Terjebak Dalam Ilusi Tipu Helah Yang Kita Tak Nampak, Buat 'Magik Rompak' Jadi Gempak

oleh: zizi hashim

Teruja untuk menonton tayangan khas awal pada 1 September 2025, saya diajak masuk ke ruang penuh asap silap mata ketika menonton Magik Rompak, di mana kebenaran dan tipu helah saling berlapis antara satu sama lain tanpa noktah. Filem arahan sutradara tersohor Adrian Teh ini, berdurasi 2 jam 14 minit, merupakan perayaan aksi-rompakan sekaligus sebuah permainan jiwa yang memancing rasa percaya dan curiga dalam satu helaan nafas. Jarang sekali layar perak menghadiahkan kita sebuah kisah rompakan yang buat kita berdebar dari segi aksi, tetapi juga penuh dengan lapisan ilusi.

Sejak detik pertama Magik Rompak bermula, saya tahu filem ini akan membawa saya ke dunia yang sarat dengan tipu daya, dendam dan permainan psikologi. Adrian Teh, yang sudah terbukti dengan karya-karya aksi sebelumnya, kali ini berani mengambil jalan yang kurang dilalui: sebuah rompakan berbalut silap mata. Sebagai peminat Now You See Me, saya awalnya menjangka akan melihat satu plagiat, namun sangkaan itu perlahan-lahan pudar. Ya, inspirasi jelas kelihatan, tetapi realitinya 'jauh panggang dari api'. Magik Rompak berdiri dengan roh sendiri, mengikat penonton dengan plot yang sarat kejutan dan identiti tempatan yang kuat.

Saya terpikat dengan Magik Rompak kerana filem ini menghadirkan vibes yang serupa dengan NYSM. Namun setelah menyelami 134 minit durasinya, jelas bahawa Magik Rompak punya jiwa berbeza. Ya, ideanya mungkin mengingatkan pada NYSM, tetapi jalan ceritanya sama sekali tidak serupa, malah trik-triknya hadir dengan kelainan tersendiri. Aksi rompakan dibalut dengan silap mata yang digarap cukup halus, sampai terasa seolah-olah tiada cacat cela. Memang benar, saya berharap ada lebih banyak adegan magik yang mengkagumkan, kerana ada sebahagiannya agak boleh dijangka. Tetapi yang ada masih berjaya mengekalkan rasa kagum, terutama kerana ia dicantumkan kemas dengan naratif.

Sharnaaz Ahmad sebagai Hadi benar-benar menghidupkan watak bekas ahli silap mata yang dihantui masa silam. Motivasinya mencuri rantai Hati Kesuma bukanlah sekadar gilakan harta, tetapi ada rahsia peribadi yang mengejutkan. Satu plot twist yang membuat saya terkesima, kerana tiada siapa sangka alasan sebenar di sebalik obsesinya itu. Di sisi Hadi berdiri trio penuh karisma “Night Spark”, pencuri mahir yang masing-masing dipacu dendam, menjadikan kumpulan ini sebuah orkestra ilusi dan bahaya. Namun, apabila pengkhianatan mula merayap, permainan mereka menjadi pertaruhan nyawa.

Dari segi lakonan, Magik Rompak berdiri kukuh. Zul Ariffin sebagai Fariq membawa aura maskulin yang mantap, Amelia Henderson memberi lapisan elegan dan tajam, manakala Nadhir Nasar dalam watak Ujang menunjukkan peningkatan jelas. Watak Ujang menjadi penyeri komedi, meski saya akui sesetengah penonton mungkin akan berasa sedikit 'annoy' dengan obsesinya pada Wawa yang kadang-kadang kelihatan cringe. Namun, itulah fungsi wataknya, mencairkan suasana tegang dengan kekal quirky. Barisan pelakon lain seperti Miller Khan, Fabian Loo, Tay Ping Hui, Yasmin Hani dan Elvina Mohamad juga memberi sumbangan seimbang. Tiada yang 'kayu', tiada yang ketinggalan; ini kerana setiap pelakon ditempatkan dengan tepat pada posisi mereka masing-masing.

Rentak penceritaan bergerak dengan cukup kemas. Bahagian awalnya memikat dengan elemen silap mata, bahagian pertengahan terasa sedikit perlahan, namun sebaik sahaja klimaks menghampiri, degup jantung saya benar-benar dipacu. Kejutan demi kejutan, plot twist yang tidak memberatkan, malah mudah diterima, menjadikan perjalanan filem ini mengasyikkan. Endingnya pula? Kelakar habis, seolah-olah melepaskan segala ketegangan sebelumnya, hingga membuat panggung pecah bergema dengan gelak ketawa ramai.

Trik magiknya pula, memang smooth. Ada momen yang terasa begitu kemas sampai saya rasa sempurna dan tiada cacat cela. Meski secara peribadi saya mengharap lebih banyak adegan besar-besaran yang membuat penonton ternganga. Beberapa trik agak boleh dijangka, malah tidak semuanya sampai ke tahap “wow”, tetapi keberanian Adrian Teh untuk menampilkan genre ini di Malaysia tetap wajar diberi penghargaan. Ia bukan sekadar percubaan, tetapi sebuah langkah membuka pintu kepada lebih banyak karya berteraskan magik di masa depan.

Ada kelemahan, ya tipulah kalau tiada. Seperti karya-karya Adrian sebelum ini, dialog kadang-kadang kedengaran agak baku, membuat babak tertentu terasa sedikit statik. Ada ketika watak terlalu banyak berbicara daripada benar-benar 'menunjukkan' kemahiran mereka. Namun kelemahan ini tidak cukup besar untuk menenggelamkan keseluruhan pengalaman. Langsung tidak mengganggu pun sebenarnya. Untuk membawa tema magik ke layar Malaysia, ia satu percubaan yang tidak kecil. Sebagai penonton, saya tetap merasa terhibur. Ada humor, ada degup kencang, ada renungan getir tentang kepercayaan dan pengkhianatan.

Magik Rompak mungkin tidak semegah produksi Hollywood, tetapi ia berdiri dengan identitinya sendiri, dan membuka jalan untuk genre ini berkembang di tanah air. Saya melihat Hadi sebagai pencuri tipikal yang hanya mengejar harta. Pernah berdiri megah di pentas, namun masa silam yang gelap menjadikannya lelaki yang sentiasa dihantui bayang. Ketika rantai Hati Kesuma, permata legenda yang menyilaukan nilai jutaan ringgit menjadi sasaran, kita tidak hanya menyaksikan misi pencurian, tetapi juga pertempuran dalaman antara keinginan, dendam, dan kerinduan pada maruah yang pernah hilang.

Filem ini menyulam jalinan karakter yang pelbagai. Trio “Night Spark” yang terdiri daripada pencuri mahir menjadi sekutu Hadi, masing-masing didorong oleh dendam peribadi. Namun, dalam kumpulan yang kelihatan utuh itu, percikan pengkhianatan mula membakar dari dalam. Di sinilah Magik Rompak berjaya bermain dengan lapisan drama manusia bahawa rompakan paling berisiko bukan sahaja berhadapan dengan musuh di luar, tetapi juga bisikan khianat dari dalam lingkaran kepercayaan sendiri. Kehadiran Tay Ping Hui sebagai Tan Sri Hamdan Tan, hartawan korup yang menjadi target memberi dimensi realistik tentang kerakusan kuasa. Setiap pelakon seakan dilukis untuk melengkapkan papan permainan besar yang dipenuhi strategi, tipu muslihat, dan perasaan yang tidak pernah seratus peratus jernih.

Kalau menurut saya, apa yang membuat filem ini berbeza ialah sentuhan magisnya. Pertunjukan silap mata dijadikan tirai yang menutup sekaligus membuka rahsia. Saya merasa sedang duduk di barisan hadapan sebuah persembahan, di mana setiap gerakan, setiap helaan nafas, mungkin menyembunyikan ilusi. Dan di sebalik semua keindahan ilusi itu, wujud persoalan getir: adakah kita sanggup menggadaikan jiwa untuk sebutir permata, atau lebih jujur, untuk membalut luka yang masih berdarah?

Secara teknikal, Magik Rompak dipacu dengan sinematografi yang tajam, babak aksi yang terancang rapi, dan humor yang sesekali mencairkan ketegangan. Ritmanya memberi ruang untuk penonton bernafas, sebelum dihentak kembali dengan detik degupan kencang. Adrian Teh membuktikan bahawa genre aksi-rompakan boleh diolah dengan citra tempatan tanpa mengorbankan nilai produksi yang gah. Magik Rompak bukan hanya hiburan, tetapi juga satu renungan tentang rapuhnya kepercayaan. Bila pengkhianatan menyusup masuk, ilusi paling indah sekalipun boleh runtuh sekelip mata. Saya keluar panggung dengan senyum, degup kencang, dan rasa kagum terhadap keberanian sebuah karya tempatan yang tidak takut bermain dengan ilusi.

Rekomendasi tertinggi dari saya untuk filem ini kepada sesiapa yang ingin melihat sisi baharu sinema Malaysia. Bermula tayangan di pawagam berdekatan anda 11 September 2025, berilah peluang untuk Magik Rompak membuktikan bahawa magik tidak hanya milik pentas silap mata, tetapi juga layar perak yang berani mencabar tradisi.