oleh: zizi hashim
Saya sebenarnya tidak pernah suka filem zombi. Malah, kalau boleh, saya akan elak sepenuhnya. Paling benci sebab terlalu banyak darah, terlalu banyak jeritan yang membingit, terlalu banyak wajah manusia yang bertukar menjadi pemangsa. Saya tidak tahan dengan bayangan maut yang tiba terlalu pantas, dalam sekelip mata tanpa peluang menebus dosa atau melafaz salam terakhir. Ngeri dan ngilu melihat darah yang menyembur tanpa henti, jeritan ketakutan yang tidak sempat ditenangkan, dan kematian yang datang terlalu pantas. Dunia zombi bagi saya terlalu keras. Ia menyentuh titik ngeri yang terlalu peribadi: mati dalam keadaan mendadak, tiba-tiba dan tidak bersedia.
Namun sesuatu terjadi ketika saya menonton 28 Years Later, sekuel yang tidak saya sangka akan memecahkan tembok tegar dalam diri saya terhadap filem zombi. Filem inilah, dengan segala kediaman dan keberaniannya, tanpa sedar membuat saya menangis. Bukan kerana kejutan, tetapi kerana satu adegan yang terlalu manusiawi: seorang ibu dan anak yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal, tanpa rela. Hadir menonton bersama anak lelaki saya, memperkuat esak tangis saya tatkala melihat Spike dan Isla, menerbitkan rasa yang paling saya takuti, kehilangan yang perlahan dan tak dapat dielakkan. Spontan anak saya berbisik "I Love You, Ma" ketika melihat airmata mengalir di pipi saya. Saya tahu dia turut sama tersentuh.
Kisah kali ini dibuka dengan dunia yang masih parah. Spike, seorang anak berusia 12 tahun, dibesarkan dalam komuniti tertutup di Holy Island. Sangat jauh dari tanah besar yang kini ditakluki makhluk dijangkiti virus Rage dalam versi mutasi baru. Dia tidak pernah melihat dunia luar dengan mata kepalanya sendiri, hanya belajar tentangnya dari bayangan cerita bapanya, Jamie, lakonan jitu Aaron Taylor-Johnson. Maka ketika Jamie mengajaknya ke luar sempadan untuk kali pertama, ia bukan sekadar eksplorasi, tetapi satu upacara peralihan dari seorang anak kecil kepada seorang lagi target mangsa yang 'masih hidup'. Ia adalah pertemuan pertama dengan seribu kebarangkalian.
Spike dilatih untuk bertahan hidup. Namun apabila tiba saat yang sebenar, ketika sosok dijangkiti berlari ke arahnya, tangannya menggigil. Dia tidak mampu melepaskan panah. Kerana apa yang berdiri di hadapannya bukan raksasa, tetapi manusia yang kehilangan kawalan. Wajah yang mungkin pernah tertawa, mungkin pernah berdoa. Dan ketika itu, saya merasakan kembali perasaan sama yang pernah menusuk ketika babak ibu dan anak di 28 Days Later bahawa dalam dunia yang sudah hancur, kasih sayang tetap bertahan, walaupun dalam bentuk paling rawan.
Sutradara Danny Boyle, dengan mata visualnya yang serentak liar dan lembut menggambarkan dunia dengan cara yang gila, ganjil tetapi indah. Kamera iPhone dalam format lensa ultra-panoramik mencipta landskap yang membingungkan, seperti mimpi buruk yang cantik. Adegan kejar-mengejar di atas tambak separa tenggelam di bawah aurora borealis membuat saya hampir terlupa bernafas. Anthony Dod Mantle sebagai jurukamera mencipta suasana halusinogenik di mana batas antara realiti dan mimpi ngeri kabur dan mengasyikkan. Boyle seperti biasa, tidak gentar melanggar norma. Kadangkala gerakan kamera melawan logik, suntingan melompat-lompat, tetapi yang anehnya semuanya terasa tepat.
Kemudian muncul watak Dr. Ian Kelson memperdalam sisi falsafah filem ini. Dilakonkan dengan elegi yang menakutkan oleh Ralph Fiennes, seorang doktor misteri yang membakar ratusan mayat saban malam. Bukan kerana benci, tetapi sebagai satu bentuk belas kasihan. Kerana dia bukan watak jahat. Dia adalah sisa belas kasihan yang masih tinggal dalam dunia ini. Kata-katanya menembusi garis moral: “mungkin kita lebih mirip mereka daripada yang kita mahu akui.” Dan ketika itu, saya mula faham, bahawa filem ini bukan mahu menakutkan, tetapi menyedarkan.
Ibu Spike, lakonan memukau Jodie Comer, menjadi pusat emosi baharu. Dia tidak dijangkiti secara fizikal, tetapi trauma dan kehilangan membuatkan dia menjauh dari realiti. Dan di antara ketakutan dan kasih seorang anak yang begitu mendalam, Spike cuba meyakinkan ibunya untuk melangkah semula ke dunia, dalam usaha yang kecil tetapi penuh makna, mencari harapan, atau sekurang-kurangnya penjelasan. Spike meski masih kecil, namun penuh tekad memujuknya keluar dari kepompong. Kerana dia tidak mahu hanya bertahan. Dia mahu tahu. Mahu faham. Dan saya sebagai penonton yang biasanya skeptikal terhadap genre zombi turut terpaut kepada keberanian itu.
'Bone Temple' menjadi klimaks bukan dalam bentuk letupan atau darah, tetapi renungan. Dalam ruang senyap dan nyaris mistik, kita tidak diajak menjerit atau lari. Sebaliknya, kita dipaksa melihat dalam-dalam ke dalam diri sendiri, melalui wajah-wajah dijangkiti yang kini tidak lagi memusuhi, tetapi diam dan penuh pengertian. Ia adalah titik di mana genre filem ini melepasi sempadan seram dan menjadi wacana spiritual. Tentang kematian. Tentang rasa bersalah. Tentang cinta yang tidak sempat diungkap. Di situ, filem ini berubah dari nadi ketakutan kepada gema kerohanian. Ia bukan pertanyaan tentang hidup atau mati sahaja, tetapi tentang apa erti menjadi manusia bila semuanya sudah musnah.
Garland tidak menulis watak untuk menakut-nakutkan semata, tetapi untuk menguji empati kita. Kesan psikologi yang ditekankan begitu halus namun tajam. Adakah kita masih boleh melihat kemanusiaan dalam diri orang yang sudah kehilangan akal, dikawal virus yang menjadikan mereka makhluk pemangsa? Atau kita hanya ingin hidup, tanpa peduli siapa yang harus dikorbankan?
Filem ini, meski berdarah dan kejam, telah melakukan sesuatu yang lebih besar: membuat saya melihat semula bagaimana kita memperlakukan satu sama lain ketika dunia mula runtuh. Dan di dunia sebenar yang pernah terhenti dek wabak sendiri, persoalan ini terasa lebih dekat dari sebelumnya. 28 Years Later bukan hanya kesinambungan, tetapi pelawaan untuk bertanya: bila akhirnya semua ini selesai, siapakah di antara kita yang akan tinggal? Adakah kita layak menentukan siapa yang masih ‘manusia’?
Saya tidak keluar dari pawagam dengan degupan kencang seperti biasa. Saya keluar dengan jiwa yang berat, seolah-olah baru menyempurnakan satu ziarah. Saya keluar dengan mata yang basah. Filem ini tidak mengajarkan cara melawan zombi, ia mengajarkan cara melihat mereka dengan belas, dengan takut, dengan jujur. Dan yang lebih menakutkan: zombi dalam filem ini bukan sepenuhnya ‘orang lain’. Kadangkala, mereka adalah bayangan kita sendiri.
28 Years Later adalah manifestasi dari satu pertanyaan peribadi yang kita jarang mahu jawab: apakah kita sebenarnya sedang hidup, atau hanya belum dijangkiti? Dan jika satu hari nanti saya dijangkiti rasa takut yang sama, saya harap saya sempat mengucapkan selamat tinggal kepada orang-orang penting yang saya cintai. Mulai ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada tanggal 19 Jun 2025, saya beri rekomendasi tertinggi. Meski 28 Years Later bukan filem zombi terbaik yang pernah saya tonton, ia adalah filem zombi pertama yang berjaya buat saya tersentuh dan menangis. Dan itu bagi saya adalah lebih penting daripada segalanya.