Ekspo IP Taiwan 2026 Buka Jalan Baharu Kreativiti Asia, Malaysia Jadi Tumpuan Kolaborasi Serantau

oleh: zizi hashim

Hamparan karakter penuh warna, dunia ilustrasi yang hidup dan semangat kolaborasi rentas budaya memenuhi ruang Sunway Pyramid apabila Taiwan IP Expo Malaysia 2026 secara rasmi membuka tirainya di Oasis Avenue, sekaligus menandakan lembaran baharu hubungan industri kreatif antara Taiwan dan Malaysia.

Dianjurkan oleh Taiwan Creative Content Agency (TAICCA) bersama Malaysia Creative Intellectual Property (MYCIP), ekspo lima hari yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2026 ini kembali selepas kejayaan edisi sulung tahun lalu yang menerima sambutan luar biasa daripada peminat seni visual, industri kreatif serta pemain pelesenan serantau. Namun tahun ini, skalanya terasa jauh lebih besar.

Bukan sekadar pameran karakter biasa, Taiwan IP Expo Malaysia 2026 tampil sebagai platform strategik yang menghubungkan dunia harta intelek kreatif Taiwan dengan pasaran Asia Tenggara menerusi kolaborasi rentas sempadan, pemadanan perniagaan dan pembangunan IP jangka panjang. 

Sebanyak 12 IP karakter asal Taiwan dibawa khas ke Malaysia tahun ini, merangkumi pelbagai identiti kreatif daripada karakter comel, dunia haiwan imaginatif hinggalah rekaan moden berinspirasikan budaya pop dan penceritaan visual kontemporari. Antara IP yang menjadi perhatian termasuk Kittensisland, Takokuma dan Kuroro Space Exploration Team yang sudah mempunyai kelompok peminat tersendiri di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Thailand dan Singapura.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TAICCA, Yang Chung-Tian, Malaysia memainkan peranan penting sebagai pintu masuk strategik kepada pengembangan IP Taiwan di Asia Tenggara. “Malaysia bukan sahaja sebuah pasaran penting bagi IP asal Taiwan untuk menembusi Asia Tenggara, malah rakan strategik dalam memacu kerjasama kreatif dan budaya di peringkat serantau,” katanya. Tambah beliau lagi, Taiwan dan Malaysia berkongsi banyak persamaan dari sudut budaya serta landskap industri kreatif, sekali gus membuka peluang besar untuk pembangunan pelesenan IP dan kerjasama kandungan kreatif pada masa depan.

Salah satu tarikan terbesar tahun ini ialah penganjuran pertama Pameran Seni Rentas Taiwan–Malaysia yang menghimpunkan 12 karya kolaboratif melibatkan pencipta dari kedua-dua negara. Projek tersebut memberi nafas baharu kepada karakter asal Taiwan menerusi perspektif budaya Malaysia yang lebih dekat dan segar. Antara nama kreator tempatan yang terlibat termasuk Jefferson Ng, Relaxed Comics, Bichi Mao dan beberapa lagi ilustrator serta pereka tempatan yang semakin aktif dalam arena seni visual Asia Tenggara.

Presiden MYCIP, Lau Shaw Ming menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting untuk membuka lebih banyak peluang komersial dan pembangunan produk kreatif antara kedua-dua negara. “Malaysia mempunyai kelompok bakat kreatif yang kuat, manakala Taiwan pula memiliki pengalaman luas dalam pembangunan IP serta pengembangan antarabangsa,” katanya. Selain pameran dan kolaborasi seni, ekspo ini turut memberi penekanan kepada aspek komersial menerusi sesi pemadanan perniagaan yang menghubungkan pemain industri daripada sektor penjenamaan, peruncitan, penerbitan, pelesenan dan kandungan kreatif.

Pengunjung awam pula boleh menikmati pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan AR, kemunculan maskot karakter, sesi perkongsian pencipta kandungan serta pembelian barangan eksklusif yang hanya ditawarkan sepanjang acara berlangsung. Malah, TAICCA turut menjalinkan kerjasama bersama Sunway Malls bagi kempen membeli-belah dan penebusan hadiah sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung mendekati dunia IP kreatif Asia.

Menariknya, beberapa IP Taiwan kini mula bergerak lebih jauh daripada sekadar identiti visual apabila mula memasuki fasa lokalisasi kandungan mengikut budaya tempatan. Sebagai contoh, Kittensisland kini sedang membangunkan kandungan khusus berinspirasikan tradisi masyarakat majmuk Malaysia untuk pasaran tempatan. Dan mungkin di tengah ledakan industri digital hari ini, Taiwan IP Expo Malaysia 2026 sedang membuktikan bahawa karakter, ilustrasi dan seni visual bukan lagi sekadar hiburan… tetapi bahasa kreatif baharu yang mampu menyatukan budaya, industri dan manusia merentasi sempadan negara.

Comments
* The email will not be published on the website.