oleh: zizi hashim
Satu tahun setelah hilangnya Melanie secara misteri, adiknya Clover (Ella Rubin) mengajak sekelompok sahabatnya kembali ke lembah terpencil tempat di mana Melanie terakhir kali terlihat. Di sanalah semuanya bermula. Mereka menemui pusat pelancongan 'Glore Valley' yang telah lama ditinggalkan dan dari situ, keganasan pun bermula. Dihadapkan dengan sosok pembunuh bertopeng yang memburu mereka satu persatu, Clover dan rakan-rakannya menghadapi nasib yang tragis… hanya untuk terbangun kembali di waktu yang sama, di malam yang sama berulang-ulang kali.
Namun setiap kali mereka mengulang malam itu, sang pembunuh pun berubah, menjadi lebih merbahaya, lebih jahat, lebih unpredictable dan lebih menyeramkan. Dengan jumlah 'nyawa' yang terbatas, mereka harus menemukan cara untuk keluar dari kitaran neraka ini. Satu-satunya harapan: bertahan hidup sampai fajar menyingsing. David F Sandberg, yang sebelumnya sukses membangun atmosfera seram lewat 'Lights Out' dan 'Annabelle: Creation', kembali menunjukkan kepakarannya dalam menciptakan suasana mencengkam.
'Until Dawn' bermain banyak dengan pencahayaan rendah, landskap hutan yang sunyi, dan lorong-lorong gelap di 'Glore Valley', semuanya dikemas untuk mencetuskan ketegangan psikologi bukan sekadar jumpscares murahan. Efek visual dan tata suara juga menyokong atmosfera dengan sangat efektif. Setiap langkah, setiap derit pintu tua, hingga suara desahan nafas menjadi sebahagian dari ketegangan yang dibangun perlahan tetapi pasti. Sebagai peminat tegar genre seram, saya menyambut baik adaptasi filem ini yang diarahkan oleh sutradara David F. Sandberg, namun saya meletakkan ekspektasi yang sederhana, memandangkan cabaran besar dalam mengadaptasi pengalaman interaktif permainan video ke dalam medium filem.
Memperkenalkan watak-watak baharu dalam filem ini, Clover (Ella Rubin), Max (Michael Cimino), Nina (Odessa A'zion), Megan (Ji-young Yoo), dan Abe (Belmont Cameli), yang terjebak ke dalam perangkap maut. Setiap malam, mereka diburu oleh entiti berbeza. Pembunuh bertopeng, hantu, dan makhluk menyeramkan dalam kitaran waktu yang memaksa mereka untuk bertahan sehingga subuh. Konsep ini memberikan variasi subgenre seram dalam setiap pengulangan, menjadikan pengalaman menonton tidak monotone.
Ella Rubin tampil kuat sebagai Clover. Penuh kepedihan, keteguhan, dan emosi yang mendalam, menggambarkan perjuangan antara rasa bersalah dan keinginan untuk menyelamatkan rakan-rakannya. Michael Cimino dan Odessa A’zion membawa dinamika emosional yang hidup dalam kelompok, dengan kemistri yang solid dan konflik yang terasa manusiawi. Ji-young Yoo dan Maia Mitchell juga menambah lapisan karakterisasi yang kompleks, menjadikan interaksi kelompok terasa realistik dan pedih saat mereka harus kehilangan satu persatu.
Peter Stormare kembali sebagai Dr Hill, ahli psikologi misteri yang menyediakan naratif interaktif dan metafora, mengingatkan kepada peranan ikoniknya dalam versi permainan video. Seperti game-nya, filem ini mengeksplorasi konsep kitaran waktu dan pilihan. Setiap kematian membawa mereka ke pengulangan malam yang sama namun dengan perubahan: pembunuh yang berbeza, beralih lokasi dan dinamika emosi yang semakin retak. Elemen 'had kematian' menambahkan tekanan berterusan kepada naratif. Penonton diajak ikut berfikir secara strategik: siapa yang harus selamat? Apa yang harus mereka ubah?
Lakon layar daripada Blair Butler dan Gary Dauberman berjaya menterjemahkan permainan video yang dipacu pilihan ke dalam medium filem dengan cara yang elegan dan tegang. Menariknya, setiap pembunuh yang muncul mewakili unsur ketakutan yang berbeza daripada hantu dalam bentuk Wendigo, kepada pembunuh kejam dalam gaya penyerang klasik. Namun yang menjadikan seram filem ini kuat bukan sahaja visual, tetapi tekanan emosi dan psikologi yang mengiringi setiap keputusan watak. Sinematografi oleh Maxime Alexandre memanfaatkan pencahayaan rendah dan sudut kamera yang sempit untuk mencipta suasana klaustrofobik.
Filem ini menyentuh tema trauma, penyesalan, dan keinginan untuk menebus kesalahan. Walau bagaimanapun, penerokaan tema ini terasa cetek, dengan tumpuan lebih kepada aksi dan ketegangan daripada pembangunan watak yang mendalam. Konflik dalaman Clover dan hubungannya dengan Melanie berpotensi untuk menjadi pusat emosi cerita, tetapi tidak berkembang sepenuhnya. Gabungan subgenre seram dengan bijak: slasher, supernatural, survival horror dan thriller psikologi, semuanya dalam satu pakej sinematik.
Di sebalik keganasan dan darah dalam durasi 1 jam 43 minit 'Until Dawn' menawarkan tema yang lebih mendalam tentang trauma, penyesalan, persahabatan dan keinginan untuk menebus kesalahan. Filem ini merupakan satu pencapaian yang wajar diberi penghargaan. Bermula tayangan di pawagam Malaysia sejak 6 mei 2025, tertarik untuk menontonnya? Jom!