujian ketoksikan SGS mengikut piawaian Eropah, memastikan bayi tidur dalam keadaan lebih selamat.

Ibu yang baru melahirkan dengan bayi berusia bawah dua bulan juga boleh menebus baby box bersama tilam ini pada harga istimewa, menjadikannya pilihan yang lebih mampu milik tanpa mengorbankan keselamatan. Lebih daripada sekadar produk, “Finnish Baby Box” adalah simbol kasih sayang dan sokongan, sebuah permulaan hidup yang lebih selamat buat generasi baharu Malaysia.