Memoir Gelap Pizzeria Lama Kembali Hantui Seluruh Nafas Cerita 'Five Nights At Freddy’s 2'

oleh: zizi hashim

Sejujurnya, sebagai seseorang yang tidak menonton filem pertamanya, pengalaman menonton Five Nights at Freddy’s 2 (FNAF2) terasa seperti membaca buku pada bab kedua. Ada memori yang hilang, ada rasa blur blur yang sukar dijelaskan, namun semua itu justeru menambah keingintahuan yang pelik terhadap dunia Freddy Fazbear’s Pizza. FNAF2 adalah filem sambungan dan sebuah lorong gelap yang perlahan-lahan menghisap saya masuk ke dalam dunianya.

Naratif bermula setahun selepas insiden supranatural yang menghantui Mike, Abby dan Vanessa. Lokasi itu kini tinggal legenda muram yang dibisikkan dari mulut ke mulut. Mike, dilakonkan Josh Hutcherson dengan kerentanan yang lebih matang, cuba menggenggam hidup adiknya Abby yang masih kecil. Rapuh, ingin tahu, dan memikul trauma yang belum sempat sembuh. Hidup mereka tampak normal, sehinggalah Abby secara senyap kembali ke tempat terkutuk itu dan bertemu Chica. Dari saat itu, saya tahu kisah ini bukan mengenai langgar pantang tetapi tentang jiwa yang masih mencari sahabat di tengah kekosongan.

Dan sekali lagi, sebagai penonton yang blur terhadap sejarah filem pertama, saya terpinga-pinga melihat Abby merindui “kawan-kawannya”, wujud yang tidak pernah diperkenalkan sebelumnya, saya cuma buat-buat faham sendiri. Namun di situlah keindahan seramnya: kerinduan seorang kanak-kanak terhadap sesuatu yang sepatutnya menakutkan, namun dalam kacamatanya, mereka adalah teman. Kesedihan itu menikam halus, seolah-olah dunia animatronik itu memahami hati Abby lebih daripada manusia dewasa di sekelilingnya.

Emma Tammi, yang kembali ke kerusi sutradara, menyelitkan sentuhan emosional yang lebih pekat. Hubungan Mike–Abby menjadi nadi filem; setiap gerakan Mike terasa seperti perjuangan seorang abang yang hampir hancur memikul kesetiaan yang terlalu berat. Piper Rubio pula mencuri layar dengan gerak matanya memuatkan dunia penuh rasa ingin tahu, namun terselit ketakutan yang tidak diberi nama. 

Josh Hutcherson memperlihatkan dimensi baharu watak Mike. Kali ini, dia bukan hanya penjaga malam yang keletihan; dia seorang lelaki yang diseret antara rasa bersalah masa lalu dan tanggungjawab besar terhadap adiknya. Abby pula... oh, anak kecil itu benar-benar menjadi pusat graviti cerita. Dalam wajahnya yang penuh rasa ingin tahu dan ketakutan, kita melihat refleksi kanak-kanak sebenar: polos tetapi berani, rapuh tetapi nekad. Setiap kali dia berinteraksi dengan animatronik, jantungku terasa diramas, seolah-olah dunia sedang memperolok kanak-kanak yang hanya mahukan teman, namun diberi raksasa sebagai pengganti.

Rekaan produksi kali ini lebih tajam dan lebih mencengkam. Pizzeria lama tampil seperti labirin neon; gelap, berhabuk, dan sesekali memantulkan cahaya malap yang menyorot mata merah animatronik. Bunyi-bunyi mekanikal yang berderit, langkah berat yang bergema di ruang kosong, serta tawa kanak-kanak yang hampir seperti bisikan roh, semuanya bersatu mencipta suasana yang buat bulu roma berdiri. Skor The Newton Brothers menambah lapisan ngeri yang sukar dinyahkan daripada ingatan. Ada saat-saat tertentu saya merasakan nadi sendiri mengikuti ritma muziknya, ibarat filem ini mengawal degupan jantung penonton.

Sejujurnya, ada plot hole yang agak membingungkan, terutama bahagian berkaitan William Afton, watak antagonis yang sepatutnya membawa graviti besar. Bahagian itu seperti diringkas terlalu cepat, membuat emosi penonton terputus beberapa kali. Fan service juga kadang berlebihan, seolah-olah filem ini lebih ingin memuaskan peminat tegar daripada memperkukuh naratif. Sebagai penonton baharu, saya beberapa kali terpaksa menyusun sendiri potongan maklumat, dan ada momen yang hampir terlepas makna. Jumpscare juga terasa berlebihan sehingga emosi yang dibina sejak awal hilang tumpuan.

Namun dalam kelemahan itu, tetap saya temukan kejujuran: filem ini dibikin dengan penghormatan untuk pemain game, sambil cuba membuka ruang bagi penonton baru. Five Nights at Freddy’s 2 masih mempunyai kekuatan tersendiri terutama apabila ia memilih untuk menceritakan seram yang tidak selalu bergantung pada darah dan bunyi keras. Ada ketakutan yang lebih sunyi, lebih psikologikal… ketakutan tentang kehilangan, kesunyian, dan cinta yang terpaksa bertahan dalam dunia yang tidak adil.

Dan ya, meski rating PG-13 mengekang aspek gore, ambiance filem ini tetap cukup untuk membuatkan jantung saya beberapa kali melompat. Lebih menarik, saspens filem ini tidak mudah diramal, menjadikan babak twist akhirnya terasa memuaskan bagi seseorang yang datang tanpa sebarang rujukan seperti saya.

Secara keseluruhan, Five Nights at Freddy’s 2 ibarat perjalanan gelap yang merangkul saya tanpa memaksa. Seramnya tidak ganas, namun emosinya kuat dan berlapis, sesuatu yang membuatkan saya meninggalkan panggung dengan rasa ingin tahu terhadap filem pertamanya, seolah-olah ada pintu masa lalu yang perlu saya buka semula untuk memahami Abby dan 'kawan' misterinya. Untuk peminat lama FNAF, ini adalah hadiah. Untuk penonton baru seperti saya, ini undangan memasuki dunia yang memukau antara ketakutan dan simpati.

Five Nights at Freddy’s 2 kini menghantui pawagam Malaysia. Mulakan perjalanan ini kalau hati cukup berani atau kalau ingin merasai kembali memori game yang pernah mencuri tidur kita selama bertahun. Tayangan bermula 4 Disember 2025, berdurasi 104 minit, rating PG-13. Datanglah… kalau berani!