oleh: zizi hashim
Terselit di celah-celah hiruk-pikuk filem aksi moden yang sering gemar bersembunyi di sebalik ledakan dan kemilau CGI, Karate Kid Legends muncul seperti sebait puisi yang dikirim lewat angin, sunyi, namun tepat menyapa hati. Filem arahan sutradara Jonathan Entwistle ini bukan sekadar kesinambungan, bukan juga sebuah reboot yang gopoh meraih nostalgia; ia adalah surat cinta kepada masa lalu dan masa kini, kepada generasi lama yang pernah mempercayai kekuatan dalam kelembutan, dan kepada generasi baharu yang sedang mencari makna dalam kacau-bilau.
Kisahnya berkisar tentang Li Fong (Ben Wang), seorang remaja pintar dari Beijing yang mengikut ibunya berhijrah ke New York, melangkah masuk ke dunia asing dengan langkah yang masih terluka. Dia bukan sahaja terpaksa bergelut menyesuaikan diri di sekolah baharu dan menenangkan ibunya (lakonan Ming-Na Wen) yang trauma akan masa silam, tetapi juga dihantui bayangan abang yang mati dalam satu insiden tragik. Satu kehilangan yang telah menumpulkan semangat juangnya. Seorang pelajar, seorang pendatang, seorang adik yang dihantui memori abang yang tewas dalam pertarungan jalanan. Fong lebih rapuh, lebih mudah terluka, namun di situlah terletaknya kekuatannya kerana dia jujur.
Dan di sebalik keheningan kota, dia memikul warisan yang lebih berat daripada beg sandangnya: harapan, luka silam, dan keengganan untuk kembali bertarung. Namun saat Victor, seorang pemuda tempatan dan juga kawan baharu, dihancurkan secara tidak adil dalam sebuah perlawanan tinju jalanan, naluri Li sebagai pejuang bangkit perlahan-lahan. Perjalanan Li tidak disuluh sendirian. Jackie Chan kembali sebagai Mr. Han, watak yang pernah membesarkan dunia Karate Kid versi 2010 dengan gaya kung fu yang penuh seni dan disiplin. Keletahnya masih mencuit, ketegasannya masih membimbing.
Dan kemudian, seperti takdir yang ditenun lama, muncullah Ralph Macchio sebagai Daniel LaRusso. Daniel-san yang dahulunya belajar karate dari Mr. Miyagi kini telah menjadi seorang Sensei. Pertemuan 2 legenda ini bukan sekadar momen fan-service, tetapi titik pertemuan 2 falsafah bela diri: kung fu yang berakar pada keselarasan, dan karate yang berakar pada kehormatan. “Two branches of the same tree,” kata Miyagi suatu ketika dahulu, dan kini kata-kata itu hidup semula menerusi filem ini.
Kemasukan Jackie Chan sebagai Mr. Han, dan Ralph Macchio sebagai Daniel LaRusso, adalah hadiah buat peminat sejati. Melihat mereka berkongsi layar bukan sekadar membangkitkan kenangan zaman VHS, tapi terasa seperti dua masa bertemu dalam satu takdir. Bimbingan mereka terhadap Fong bukan sahaja tentang teknik bertarung, tapi tentang menyembuhkan. Seperti dua penjaga yang tahu bila harus menegur, dan bila harus membiarkan luka itu sembuh sendiri.
Yang paling saya hargai adalah bagaimana filem ini tidak terburu-buru. Ya, tempohnya hanya 94 minit, tetapi mengalir seperti sungai musim bunga; tenang, jernih, menyegarkan. Setiap babak dari lorong pizza di West Side, ke studio latihan sunyi, hingga detik akhir di gelanggang terasa sungguh manusiawi. Saya senyum ketika Fong digelar “Stuffed Crust”, ketawa kecil waktu dia belajar ‘bergaul’ dengan tutor canggung bernama Alan (lakonan Wyatt Oleff), dan menitiskan air mata ketika dia akhirnya berdamai dengan ibunya (Ming-Na Wen) seorang wanita yang terlalu trauma dan takut kehilangan. Tentunya saya merasa sangat relate kerana naluri keibuan yang kuat.
Filem ini juga tidak tergesa-gesa mengejar aksi semata. Ya, pertarungan akhir antara Li dan antagonis Conor (Aramis Knight) mungkin seperti permainan Mortal Kombat dengan gaya berbingkai, dengan koreografi yang teratur dan sengaja sinematik tetapi semuanya masih terasa organik kerana emosi di sebaliknya tidak palsu. Li bertarung bukan kerana mahu menang, tetapi kerana perlu memaafkan dirinya sendiri. Pertarungan itu bukan klimaks fizikal, tetapi pelepasan batin.
Pertarungan klimaks mungkin tidak sehebat filem aksi blockbuster, tapi ada satu nilai yang tak mampu dijual beli: kejujuran. Ketika Fong melangkah masuk ke gelanggang, saya rasa seolah-olah itu saya, atau kamu, atau sesiapa saja yang pernah rasa kecil dan tidak layak, tapi akhirnya berani berdiri. Filem ini bukan mahu menjadi luar biasa, ia hanya mahu jujur. Dan itu jauh lebih sukar.
Ben Wang sebagai Li Fong membawa jiwa yang segar dan jujur ke layar. Ada ketidaksempurnaan yang disengajakan dalam lakonannya. Dia bukan wira yang tahu segala-galanya, malah sering tersekat-sekat, gugup, marah dan ragu. Namun di situlah letak kekuatan wataknya: manusiawi dan dekat. Hubungannya dengan Alan (Wyatt Oleff), tutor nerdy yang dipaksa ibunya untuk menjadi kawan, berkembang menjadi pertemanan tulus, jenaka kecil mereka menyelinap masuk sebagai pelipur lara yang menyentuh. “Mom did that to your eye?” adalah dialog paling disambut hangat dalam tayangan saya dan sememangnya wajar.
Ming-Na Wen pula membawa nuansa lain sebagai ibu Li. Bukan ibu tipikal filem Amerika, tetapi seorang wanita Asia yang hidup dengan rasa bersalah, takut anaknya menjadi seperti suaminya yang hilang atau abangnya yang mati. Dinamika antara ibu dan anak ini membuka ruang buat penonton memahami dimensi keluarga yang lebih rumit, lebih tulus daripada hanya ‘melarang demi sayang’. Bahkan Sadie Stanley sebagai Mia, anak kepada Victor dan cintahati Li, diberi kedalaman yang mencukupi untuk tidak sekadar menjadi pemanis latar.
Dari segi sinematografi, filem ini memberi nafas kepada ruang kota New York sebagai nadi penceritaan, lorong sempit, kedai pizza, studio kosong, jalanan sibuk, semuanya tidak sekadar latar, tetapi karektor yang bernafas bersama naratif. Adegan rompakan di apartmen yang memerlukan Mr. Han dan Li bekerjasama adalah antara babak yang paling menyeronokkan, dan jelas mengingatkan kita kepada kehebatan Jackie Chan dalam seni koreografi slapstick yang masih kental. Namun, filem ini bukan tanpa cela. Ada karektor antagonis yang terasa tipis pembinaannya, dan sesetengah babak berasa terlalu “video game” – cepat, bersih, kurang darah dan keringat. Tetapi dalam landskap hiburan yang sering terjerat oleh dramatik kosong, kelemahan ini boleh dimaafkan. Malah, ia memberi ruang untuk kita fokus pada yang lebih penting, iaitu emosi.
Di penghujung filem, ketika Li berdiri di tengah gelanggang, wajahnya bukan lagi wajah remaja yang ingin membalas dendam. Ia wajah seseorang yang telah berdamai dengan masa silam, dengan keluarganya, dengan dirinya. Itulah yang membuatkan filem ini lebih dari sekadar filem aksi: ia adalah kisah pertumbuhan, tentang generasi yang belajar bahawa menjadi kuat tidak bermaksud menjadi keras, dan memenangi sesuatu tidak semestinya bermakna mengalahkan sesiapa.
Karate Kid Legends bukan untuk mereka yang menagih kejutan atau drama berlebihan. Ia untuk hati yang pernah terluka dan sedang belajar sembuh. Ia untuk anak-anak yang sedang tumbuh, dan untuk kita yang sedang mencari versi diri yang lebih baik. Filem ini tidak menjanjikan letupan, tetapi ia meledakkan sesuatu yang lebih dalam: harapan. Dan andai kisah ini bersambung, saya akan tetap hadir! Bukan kerana mahu melihat lebih banyak aksi, tetapi kerana ingin tahu bagaimana cinta, maruah, dan warisan terus mengalir dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Bukan juga kerana mahu lebih banyak pergaduhan, tapi kerana saya tahu, kisah ini masih belum selesai.