oleh: zizi hashim
Kematian, biasanya, membawa senyap. Tapi kali ini, ia datang bersama suara. Suara tangis, suara panik, dan suara satu wasiat yang merobek sunyi menjadi huru-hara. Saat tubuh sang ayah masih terbujur kaku, belum sempat jasadnya dikembalikan ke tanah, satu syarat terakhir dibuka: anak bongsunya, Marni, mesti menikah di hadapan jenazah. Sekiranya tidak, jenazah itu tidak sudi untuk dikebumikan.
Duduk di kerusi panggung, saya tidak terus ketawa. Saya malahan terdiam. Absurd? Ya. Namun dalam masa yang sama juga menyentuh dalam cara yang paling tidak terduga. Kerana di sebalik ketawa, tersimpan luka dan dilema yang terlalu nyata. Soal keluarga, kehendak orang tua, dan cinta yang kadangkala tidak punya jalan dan menemui kebuntuan.
'Sah! Katanya...' bukan filem komedi biasa. Di bawah tangan kreatif sutradara Loeloe Hendra, dan diterajui Nadya Arina, Dimas Anggara dan Calvin Jeremy, filem ini sangat berani bermain-main dengan logika dan emosi. Meski begitu, ia tidak menipu rasa. Ia jujur, meskipun lewat kisah yang sengaja dibingkai dalam terma 'tidak masuk akal'.
Cerita bermula dengan pemergian mendadak Dipo (Landung Simatupang), ayah Marni. Duka belum reda, satu wasiat membuka luka baru. Marni mesti mengikat janji perkahwinan di depan jenazah ayahnya. Bukan dengan kekasihnya, Adi (Calvin Jeremy), tapi dengan Marno (Dimas Anggara), anak sahabat lama Dipo. Wasiat ini juga secara tiba-tiba menjadi bom jangka untuk hati semua orang, terutamanya Marni. Sebagai anak perempuan yang membesar dalam kasih sayang ayah, Marni berada di persimpangan yang sulit: patuh pada pesan akhir seorang bapa, atau mengejar cinta yang dipilih sendiri? Dalam dilema ini, filem membuka pintu kepada pelbagai rasa. Komedi, kejanggalan, dan renungan.
Saya sejujurnya kagum dengan cara filem ini mengurus kebodohan (lurus bendul) dengan kehangatan. Loeloe Hendra tidak menjadikan budaya sebagai bahan tertawa kosong. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana tradisi kadang membentuk tembok antara generasi, tapi juga menjadi jambatan bila dilihat dengan mata yang lebih lunak. Namun dalam terkesima menerima wasiat itu, saya pecah ketawa juga apabila kertas wasiat itu tertukar dengan senarai barang-barang yang harus dibeli, antaranya terselit juga 'tisu magik' dimana satu panggung gamat dibuatnya.
Nadya Arina mencuri tumpuan. Marni versinya bukan gadis sempurna, tapi nyata. Rapuh, keras kepala, tapi penuh cinta. Reaksinya terhadap situasi 'tidak masuk akal' itu seperti pantulan hati kita sendiri. Ingin lari, tapi dalam masa yang sama tetap ingin memahami. Dimas Anggara pula sebagai Marno tidak perlu banyak bicara, cukup dengan sorotan mata yang menyimpan sebegitu banyak empati. Sedang Calvin Jeremy mewakili kekacauan batin generasi muda yang ingin bebas dari wasiat yang kononnya tradisi kuno.
Saya teringat satu adegan sunyi, saat Marni duduk di samping jenazah ayahnya, menatap mata yang sudah tertutup, sambil berbisik perlahan, "Aku tahu, Pa. Tapi kenapa harus begini?" Satu ayat yang menghimpunkan ribuan rasa. Ketika cinta diuji oleh orang yang sudah pergi, apa lagi yang tinggal selain air mata dan keikhlasan? Dari segi sinematografi, filem ini sederhana tapi jujur. Warna-warna bumi, pencahayaan yang lembut, dan set lokasi kampung yang tidak dibuat-buat, semuanya memperkuat rasa keintiman dan kesedihan. Muzik latarnya juga tepat, tidak menenggelamkan adegan, tapi menjahit emosi di antara babak demi babak.
Beberapa detik terasa lambat, terutama dalam babak perenungan Marni, tapi iramanya tidak pecah. Justeru perlahan itu penting, kerana ia memberi ruang kepada emosi untuk meresap. 'Sah! Katanya...' barangkali bukan filem yang memukau secara teknikal, tapi ia mengetuk hati. Ia mengajak kita tertawa sambil menangis, mengenang sambil melepaskan. Ia memperlihatkan bagaimana satu keluarga boleh hancur hanya kerana satu wasiat, tapi juga bagaimana mereka bisa saling menemui kembali di tengah kekacauan.
Ketika lampu panggung menyala, saya masih duduk sebentar. Merenung. Filem ini bukan tentang "nak kahwin atau tidak", tapi tentang siapa yang kita perjuangkan ketika yang kita cintai sudah tiada. Dan itu, adalah persoalan yang barangkali kita semua pernah, atau, akan hadapi.
Sebuah tontonan yang absurd dalam logika, tapi sangat waras dalam rasa. Terima kasih Loeloe Hendra, kerana telah menghidupkan cerita yang gila, tapi begitu manusiawi. Dan buat Marni, terima kasih kerana telah menjadi cermin kepada semua anak yang pernah kehilangan ayah mereka. Filem ini seperti air mata yang jatuh dalam senyum. Hangat, jujur, dan tak mudah dilupakan. Sedang tayang di pawagam Malaysia sejak dari 15 Mei 2025 dengan durasi 2 jam 4 minit, saya rekomendasikan anda tonton dan nilai sendiri. Jangan sampai ketinggalan! Saya ketawa dan menangis serentak menontonnya.