
oleh: zizi hashim
Tampak semakin jelas kini, peranan ibu bapa hari ini tidak lagi terhenti di ruang rumah, tetapi melangkaui sempadan menjadi suara, pengaruh, dan bahkan sumber inspirasi dalam dunia digital yang sentiasa bergerak. Melihat perubahan itu, Drypers dan Vinda tampil dengan langkah yang lebih berani melalui pelancaran Parent-preneurs: The Power Duo, sebuah platform yang bukan sahaja menyokong kehidupan keluarga, tetapi membuka ruang baharu untuk ibu bapa berkembang dalam ekosistem moden.
Bertitik tolak daripada inisiatif Power of Parent-preneurs yang diperkenalkan tahun lalu, edisi terkini ini membawa pendekatan yang lebih menyeluruh, menggabungkan penjagaan bayi, pengurusan rumah tangga, komuniti digital dan peluang menjana pendapatan dalam satu kerangka yang lebih dinamik.


Berlangsung di The Vertical Connexion, Bangsar South, acara ini menghimpunkan kira-kira 700 peserta terdiri daripada rakan afiliasi, ibu bapa pencipta kandungan serta keluarga, menjadikan ia satu pertemuan yang bukan sahaja meriah, tetapi penuh makna. Melalui tema “Comfort for Baby, Strong for Every Mess”, kolaborasi ini memperlihatkan bagaimana dua jenama berbeza bersatu untuk menjawab keperluan sebenar keluarga masa kini, di mana setiap rutin harian, sekecil mana pun, membawa nilai yang lebih besar dalam kehidupan.
Menurut Yapp Pau Ling, platform ini lahir daripada pemahaman bahawa ibu bapa hari ini bukan sahaja pengguna produk, tetapi juga pencipta kandungan yang mampu mempengaruhi komuniti melalui pengalaman sebenar. Dengan sokongan yang tepat, perkongsian harian ini boleh berkembang menjadi peluang menjana pendapatan yang praktikal dan mampan. Lebih menarik, acara ini turut menampilkan pelancaran produk yang telah dipertingkat. Antaranya Drypers Wee Wee Dry yang hadir dengan getah pinggang fleksibel untuk keselesaan maksimum, Double Leakguard bagi perlindungan kebocoran yang lebih baik serta Poo Pocket yang direka khusus untuk bayi baru lahir.


Di sisi lain, Vinda memperkenalkan inovasi dalam rangkaian dapur mereka termasuk Tisu Dapur Basah Vinda Deluxe yang mampu menanggalkan minyak dan gris dengan efektif serta boleh dibilas sehingga lapan kali, selain Tisu Dapur Vinda Deluxe Soft Pack yang menawarkan serapan minyak tiga kali ganda dan diperbuat daripada 100% Virgin Pulp tanpa bahan kimia berbahaya. Pendekatan ini mencerminkan satu prinsip yang lebih besar bahawa produk harian bukan sekadar fungsi, tetapi penyelesaian yang membantu meringankan beban rutin dan memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa.
Acara sehari ini turut diperkaya dengan pelbagai aktiviti daripada sesi rangkaian pencipta kandungan, aktiviti interaktif keluarga, hingga persembahan khas oleh Aisha Retno yang menambah warna kepada suasana. Turut berlangsung ialah sesi perkongsian oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik, Dr. Mimi Wong, yang memberikan pandangan profesional tentang penjagaan bayi dan kesihatan kulit.


Lebih daripada sekadar pelancaran produk atau kempen pemasaran, Parent-preneurs: The Power Duo mencerminkan evolusi gaya hidup keluarga moden di mana pengalaman harian boleh diterjemahkan menjadi nilai ekonomi, dan komuniti menjadi asas kepada kepercayaan serta pengaruh. Dalam dunia yang semakin terhubung, ibu bapa tidak lagi sekadar menjalani peranan tradisional, mereka kini mencipta ruang, membina naratif, dan secara perlahan mengubah cara keluarga berfungsi dalam era digital.