
oleh: zizi hashim
Getar baharu menyapa landskap tenaga domestik Malaysia ketika ACGAS melangkah ke fasa seterusnya dalam pengukuhan jenama dengan melantik dua figura berwibawa, Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira, sebagai Duta Jenama ACGAS 2026. Pengumuman di Kuala Lumpur pada 4 Februari 2026 ini menandai hasrat untuk merapatkan jurang kepercayaan antara jenama dan pengguna, sambil mengangkat kesedaran keselamatan dapur sebagai amalan harian keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, menegaskan penggunaan gas domestik menyentuh dimensi perlindungan rumah tangga. Pelantikan dua ikon ini diharap memupuk keyakinan khalayak terhadap teknologi silinder LPG komposit yang lebih selamat, ringan dan moden serta membina hubungan berteras amanah, keyakinan dan kefahaman teknologi.


Penjenamaan ACGAS bergerak seiring inovasi produk. Silinder komposit yang diperkenalkan tampil sebagai alternatif praktikal: tidak berkarat, mudah dikendalikan, serta direka untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan di dapur. Di sebalik manfaat fizikal, syarikat memperhebat pendigitalan perkhidmatan, memperluas fungsi aplikasi mudah alih ACGAS bagi memudahkan pembelian serta pengurusan bekalan gas oleh pengguna.
Daya saing industri tenaga mendorong ACGAS meluaskan penggunaan silinder komposit ke sektor komersial. Pada masa yang sama, integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder membolehkan pemantauan inventori masa nyata, penjejakan pengedaran, serta ketelusan proses pengisian semula sekaligus memperkemas kecekapan rantaian bekalan.


Jejak pencapaian ACGAS mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis pengedaran silinder LPG komposit bersubsidi di Malaysia, di samping peluasan rangkaian pengedaran ke seluruh Semenanjung. Pencapaian ini bukan sekadar angka; ia menandakan peralihan amalan industri menuju piawaian keselamatan yang lebih mesra pengguna.
Melangkah ke hadapan, pertumbuhan fizikal ACGAS diterjemahkan melalui kerjasama pelaburan hampir RM100 juta bagi membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Kemudahan ini meletakkan Malaysia sebagai hab eksport bagi pasaran Asia, mengukuhkan peranan ACGAS bukan sahaja sebagai pengedar, malah pengeluar strategik dalam ekosistem LPG serantau.


Anggaran lima hingga sepuluh tahun akan datang menetapkan sasaran penguasaan sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia, melalui peralihan berperingkat daripada silinder besi tradisional kepada silinder komposit yang lebih selamat dan mesra pengguna. Pada masa yang sama, ekosistem “Smart Energy” diperkukuh menerusi pendigitalan menyeluruh, keupayaan menjejak silinder, memudahkan pesanan gas secara pintar, serta mempercepat respons perkhidmatan.
“Visi jangka panjang kami ialah menjadikan silinder komposit sebagai piawaian keselamatan baharu di Malaysia. Kami mahu memacu revolusi keselamatan dalam penggunaan LPG, sambil memastikan rakyat mendapat akses kepada produk yang lebih moden, selamat dan berkualiti tinggi,” ujar Nik, sebuah ikrar yang memindahkan inovasi dari pelan strategik ke ruang dapur keluarga.


Di persimpangan antara teknologi dan kemanusiaan, ACGAS memahat halatuju yang menekankan keselamatan sebagai budaya, bukan sekadar spesifikasi produk. Pelantikan Rosyam Nor dan Erra Fazira mengukuhkan naratif tersebut, bahawa transformasi bermula apabila kepercayaan dipupuk, kefahaman disuburkan, dan inovasi dihadirkan dengan empati.
Foto Kredit: MegatzRevieW