oleh: zizi hashim
Entah bagaimana ingin saya mulakan reviu kali ini. Saat melangkah masuk ke pawagam dengan hati separuh ragu saya tertanya-tanya sendiri. Adakah Superman masih relevan dalam semesta sinema hari ini, di tengah-tengah arus banjir adiwira berperisai dan kelam? Sedari babak awal, saya melihat seorang Superman yang lembik, terlalu tunduk, terlalu lembut dan saya sudah merasa sedikit kecewa. Namun lama-kelamaan saya mula memahami formula yang ingin diperkenalkan oleh sutradara James Gunn.
Tidak hadir sebagai ikon gagah semata-mata, tetapi sebagai figura adiwira yang menjaga adab, malah Superman sudah terbiasa mengucapkan terima kasih meski kepada robot yang tidak punya jiwa untuk memahami maksudnya. Itu sebenarnya bukanlah satu kelemahan, ternyata itu adalah cerminan martabat. Dalam dunia yang tidak lagi polos dan mudah, di zaman yang sarat keliru hadirnya seorang adiwira menyelamatkan dunia dan pada masa yang sama mempertahankan nurani.
Superman versi 2025, garapan James Gunn, bukan sahaja menghidupkan kembali watak ikonik dari lembar komik lama, tetapi juga menempatkannya dalam dunia yang lebih kelam, lebih getir, namun masih sarat harapan. Sebaik sahaja babak pertama mengalir di layar, dengan Krypto si anjing galaksi mengacak-acak Fortress of Solitude, saya tahu ini bukan sekadar reboot. Ini adalah seruan halus: bahawa kita masih memerlukan kebaikan sejati, meski dunia enggan percaya padanya.
David Corenswet memberi nafas baharu yang tidak hanya gagah, tetapi rapuh, jujur, dan terdedah. Superman-nya bukan dewa di langit, tetapi anak petani Kansas yang merasakan setiap jerit jiwa manusia di sekelilingnya. Antara debu Metropolis dan langit yang mendung, dia melayang bukan kerana dia mampu tetapi kerana dia tahu orang lain tidak.
Konflik antara Boravia dan Jarhanpur menjadi cerminan kekacauan dunia sebenar, dan saat Clark terpaksa memilih antara kekal neutral atau berdiri atas sesuatu yang benar, filem ini menyentuh sesuatu yang lebih dalam daripada sekadar naratif adiwira. Ini tentang keberanian untuk berbuat baik meski dihina, tentang memilih belas kasihan ketika dunia menuntut kekerasan.
James Gunn memperhalusi naratif ini dengan keseimbangan antara letupan emosi dan sinematografi yang cemerlang. Beliau langsung tidak terjerat dalam perangkap untuk memaparkan asal-usul Superman yang telah acap kali digarap dalam medium lain. Sebaliknya, dia membenamkan kita ke dalam dunia yang sudah matang, dengan Clark yang telah lama menjadi Superman, dan Lex Luthor yang sudah lama memerhati dan berdendam.
Lex Luthor, lakonan Nicholas Hoult, ialah kemuncak kepada rasa tidak puas hati manusia terhadap kesempurnaan. Dia bukan sekadar antagonis, dia adalah refleksi ketakutan kita terhadap apa yang tidak boleh dikawal. Obsesinya terhadap Superman dibina dari cemburu, rasa tidak cukup, dan kehendak untuk menghapuskan segala yang menyinar lebih terang dari dirinya. Hoult menari di antara kegilaan dan kecerdikan dengan penuh gaya, menjadikan Lex antara penjahat terbaik dalam francais ini.
Rachel Brosnahan sebagai Lois Lane membawa kekuatan dan kelembutan dalam satu tarikan nafas. Hubungannya dengan Clark tidak dibingkai sebagai cinta klise, tetapi sebagai pertembungan dua manusia yang percaya pada prinsip tetapi ragu akan masa depan. Babak wawancara yang bertukar menjadi debat, sarat sindiran dan kasih yang belum sempat dilafaz, memberi ruang pada emosi yang jarang kita lihat dalam filem adiwira.
Krypto, si anjing dari bintang lain, mencuri perhatian sejak awal. Kekacauan yang dibawanya ke Fortress of Solitude bukan sahaja lucu, tetapi simbolik. Walau seteguh mana pun tempat persembunyian kita, kasih sayang dan kekacauan selalunya datang bersama. Hubungannya dengan Clark adalah nadi kecil dalam filem ini, raw, setia dan penuh makna.
Watak-watak seperti Green Lantern, Mister Terrific, Metamorpho dan Hawkgirl mewarnai latar pertempuran, tetapi tidak menenggelamkan fokus utama. Setiap daripada mereka diberikan saat untuk bersinar tanpa mengganggu keseimbangan emosi naratif. Ini adalah kebolehan Gunn, memberi kedalaman dalam hiruk-pikuk.
Jimmy Olsen, lakonan Skyler Gisondo, membawa humor dan kejujuran yang menyegarkan. Beliau bukan sekadar ‘comic relief’ tetapi berperanan dalam arka penceritaan dengan momen yang tidak dijangka namun memuaskan. Perwatakannya menjadikan dunia sekeliling Superman terasa lebih hidup dan berakar.
Adegan aksi disusun bukan sekadar untuk keterujaan visual tetapi sebagai pemangkin emosi. Kamera bergerak seperti terikat pada denyut nadi Superman. Setiap tumbukan, setiap terbang melintasi bangunan, terasa seolah-olah kita turut serta bersama dalam perjalanan. Skor muzik oleh John Murphy dan David Fleming menambahkan lapisan perasaan yang mendalam, menyatukan nostalgia dengan semangat baru.
Namun bukan letupan dan efek khas yang membuat saya terpaku. Sebaliknya pada momen-momen kecil yang menghidupkan filem ini. Ketika Superman mengingat nama penjaja jalanan, menyelamatkan seekor tupai, atau menyarankan teknik pernafasan kepada orang awam yang cemas, kita diingatkan bahawa empati ialah kuasa sebenar seorang adiwira.
Superman (2025) ialah satu pengalaman sinematik yang membangkitkan jiwa. Ia mengingatkan bahawa walau sekuat mana pun kita, kebaikan tetap satu pilihan, bukan kewajipan. Saya keluar dari panggung bukan hanya dengan hati yang terhibur, tetapi dengan semangat yang diperbaharui. Dalam dunia yang sering menjatuhkan harapan, Superman mengangkatnya kembali ke langit dan meletakkannya kembali ke dalam hati kita.
Tayangan bermula di seluruh pawagam Malaysia pada 10 Julai 2025. Sungguh, dalam durasi 2 jam 9 minit ini adalah filem yang layak ditonton di layar paling besar. Jika anda pernah percaya kepada cahaya dalam kegelapan, atau ingin kembali percaya, Superman (2025) adalah panggilan untuk anda pulang ke panggung, dan biarkan diri anda terbang bersama harapan.