
oleh: zizi hashim
Landskap pemilikan kenderaan di Malaysia sedang berubah perlahan-lahan. Jika dahulu urusan pemeriksaan, insurans dan pembaharuan cukai jalan perlu dilakukan secara berasingan, hari ini semuanya semakin bergerak ke arah pengalaman digital yang lebih pantas dan menyeluruh. Dari perubahan itulah PUSPAKOM memperkenalkan GiCheck Lindung-i, sebuah langkah baharu yang menandakan evolusi besar syarikat tersebut dalam dunia automotif digital negara.
Dilancarkan secara rasmi pada 15 Mei 2026, platform tersebut bukan sekadar tambahan perkhidmatan biasa, tetapi menjadi simbol transformasi PUSPAKOM daripada pusat pemeriksaan kenderaan kepada ekosistem pemilikan kenderaan yang lebih moden dan bersepadu. GiCheck Lindung-i diperkenalkan sebagai kesinambungan kepada platform GiCheck yang dilancarkan awal tahun ini, dengan fokus memudahkan pengguna mendapatkan perlindungan insurans motor secara digital dalam satu perjalanan yang lebih lancar.

Melalui platform agregator tersebut, pengguna kini boleh membandingkan sebut harga, memilih perlindungan tambahan dan membeli polisi insurans motor secara masa nyata tanpa perlu melalui pelbagai saluran berasingan. Apa yang membuatkan platform ini terasa lebih relevan ialah pendekatannya yang cuba menyelesaikan masalah rutin ramai pemilik kenderaan di Malaysia, terlalu banyak proses yang berselerak untuk satu urusan pematuhan jalan raya.
Kini semuanya cuba disatukan di bawah satu sistem digital yang lebih praktikal. Pelancaran awal GiCheck Lindung-i dimulakan bersama Zurich General Takaful sebagai rakan insurans utama, dengan beberapa syarikat insurans lain dijangka bakal menyertai platform tersebut dalam masa terdekat. Selain menawarkan perlindungan untuk kereta persendirian dan motosikal, PUSPAKOM turut merancang memperluaskan platform ini kepada produk lain seperti insurans perjalanan, rumah serta kemalangan diri pada masa hadapan.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, pelancaran tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperbaiki pengalaman pengguna melalui integrasi digital yang lebih menyeluruh. “Kami bukan lagi sekadar pusat pemeriksaan, sebaliknya rakan kepada pengguna sepanjang kitaran pemilikan kenderaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi insurans ke dalam platform digital PUSPAKOM membolehkan pengguna mendapatkan perlindungan dengan lebih mudah dan cepat sambil meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan jalan raya. Menambah kemeriahan pelancaran, PUSPAKOM turut bekerjasama dengan Mattel menerusi kempen khas bersama Hot Wheels. Sebanyak 100 pelanggan terawal yang membeli insurans motor melalui platform tersebut bakal menerima model eksklusif “Hot Wheels Monster Trucks die-cast”.


Dalam masa sama, PUSPAKOM turut mengumumkan bahawa platform tersebut bakal menerima penambahbaikan berterusan termasuk ciri pembaharuan cukai jalan digital pada masa akan datang, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. Dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan automotif serta rangkaian 53 pusat pemeriksaan di seluruh negara, langkah digital baharu ini memperlihatkan bagaimana PUSPAKOM kini sedang bergerak melangkaui fungsi tradisionalnya demi memenuhi gaya hidup pengguna moden yang mahukan semuanya lebih cepat, mudah dan terhubung.