oleh: zizi hashim
Bagai terperangkap dalam mimpi yang tak kunjung reda, Citra Apartment membawa saya hanyut ke dalam dunia yang sunyi, basah dengan lumpuran trauma dan ketidakpastian. Filem ini menjanjikan seram yang membuat jantung berdetak lebih laju, dalam masa yang sama menganyam sebuah kewujudan persoalan: “Apa yang tinggal bila waktu enggan bergerak, dan nyawa menjadi permainan semesta?
Diarahkan oleh pendatang baharu, sutradara Amor Rizan, filem ini menyelusuri lorong-lorong sempit masa bersama sekumpulan pelajar kolej yang bermula hanya dengan niat menjalankan sesi fotografi untuk tugasan akhir. Namun niat yang sederhana itu cepat sahaja menjadi malapetaka apabila Ilyana (lakonan penuh empati oleh Elisya Sandha) dan rakan-rakannya terperangkap dalam putaran waktu yang memeritkan. Mereka mati. Hidup semula. Dan mati lagi. Seperti jam rosak yang enggan berdetik ke depan.
Cuba menyempurnakan projek akhir bersama rakan-rakan sekuliahnya dengan memilih lokasi sebuah pangsapuri usang yang penuh debu sejarah dan bayang kela, akhirnya menjadi pentas kepada tragedi berulang. Apa yang pada awalnya kelihatan seperti tugasan biasa bertukar menjadi naskhah mimpi buruk apabila mereka disedut ke dalam gelung masa yang tidak mengenal belas kasihan. Hari yang sama. Kematian yang sama. Tangisan yang tak sempat kering.
Namun Citra Apartment bukan hanya mengenai waktu yang berputar. Ia mengenai jiwa yang perlahan-lahan terhakis. Elisya Sandha menampilkan kekuatan emosinya sebagai Ilyana, watak yang keras di luar tetapi menyimpan remuk yang perlahan-lahan pecah di dalam. Di sisi beliau, Ooi Liang Chia mencuri perhatian sebagai rakan yang sinis namun jelas memendam empati, memberikan sedikit kelegaan dalam kepanikan yang menyesakkan. Amor Rizan memilih untuk tidak bergantung kepada jumpscare murahan. Sebaliknya, beliau menyulam ketegangan melalui persekitaran. Koridor sempit, pencahayaan suram, dan bunyi yang lebih menyeramkan daripada bayang.
Pangsapuri itu terasa seakan hidup, menunggu mangsanya mengulang kesilapan yang sama. Filem ini membangkitkan perasaan terperangkap, bukan hanya secara fizikal, tetapi juga emosi, seolah-olah watak-wataknya tidak hanya terkunci dalam masa, tetapi dalam kesedihan yang tidak terucap. Namun begitu, ada detik-detik di pertengahan naratif di mana pengulangan waktu itu sendiri mula terasa berlebihan. Beberapa babak seolah-olah tidak membawa perkembangan baharu, sebaliknya menimbulkan kelelahan pada emosi penonton. Nasib baiklah, filem ini diselamatkan oleh beberapa pendedahan mengejut menjelang klimaks yang mengangkat naratifnya semula.
Kekuatan filem ini juga terletak pada penyuntikan elemen budaya tempatan seperti artifak purba yang menjadi asbab bermulanya musibah, roh misteri yang menjaga ruang, dan mitos yang tidak asing bagi kita tetapi jarang ditonjolkan dalam naratif seram moden. Ada semacam kehormatan pada misteri lama yang dibangkitkan semula. Skor muzik dan rekaan bunyi bekerja dengan harmoni. Ia tidak mengganggu, tetapi membisikkan ketakutan dari kejauhan. Set pangsapuri itu sendiri juga menjadi watak. Penuh serbuk masa, cat yang terkopek, dinding yang seperti menyimpan jeritan lama.
Sebagai karya sulung, Amor Rizan menunjukkan potensi. Dengan bimbingan penerbit berpengalaman seperti David Teo, beliau berjaya menjejakkan kaki ke dunia filem dengan karya yang tidak klise. Ia belum sempurna, beberapa persoalan utama seperti asal-usul artifak dan kaitannya dengan Ilyana ditinggalkan tergantung, tetapi mungkin itu disengajakan, memberi ruang kepada sekuel atau tafsiran peribadi.
Kalau menurut saya, Citra Apartment bukan semata tentang seram. Ia tentang keengganan masa untuk memberi maaf, tentang jiwa yang terperangkap dalam kesilapan, dan tentang keberanian untuk mencungkil kebenaran walau berulang kali dihumban ke liang yang sama. Ia mengundang kita untuk bertanya, “Jika diberi peluang mengulang hari yang sama, adakah kita akan memilih untuk memperbaiki… atau melarikan diri?”
Sebuah seram psikologi tempatan yang menyayat rasa. Lambat terbakar, tetapi meninggalkan bara.️ Saksikan Citra Apartment bermula 3 Julai 2025 di pawagam berdekatan, dan bersedialah untuk masuk ke dunia di mana waktu terhenti… dan rasa takut itu takkan pernah reda.