100 Syarikat China Bakal Serbu Malaysia, Ekspo Shandong Jadi Jambatan Dagang Dua Negara

oleh: zizi hashim

Hamparan hubungan antara Malaysia dan China kini bergerak melangkaui sekadar angka eksport dan import. Sedikit demi sedikit, kerjasama yang terjalin selama puluhan tahun mula berkembang menjadi sebuah jaringan lebih besar dalam menghubungkan perdagangan, budaya, teknologi dan masa depan ekonomi serantau dalam satu denyut yang sama. Tahun 2026 menyaksikan satu lagi langkah penting bakal tercipta menerusi China (Shandong) – Malaysia Brands Exhibition & Trade Fair yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Mei 2026 di IOI City Mall.

Pameran mega tersebut dianjurkan bagi memperkukuh lagi hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Wilayah Shandong, China, susulan siri persefahaman penting yang dicapai ketika lawatan rasmi Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis Wilayah Shandong, Lin Wu ke Malaysia sebelum ini. Lawatan tersebut membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik yang kini mula diterjemahkan melalui penganjuran ekspo berskala besar ini. 

Di bawah bimbingan Jabatan Perdagangan Wilayah Shandong, ekspo ini dijangka menghimpunkan sekitar 100 perusahaan berkualiti tinggi dari China bersama kira-kira 260 delegasi perniagaan yang bakal hadir ke Malaysia. Kehadiran mereka bukan sekadar membawa produk dan teknologi, tetapi juga membuka peluang besar kepada syarikat Malaysia, pelabur, dewan perniagaan dan pemain industri tempatan untuk membina hubungan dagang lebih kukuh dan berpanjangan.

Apa yang menjadikan ekspo ini lebih signifikan adalah fokusnya yang bukan hanya tertumpu kepada jual beli semata-mata. Ia dirancang sebagai platform perdagangan dan pelaburan bertaraf tinggi yang menghimpunkan pelbagai sektor utama seperti pembuatan peralatan moden, pertanian pintar, tenaga baharu, bahan teknologi moden, makanan premium dan produk pengguna berkualiti tinggi dari Shandong. 

Dalam masa yang sama, ekspo ini turut menjadi ruang penting untuk produk tempatan Malaysia memperluaskan akses ke pasaran China, khususnya Wilayah Shandong yang terkenal sebagai antara pusat ekonomi terbesar negara tersebut. Peluang ini dilihat mampu membantu lebih banyak perusahaan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih agresif dan strategik. Hubungan ekonomi antara Malaysia dan China sememangnya telah lama terjalin erat. Namun Wilayah Shandong memiliki kedudukan yang cukup penting kerana kekuatan ekonominya yang besar serta potensinya dalam sektor perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri. 

Penganjuran ekspo ini dijangka mempercepatkan lagi pertumbuhan hubungan dua hala tersebut. Pihak penganjur turut menyifatkan ekspo ini sebagai satu langkah penting dalam membina penanda aras baharu bagi kerjasama ekonomi wilayah antara kedua-dua negara. Mereka berharap acara tersebut mampu menyuntik momentum segar kepada pembangunan Inisiatif Belt and Road serta memperkukuhkan lagi hubungan strategik China-Malaysia pada masa hadapan. 

Menariknya, ekspo ini tidak hanya memfokuskan kepada golongan korporat dan pelabur. Berbeza dengan kebanyakan acara perdagangan lain, pameran ini turut dibuka kepada orang awam dan dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung. Pengunjung bakal menikmati pengalaman yang lebih menyeluruh dengan kehadiran pelbagai produk unik, makanan tradisional dan moden, elemen budaya, persembahan interaktif serta aktiviti yang menggabungkan perdagangan dan pengalaman gaya hidup dalam satu ruang yang lebih hidup dan mesra masyarakat. 

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk cabutan bertuah sepanjang acara berlangsung. Malah, 300 pengunjung terawal setiap hari juga bakal menerima hadiah eksklusif khas daripada pihak penganjur sebagai penghargaan kepada pengunjung yang hadir memeriahkan ekspo tersebut. Ekspo ini dianjurkan oleh Malaysia Shandong Qilu Chamber of Business bersama China–SCO Sci-Tech Innovation Cooperation Center (Malaysia), dengan kerjasama Shandong Lanhua Group serta Jawatankuasa Hal Ehwal China & Belt and Road Initiative MCA.

Sidang media rasmi ekspo ini turut dihadiri beberapa tokoh penting yang memainkan peranan besar dalam pembangunan kerjasama China-Malaysia, antaranya Wang Dawei selaku Pengarah China-SCO Sci-Tech Innovation Cooperation Malaysia Center, Li Cheng daripada Shandong Lanhua Group Southeast Asia, Winnie Ng serta Feng Canmou yang turut mengetuai festival makanan halal ekspo tersebut.

Turut memberikan sokongan kepada acara ini ialah pelbagai organisasi utama termasuk The Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia (ACCCIM), Malaysia–China Chamber of Commerce, The Malaysia Islamic Chamber of Commerce serta COSCO Shipping Lines Malaysia. Di tengah dunia yang semakin bergerak tanpa sempadan, ekspo ini hadir bukan sekadar sebagai ruang perdagangan. Ia adalah simbol bagaimana dua negara terus memilih untuk membina masa depan bersama, melalui teknologi, budaya, makanan dan kepercayaan bahawa hubungan ekonomi juga mampu menjadi jambatan kemanusiaan yang lebih besar.