Amber Hadirkan Busana Yang Mengingatkan Kita 'Eid's Time For Love' Menjelang Syawal

oleh: zizi hashim

Seutas memori Syawal kerap teranyam daripada perkara sederhana. Seperti baju baharu yang menyentuh kulit dengan lembut, warna yang memantul di cahaya pagi, dan detik-detik pulang ke pangkuan keluarga. Musim ini, Amber melakar bab baharu menerusi kempen “AMBER EID’S: TIME FOR LOVE” serentak memperkenalkan koleksi Aidilfitri 2026 serta pelancaran eksklusif sulung, Amber LUXE. Inisiatif ini menandakan kesinambungan perjalanan kreatif jenama tempatan itu selepas kejayaan Raya Romantics, sambil mengembangkan bahasa fiksyen yang lebih intim, berteras emosi, dan sarat makna.

Wajah-wajah duta Amber yang terdiri dari Amira Othman, Fattah Amin, Nora Danish dan Hael Husaini, menjadi cerminan kepelbagaian gaya yang anggun kontemporari. Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan, menjelaskan kempen kali ini merayakan kasih sayang, warisan dan kebersamaan; Aidilfitri dirangkul sebagai peristiwa kemanusiaan yang dirayakan melalui busana, bukan sekadar penampilan luaran. Setiap helaian disempurnakan dengan ketelitian agar keindahannya bertahan sebagai kenangan yang boleh diwariskan.

Pemilihan Istanbul sebagai latar visual kempen menambahkan lapis nostalgia dan spiritual. Kota yang memeluk warisan Islam itu mengilhami naratif kempen, di samping menghadirkan kandungan istimewa untuk penonton setia UTV. Estetika Istanbul: arkitektur, tekstur sejarah, dan romantika silam, meresap ke dalam palet rekaan Amber Raya 2026.

Amber Eid’s: Time for Love Collection
Enam koleksi wanita dan dua koleksi lelaki digarap berlandaskan seni bina serta legasi Istanbul. Fabrik ringan, siluet mengalir, ruffle halus dan sulaman teliti mewujudkan busana yang anggun untuk Syawal. Lalizar memuliakan motif tulip Uthmaniyyah; AyaSofya memetik inspirasi kubah Hagia Sophia dengan pleats accordion; Mihrimah menyuluh potongan lengan bak sinar mentari; Hürrem memancarkan aura sultana melalui peplum regal dan floral taman Harem Topkapı; İznik merayakan seramik klasik dengan bib beropol dan sulaman bunga istana; Sarayli mengungkap kemewahan tenang melalui lengan peasant lembut dan kolar tinggi berlipat.

Bagi lelaki, Bosphorus menampilkan kolar Hawaiian dengan corak bunga halus untuk gaya santai moden, manakala Rumeli mengimbangi kolar formal kemas dengan motif floral abstrak, berpalet earth tone yang serasi untuk Raya dan pemakaian harian.

Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection
Koleksi eksklusif sulung Amber ini digayakan Hael Husaini bersama wajah Amber, Scha Alyahya. Satin mewah dan chiffon sutera ringan dipadukan lipatan kemas, ruffle romantik serta perincian reben, menzahirkan cinta, warisan dan dedikasi melalui kemasan pembuatan yang rapi. Lima rekaan wanita iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela, Leyla dan tiga set Baju Melayu moden lelaki iaitu Orhan, Azra, Demir mengangkat keindahan kesederhanaan sebagai nilai kekal.

Keseluruhan koleksi Amber Raya 2026, termasuk Amber Eid’s: Time for Love dan Amber LUXE, boleh didapati di laman web rasmi bermula hari ini dengan beberapa rekaan untuk pra-tempahan. Pembelian fizikal tersedia di butik baharu Amber di IOI City Mall, Putrajaya bermula 9 Februari. Maklumat lanjut melalui laman web rasmi Amber dan Instagram @amber.officials.

Musim Syawal kali ini, Amber menjemput kita menautkan kembali memori, kasih dan warisan melalui busana yang dirawat dengan rasa.