oleh: zizi hashim
Kalau tanya saya, cara terbaik untuk menikmati 'Venom: The Last Dance' (VTLD) adalah meninggalkan ekspektasi dan rasa skeptikal di luar sebelum memasuki pawagam. Ini kerana sejumlah hal akan terasa janggal dan sukar diterima jika mengharapkan tontonan 5 bintang. Sekadar mengimbas, 'Venom' (2018) adalah satu pembaziran besar padahal sangat berpotensi, tidak memperlakukan secukupnya untuk membuat penonton mengambil berat tentang Eddie Brock (Tom Hardy) atau rakan Symbiotenya. Meski 'Venom: Let There Be Carnage' (2021) ada sedikit peningkatan, namun tidak semestinya juga lebih baik. Ia lebih kepada filem yang menghiburkan tetapi kelakar bodoh.
Hujah yang sama boleh digunakan untuk filem yang dikatakan 'terakhir' dalam trilogi, 'Venom: The Last Dance' walaupun bermula dengan baik dan kukuh sekaligus memberi gambaran terbaik bonding antara Eddie Brock dan Venom, filem ini masih terhambat oleh sejumlah masalah lain yang mengalihkan perhatian dari aspek positifnya. VTLD tidak dapat memenuhi potensinya sebagai filem terakhir trilogi disebabkan banyak aspek terasa tidak lengkap, termasuklah plot cerita.
Filem ketiga masih melanjutkan perjalanan Eddie Brock bersama Venom. Sutradara dan penulis skrip Kelly Marcel membawa VTLD menuju lembaran baru dengan menyertakan beberapa referensi dari yang terdahulu. Sebagai penutup trilogi, ia juga mempertegas nuansa emosional dengan cerita yang berpusat pada 'tarian' terakhir Eddie dan Venom, sinonim seperti predikat 'The Last Dance' dalam judulnya. Meski berasa banyak yang kurang dalam VTLD, satu hal yang tidak akan saya bantah adalah penampilan berdedikasi Tom Hardy sebagai Eddie Brock dan Venom. Sangat jelas bahawa Hardy sangat menyukai Venom sebagai karektor dan dia menuangkan rasa cinta itu ke dalam filem sebagai penulis bersama.
VTLD menjadi filem lucu paling efektif dalam trilogi bila mana Eddie dan Venom dibentuk lebih anti-wira komedi dengan gurauan acah-acah yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Bahkan terdapat beberapa rentak emosi antara Eddie dan Venom yang secara keseluruhannya berfungsi di tengah-tengah senario tidak masuk akal yang mereka hadapi. Pendekatan itu jelas membuat penonton perlu menyaksikan dan memahami cerita Venom (2018) dan Venom: Let There Be Carnage (2021). Dua filem itu bagai guideline yang perlu diketahui jika ingin meresapi emosi dari filem ketiga tersebut.
Dari segi perwatakan, Venom tidak pernah sebaik ini, dan itu menjadi dua kali ganda untuk urutan aksi yang mereka lakukan. VTLD sejauh ini, memiliki rangkaian aksi terbaik dalam trilogi, dimulai dengan pertarungan yang menyerlah, adegan kejar-kejaran yang mendebarkan dan pertempuran terakhir penuh dengan citra yang sangat kreatif. Dari segi visual dan nilai hiburan, 'Venom: The Last Dance' berdiri jauh lebih tinggi dari pendahulunya. Dinamika hubungan manusia dengan simbiot hitam masih mengkagumkan dan menarik untuk ditonton. Tingkah laku Venom yang sukar dikawal hingga saling melempar gurauan dan cacian dengan Eddie kekal sebagai senjata ampuh untuk menghiburkan saya dan yang lain.
Kemistri ini diperkaya dengan dilema hidup dan mati yang mereka hadapi. Pertaruhan menjadi sumbu yang menyalakan adegan emosi, terutamanya menjelang akhir cerita. Namun, penulisan plot VTLD terhalang oleh banyak kelemahan ketika berurusan dengan watak-watak di sekitar Eddie. Filem ini cuba untuk memberi dimensi pada karektor-karektor baru, tetapi kisah mereka benar-benar mendatar dan tidak begitu jelas. Memperkenalkan sejumlah karektor baru seperti Rex Strickland (Chiwetel Ejiofor) dan Dr. Teddy Payne (Juno Temple) yang bekerja di pusat penelitian rahsia bernama Imperium, kehadiran mereka memang penting untuk pemahaman jalan cerita namun Kelly Marcel terlalu buru-buru sehingga menghilangkan latarbelakang setiap karektor mahupun motif dan tujuan yang ingin dicapai.
Kekurangan latar belakang watak-watak sokongan membuatkan saya keliru untuk memahami di posisi mana mereka berpihak. Ini juga membuatkan saya cenderung untuk bersikap acuh tak acuh ketika mereka muncul, kemudian fokus semula apabila cerita itu kembali menampilkan Eddie dan Venom. Senario yang seolah kurang matang juga dapat dirasai daripada kehadiran penjahat tersebut. Seorang penjahat super berkaliber, Knull (Andy Serkis) nampaknya menyebarkan keganasan untuk Eddie dan Venom, dan juga untuk manusia.
Kehadiran Knull dalam VTLD masih terlalu sedikit dengan hanya menghantar utusan untuk memburu Venom yang berkeliaran di Bumi. Kalau menurut saya, biarpun cuma muncul hanya seketika, sepatutnya tidak menghadkan pengarang skrip untuk menunjukkan gambaran krisis yang dihadapi oleh Eddie dan Venom. Kelly Marcel nampaknya keberatan untuk mengaplikasikan teknik 'show, don't tell'. Akibatnya, nuansa seram itu tidak banyak meninggalkan kesan kerana ia hanya tercetus daripada deskripsi mulut ke mulut.
Selain itu, kesan tergesa-gesa juga dapat dirasai daripada cara VTLD menganyam cerita. Tempo dan tahap intens filem ini terasa kurang konsisten dari satu bahagian ke bahagian yang lain. Ini menyebabkan beberapa babak terasa 'melompat' kerana sudah beralih meski ceritanya belum selesai dituturkan. Namun, pada akhirnya, semua kekurangan itu rasanya tak perlu masuk pertimbangan jika ingin mencari hiburan atau ingin tahu tentang kesudahan perjalanan trilogi Venom.
Durasi 1 jam 49 minit sudah cukup memberikan hiburan dan gelak tawa yang berbaloi dengan harga tiket. VTLD juga tidak mempunyai sebarang masalah ketara dari sudut teknikal. Persembahan visual dan sentuhan VFX yang dipaparkan relatif terbaik. Penonton turut dihidangkan dengan adegan pertarungan antara Venom dan simbiot menentang entiti yang dihantar oleh Knull, menjadi kemuncak 'Venom: The Last Dance'. Saya setuju dengan cara Kelly Marcel menamatkan perjalanan Eddie dan Venom. Penutup cerita itu mampu merumuskan kisah serta trilogi yang berlangsung selama 6 tahun.
Apakah 'Venom: The Last Dance' filem terbaik dalam trilogi? Sudah tentu jawapannya ialah ya. Tipulah kalau saya kata tidak seronok menontonnya. Trilogi ini jelas masih jauh dari predikat sempurna. Namun, sebagai tontonan popcorn, ianya adalah pelengkap yang sesuai untuk bersanding dengan kedua filem terdahulu. Mungkin tidak memuaskan hati semua penonton, tetapi bagi pencinta aksi dan peminat Tom Hardy, filem ini tetap menghiburkan.
Memperlihatkan evolusi Venom sebagai watak antihero yang kompleks, meski beberapa aspek dirasakan kurang maksima. 'Venom: The Last Dance' mulai ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 24 Oktober 2024. Jangan sampai ketinggalan!