oleh: zizi hashim
Ketika jiwa patah, ketika hidup seakan kehilangan arah, begitulah permulaan perjalanan Amira (Michelle Ziudith) yang hampir menyerah. Di titik rapuh, dia memilih mengakhiri nyawa, namun takdir mempertemukan penyelamat misteri yang memberi ruang kedua. Sejujurnya, setiap insan pernah jatuh di titik terendah. Ketika hidup terasa menyesakkan, ketika masalah datang bertubi-tubi tanpa jeda, dan ketika hati berbisik seolah tiada lagi harapan.
Saya merasakan gema itu ketika menonton Assalamualaikum Baitullah (2025), adaptasi novel best-seller karya Asma Nadia yang diarahkan Hadrah Daeng Ratu. Filem ini mulai ditayangkan di pawagam Malaysia pada 28 Ogos 2025 dengan durasi 102 minit, namun sepanjang tayangannya, jiwa saya terasa seolah diajak masuk ke ruang renungan yang begitu peribadi. Naskhah ini ditulis trio pengarang iaitu M. Irfan Ramly, Effrina Hayyu Sisfayeralda, dan Titien Wattimena, dengan tangan berpengalaman.
Mereka menghidang ramuan luka dan kerohanian dalam satu hamparan, membentangkan romansa, tragedi, dan keikhlasan tanpa terasa murahan. Amira, yang diselamatkan dari jurang gelap, mulai menyusun hidup perlahan, mencari cahaya di setiap tahap. Bersama sahabatnya Ica (Ummy Quary), dia belajar agama dengan tekun, sehingga bertemu Amel (Tissa Biani) dan Barra (Arbani Yasiz) yang jadi ujian baru dalam kehidupan.
Sebagai perempuan muda yang hampir menamatkan hidupnya kerana beban jiwa terlalu berat, Amira menyedari dirinya diberi peluang kedua oleh Allah. Dia mulai mencari cahaya, mengikuti kajian, memperdalam agama, dan membangun kembali sisa-sisa hidup yang sempat hancur. Namun perjalanan hijrah tidaklah semulus doa. Amel dan Barra, dua sosok penting yang mewarnai fasa barunya membawa bersama ujian yang tidak terduga.
Amira jatuh hati pada Barra, tapi tanpa dia tahu, Barra dan Amel sudah dijodohkan keluarga. Dilema pun pecah, antara redha, cinta, dan air mata. Konflik segitiga ini tidak dibawa dengan kebencian, tetapi dengan pilihan ikhlas dan jalan damai yang penuh perasaan. Pesan itu terpantul jelas lewat dialog penuh hikmah, Maudy Koesnaedi sebagai ibu Barra menuturkan kata indah, "Jangan patah semangat. Tidak ada doa yang tidak didengar dan dimakbulkan." Kalimat ini menusuk ke dada, membuat saya sedar bahawa seringkali doa memang tidak dijawab dengan cara yang kita mahu, melainkan dengan cara yang kita perlukan.
Saya kagum kerana filem ini memilih jalan penerimaan, bukan pertengkaran. Di sini terasa bagaimana Assalamualaikum Baitullah berani menampilkan wajah cinta yang sederhana, tanpa melupakan nilai spiritual. Di sebalik layar, naskhahnya digarap oleh 3 penulis hebat dan hasilnya adalah naratif yang mencampur-adukkan tragedi, keagamaan, dan romansa. Saya sendiri terkejut ketika filem ini memilih untuk memulakan dengan adegan percubaan bunuh diri, sebuah pilihan yang berani untuk genre sebegini. Bukankah realiti memang begitu? Wajah yang tampak tenang pun bisa menyimpan badai dalam diam.
Michelle Ziudith bersinar terang sebagai Amira, menyalurkan luka dengan penuh penghayatan. Dari tatapan kosong yang hampir menyerah, hingga pancaran pasrah di hadapan Kaabah, setiap ekspresinya membuat saya ikut terpikat. Arbani Yasiz sebagai Barra tampil sederhana tapi hangat, menjadi sandaran yang nyata tanpa perlu berlebihan. Tissa Biani membawa karektor Amel dengan keteduhan yang memberi keseimbangan.
Sinematografi filem ini patut dipuji. Adegan di Tanah Suci, meski jelas dibuat dengan keterbatasan teknikal, tetap tampak megah dan syahdu. Kamera menangkap detik-detik Amira menatap Kaabah dengan air mata yang jatuh perlahan, seolah penonton pun diajak untuk turut berdoa. Ditambah soundtrack “Jalan Cinta” nyanyian Fadhilah Intan, suasana terasa lebih pekat, seakan lagu itu sendiri adalah doa yang menyembuhkan luka.
Airmata saya tumpah saat melihat Amira dipeluk bayangan Allahyarhamah ibunya ketika mengelilingi Kaabah. Babak itu paling sentimental buat saya. Namun ada bahagian yang terasa terburu-buru. Proses penyembuhan Amira digambarkan terlalu cepat, seakan luka yang dalam bisa sembuh hanya dengan beberapa langkah sederhana. Dalam realiti, hijrah adalah perjalanan panjang, penuh duri, dan sering memakan waktu bertahun-tahun.
Begitupun, saya faham filem ini memilih pendekatan simbolik, agar pesannya lebih langsung sampai ke hati penonton. Apa yang saya suka adalah cara filem ini tidak menjelma menjadi khutbah panjang, tetapi membiarkan setiap babak berbicara dengan sunyi. Solidariti antara tokoh perempuan juga memberi nafas segar. Amira, Amel, dan bahkan Ica saling menjadi cahaya, menunjukkan bahawa kekuatan seringkali lahir dari kebersamaan.
Menonton Assalamualaikum Baitullah membuat saya termenung panjang. Filem ini memang ada kelemahan dalam tempo, namun niat baik, lakonan tulus, dan kekuatan emosinya berhasil mengatasi. Saya pulang dengan hati yang terasa lebih ringan, meski mata masih basah. Kerana pada akhirnya, filem ini berbisik lembut: tidak semua doa dijawab dengan cara yang kita harapkan, tetapi selalu dengan cara yang kita perlukan. Dan mungkin, itulah makna sesungguhnya dari kata ikhlas.
Ikhlas, sabar, dan percaya bahawa badai sebesar mana sekalipun mampu menjadi jalan pulang menuju Cahaya. Filem ini bukan dokumentasi realiti, melainkan doa sinematik yang mengajarkan bahawa keikhlasan mesti dipelajari ketika takdir berkata lain. Niat tulus filem ini jelas terasa, bukan hanya kisah cinta atau hijrah, tetapi cermin tentang manusia yang kadang rapuh, namun masih punya peluang untuk kembali teguh.