
oleh: zizi hashim
Deretan hotel mewah yang suatu ketika dahulu sinonim dengan botol air mineral di setiap bilik kini mula berubah wajah. Dalam diam, industri hospitaliti tempatan sedang bergerak ke arah sebuah revolusi hijau yang lebih lestari. Bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan trend semasa, tetapi demi memastikan masa depan pelancongan Malaysia tidak terus dibebani sisa plastik sekali guna. Seiring kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang semakin rancak berlangsung, kesedaran terhadap pelancongan mampan kini semakin mendapat perhatian pemain industri perhotelan tempatan.
Antara perubahan paling ketara ialah peralihan daripada penggunaan air minuman berbotol kepada sistem penapisan air terus di dalam bilik penginapan menerusi teknologi BACFREE EcoTap. Terbaharu, empat hotel di bawah rangkaian UOL Group berjaya mengurangkan penggunaan lebih sejuta botol plastik sekali guna hasil penggunaan sistem tersebut. Hotel terlibat ialah PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, Pan Pacific Serviced Suites Kuala Lumpur, PARKROYAL A’Famosa Melaka Resort dan PARKROYAL Langkawi Resort.


Pencapaian tersebut diraikan menerusi Majlis Penghargaan Kelestarian Hospitaliti BACFREE 2026 yang dianjurkan sebagai simbol penghargaan terhadap usaha hotel-hotel terbabit dalam mengurangkan sisa plastik melalui pendekatan operasi lebih mampan. Berbeza dengan amalan konvensional yang masih bergantung kepada air botol di setiap bilik, sistem BACFREE EcoTap membolehkan tetamu mendapatkan air minuman bertapis secara terus melalui pemasangan khas di dalam bilik penginapan. Pendekatan tersebut bukan sahaja mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, malah memberi pengalaman lebih moden dan praktikal kepada tetamu hotel.
Menurut Pengarah Teknikal BACFREE, Dr. Chee Chung Yee, sektor hospitaliti sebenarnya mempunyai potensi besar dalam membantu usaha pemeliharaan alam sekitar sekiranya perubahan operasi dilakukan secara konsisten. “Kelestarian tidak sepatutnya hanya diberikan perhatian sebagai kempen pemasaran semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui perubahan sebenar dalam operasi harian,” katanya. Tambah beliau lagi, pengurangan penggunaan botol plastik tersebut dikenal pasti menerusi perbandingan rekod pembelian serta kadar penghunian hotel sebelum dan selepas sistem itu diperkenalkan.


Menariknya, sistem BACFREE EcoTap sebenarnya mula diuji di PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur sejak tahun 2020 sebelum diperluaskan ke lebih 10,000 bilik melibatkan 42 hotel di seluruh negara. Selain hotel di bawah UOL Group, antara hotel lain yang turut menggunakan sistem tersebut termasuk Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences, Pullman Kuching, Pullman Miri Waterfront, Royale Chulan Kuala Lumpur dan LEGOLAND Hotel Malaysia. Dari sudut teknologi, sistem tersebut menggunakan proses penapisan dan pembasmian kuman empat peringkat melibatkan penapisan sedimen, gentian karbon aktif, perlindungan ion perak dan teknologi membran ultra tapisan.
Ia turut menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain memenuhi piawaian air minuman Kementerian Kesihatan Malaysia dan pengesahan SIRIM termasuk ujian bakteria E.Coli. Dalam masa sama, penggunaan sistem tersebut turut membantu hotel menjimatkan kos pembelian serta logistik penghantaran air botol yang selama ini menjadi sebahagian besar operasi harian industri perhotelan.

Menurut Dr. Chee lagi, BACFREE kini menyasarkan untuk memperluaskan lagi teknologi tersebut dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk pembangunan sistem penapisan berpusat dan teknologi penuaian air hujan di hotel-hotel seluruh negara. “Saat ini merupakan peluang untuk industri hospitaliti membuktikan bahawa pengalaman premium dan tanggungjawab terhadap alam sekitar boleh bergerak seiring,” katanya lagi.
Dan mungkin dalam dunia pelancongan moden hari ini, kemewahan sebenar bukan lagi tentang sebanyak mana botol plastik yang disediakan… tetapi sejauh mana sebuah industri sanggup berubah demi masa depan bumi yang lebih lestari.