Sesabar Itu Untuk Miliki Anak, 'Lyora: Penantian Buah Hati' Titip Edukasi Dan Inspirasi

oleh: zizi hashim

Kekosongan itu hadir dalam bentuk keinginan sederhana tetapi paling sukar iaitu hadirnya seorang anak. Ada saat dalam hidup di mana pencapaian karier, rumah indah, bahkan pasangan yang setia pun terasa belum lengkap. Lyora: Penantian Buah Hati, arahan sutradara Pritagita Arianegara , melukis kisah benar Meutya Hafid dan suaminya Noer Fajrieansyah dengan jujur, getir, tetapi juga penuh cahaya. Saya suka dengan pendekatan yang hangat, penuh empati dan bikin penonton ikut merasakan rollercoaster emosi para karektornya.

Sebagai penonton, saya merasa segera ditarik masuk ke dalam denyut hidup Meutya, yang dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh Marsha Timothy. Dia digambarkan sebagai wanita karier yang sukses, punya nama, punya cinta, namun hatinya sering dan sentiasa memanjat satu doa yang tak kunjung termakbul. Bersama Fajrie (Darius Sinathrya), mereka menempuh jalan berliku: terapi tradisional, rawatan moden, hingga prosedur In Vitro Fertilization (IVF).

Namun takdir seringkali menguji. Tiga kali keguguran dalam setahun, satu pukulan yang hampir melumpuhkan jiwa mana-mana wanita. Saya sendiri tergoncang menyaksikan adegan itu, bagai menyentuh langsung luka batin seorang perempuan yang bertarung antara putus asa dan keyakinan. Tetapi di sebalik itu, filem ini juga memperlihatkan betapa pentingnya support system: seorang suami yang sabar, keluarga yang memberi kekuatan dan sahabat yang hadir menggenggam tangan.

Yang paling menggetarkan ialah kemistri di antara Marsha dan Darius. Marsha menyalurkan rapuh dan kuat dalam satu tubuh, sementara Darius tampil sebagai tempat bersandar, penuh empati, bahkan rela melampaui batas dirinya demi peranan. Ada adegan ketika dia melantunkan azan dengan penghayatan, dan momen itu membuat bulu roma saya meremang. Barisan pelakon pendukung seperti Widyawati sebagai ibu Meutya, Olga Lydia sebagai Dr. Dinda, hingga Hannah Al Rashid menambah kedalaman pada lapisan cerita.

Diangkat dari novel Lyora: Keajaiban yang Dinanti karya Fenty Effendy, filem ini tidak hanya sekadar drama sentimental, tetapi juga membuka ruang diskusi tentang isu yang sering dianggap tabu: infertiliti (ketidaksuburan). Arahan Pritagita terasa lembut tetapi tegas, tidak menghakimi, malah merangkul penonton untuk memahami bahawa perjalanan menjadi ibu bukan semata-mata tanggungjawab seorang wanita, tetapi perjuangan bersama sebagai pasangan.

Saya akui, ada beberapa bahagian terasa perlahan, khususnya ketika naratif berulang dalam proses rawatan. Namun saya menyedari, pengulangan itu justeru menekankan keletihan yang nyata, betapa panjang dan meletihkan perjalanannya menuju ke dua garis biru. Ada juga subplot yang tidak digali sepenuhnya, tetapi fokus utama tetap jelas: perjalanan Meutya dan Fajrie mencari buah hati. Di situ penonton sama-sama merasai, mendapat edukasi dan inspirasi.

Akhirnya, ketika bayi Lyora Shaqueena Ansyah lahir di usia Meutya yang ke-44, penonton bukan hanya melihat akhir sebuah kisah, tetapi kelahiran sebuah harapan. Saya tersenyum sambil mengesat air mata yang berlinang, kerana filem ini berjaya mengikat duka dan bahagia menjadi satu simpul yang utuh.

Lyora: Penantian Buah Hati adalah cermin bagi banyak pasangan di luar sana, terutama mereka yang masih menunggu dengan sabar. Ia memberi inspirasi, memberi pengajaran, dan yang paling penting meneguhkan bahawa doa tidak pernah sia-sia, meski kadang jawapannya datang lebih lambat daripada yang kita pinta. Sebuah tontonan yang tidak hanya menghibur, tetapi juga menyentuh jiwa.

Saat doa panjang akhirnya dijawab, lahirlah sebuah kisah yang akan menggoncang jiwa. Lyora: Penantian Buah Hati adalah drama inspirasi tentang cinta, kehilangan, dan keajaiban yang dinanti. Filem yang wajib ditonton, terutama buat anda yang suka drama keluarga yang bikin hati hangat sekaligus perih.

Saksikan bermula 18 September 2025 di pawagam seluruh Malaysia. Bawa hati, bawa tisu, dan biarkan Lyora menyentuh ruang terdalam dalam diri anda. Lyora: Penantian Buah Hati bakal bikin anda terharu sekaligus tersenyum di akhir cerita.