Tersesat Ketakutan Di Jantung Hutan 'HalaBala' Yang Bernafas Keliru

oleh: zizi hashim

Datang menonton dengan perasaan ingin tahu tentang hutan yang benar-benar wujud di sempadan Thailand-Malaysia, tentang budaya kanibal yang disebut-sebut, dan tentang manusia yang lebih mengerikan daripada raksasa dongeng, saya konklusikan filem horor psikologi 'HalaBala' ini berselindung di balik kehijauan hutan hujan, tetapi tidak berjaya menyampaikan apa yang ingin diperkatakan.

Mahu keluar dari kebiasaan filem seram yang berulang-ulang mengejutkan dengan suara keras atau hantu berambut panjang, namun kali ini, yang menghantui bukan makhluk ghaib, tetapi teka-teki naratif yang seperti enggan membenarkan untuk diselesaikan. Dari awal hingga ke hujung, saya cuba berpaut pada jalan cerita yang berliku-liku tanpa peta. Saya merasa menjadi salah seorang dari watak-watak dalam filem itu sendiri, tersesat di dalam hutan, mencari cahaya yang tidak kunjung tiba.

Chantavit Dhanasevi sebelum ini saya kenali lewat genre romantik dan komedi, tampil mengejutkan sebagai Inspektor Dan, yang digelar “Dan the Hundred Corpses”. Dia dihukum selepas satu kesilapan besar dengan cara halus: dibuang ke sebuah balai kecil di wilayah paling sunyi. Peluangnya untuk tebus dosa? Menangkap ketua geng gila bernama Tup Ta Fai yang lari ke dalam hutan HalaBala, tempat legenda dan mimpi buruk bertindih.

Namun misi itu meleset jauh dari tangkapan dan pertarungan, berubah menjadi perjalanan ke dasar jiwa yang kacau antara hidup dan mati. Kehadiran suku kanibal Batow menambah lapisan misteri yang mistik, tetapi malangnya bagi saya tidak cukup mendalam untuk benar-benar meresap. Dan cuba menyelamatkan isterinya Vi yang sarat mengandung, mula menyedari bahawa ancaman sebenarnya tidak datang dari luar, tetapi dari dalam dirinya sendiri yang perlahan-lahan terhakis oleh kegilaan.

Filem ini punya keberanian dari segi praktikal efek yang menjijikkan, hingga tema tubuh dan kewarasan yang dimamah perlahan. Namun keberanian itu terasa agak terburu-buru dan tidak diimbangi dengan naratif yang jelas. Terdapat babak-babak yang cuba menjadi simbolik, tapi akhirnya menjadikan saya sangat keliru. Apa yang ingin disampaikan? Di mana garis masa sebenar? Siapa yang masih waras dan siapa yang sudah hanyut?

Sutradara Eakasit Thairaat memang dikenali dengan pendekatan naratif yang abnormal, tetapi kali ini gaya tersebut mungkin terlalu jauh dari jangkauan saya sebagai penonton biasa. Struktur cerita yang melompat-lompat, dan peralihan dari realiti ke khayalan yang terlalu kabur, menjadikan pengalaman menonton ini bukan menegangkan tetapi meletihkan. Saya sering kali terpaksa berhenti sejenak, bertanya pada diri sendiri, “Apa sebenarnya yang sedang berlaku?”

Tidak juga membantu apabila runut bunyi yang disajikan terasa seperti terputus dari emosi filem itu sendiri. Bayangkan sebuah adegan tragis yang tiba-tiba disulami dengan muzik elektronik berat. Kesannya, ketegangan yang dibina perlahan-lahan hancur begitu saja. Kekeliruan ini dilanjutkan oleh terjemahan yang kadang lucu tanpa sengaja, menghilangkan nuansa penting dalam dialog yang sepatutnya menggugat.

Namun saya akui, ada detik-detik yang memukau. Visual hutan yang menyeramkan dalam keheningan, hubungan rapuh antara Dan dan isterinya yang sarat hamil, dan teka-teki mengenai suku Batow yang kononnya legenda, semuanya membentuk mozek yang menjanjikan. Sayangnya, potongan-potongan itu tidak cukup untuk menjadi satu lukisan yang utuh. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 26 Jun 2025 ini.

Kekuatan HalaBala terletak pada keberaniannya menolak selesa. Ia menolak jumpscares murahan, menggantikannya dengan kecemasan yang tumbuh perlahan. Efek praktikal yang grotesk, suku Batow yang direka dengan teliti, dan misteri yang tidak semuanya dijawab, itulah yang menjadikan filem ini seperti teka-teki yang tidak selesai. Eksperimen berani yang mungkin akan dihargai oleh pencinta filem arthouse atau mereka yang menggemari cabaran naratif.

Kalau menurut saya, ia adalah pengalaman menonton yang sesekali memberi kejutan, namun lebih kerap meletihkan. Ketakutan yang dijanjikan tidak datang dalam bentuk jeritan, tetapi dalam bentuk kekeliruan yang berlarutan. Kadangkala, filem seram yang terlalu ingin menjadi simbolik akan berakhir seperti hutan itu sendiri, penuh potensi, tetapi jika tidak dipandu dengan jelas, kita semua hanya akan sesat dan pulang dengan tangan kosong. Yang paling kita takut sebenarnya bukanlah hantu tetapi diri sendiri yang mulai kehilangan waras. Dan dalam hutan yang bernafas itu, ketakutan menjadi nyata.