
oleh: zizi hashim
Dinobatkan sebagai Filem Seram Cina No.1 di Malaysia, Mudborn menghadirkan pengalaman menonton yang mengusik logik dan menggoncang ruang batin. Suasananya dibina dengan sabar, namun setiap adegan awal terasa seperti bisikan amaran. Ada sesuatu yang mengintai, ada sesuatu tidak kena meskipun rumah itu tampak aman. Mudborn mengikat penonton dengan naratif yang padat dan ritma seram yang tidak pernah kendur walau sesaat. Ada gemuruh yang menghimpit dada.
Sisi awal filem terasa jernih: sebuah keluarga muda yang hangat, hubungan suami isteri yang meyakinkan, serta rutin harian yang membina empati tanpa memaksa. Pereka permainan video realiti maya bernama Hsu-Chuan itu tampak seperti lelaki yang berusaha menyusun hidupnya sebaik mungkin sehinggalah kehadiran roh misteri itu mengacak-acak segala struktur bahagia yang cuba dibina. Dari bisikan halus kepada manifestasi yang lebih buas, roh itu bertindak seperti entiti yang memahami celah gelap manusia, bukan sekadar makhluk penakut yang muncul untuk menjerit di layar.


Keluarga yang menjadi pusat penceritaan tampil dengan karisma lembut; hubungan mereka terasa tulus sebelum kegelapan mula meruncing perlahan. Getirnya, reaksi mereka terhadap kejadian aneh adakalanya lebih tenang dari sepatutnya, namun barangkali itulah lumrah manusia yang sering menafikan ancaman sebelum ia menggila. Tatkala separuh babak berlalu, penceritaan mula bergelora. Roh merasuk, ritual mistik terungkai, dan persoalan tentang bagaimana “kuasa” itu berfungsi mula menimbulkan celah logik yang sukar disatukan.
Namun anehnya, Mudborn tetap berfungsi lantaran ritma, ketegangan, dan permainan emosinya cukup kuat untuk menutup lubang-lubang kecil itu. Penonton dibiar terapung antara percaya dan ragu, tetapi terus terpaku kepada layar. Sutradara Shieh Meng-Ju bermain dengan rencam suasana. Permulaan yang efektif, humor halus yang muncul sebagai penenang jiwa, kemudian perlahan-lahan menarik penonton ke pusaran cemas tanpa amaran. Adegan awal cukup berkesan, namun apabila perjalanan memasuki pertengahan, konflik spiritual yang dipaparkan menjadi lebih rumit sehingga logiknya terasa terlerai sedikit.


Namun, seperti penonton Taiwan dan Malaysia nyatakan, kekacauan itu ditampal dengan aksi yang deras dan tegangan yang tidak memberi peluang untuk mempersoalkan. Keputusan memperkenalkan 'Pakar Tangkal' di babak akhir memang memecah persepsi; meski wataknya klise, ketegangannya tetap memikat. Ada lubang cerita, ada simbol yang terlalu melodramatik tetapi momentum filem berpacu laju sehingga banyak kelemahan menjadi kecil di tengah pusaran ketakutan yang dibina. Ada yang menganggapnya terlalu berlebih-lebihan; ada pula yang menganggap ia menyuntik tenaga segar ke dalam babak akhir.
Apa pun, dari titik itu, naskhah bergerak laju seperti badai, menghanyutkan segala rasional demi memberi laluan kepada debaran. Kalau menurut saya, kekuatan Mud Born jelas terletak pada keupayaannya mencipta seram yang efektif: gelap, tegang, namun menghiburkan. Jika anda peminat filem Insidious, Annabelle, atau The Exorcist, naskhah ini mengulang semangat klasik genre seram tetapi dengan sentuhan Asia yang lebih kelam dan visceral. Tak hairanlah di Malaysia, filem ini melonjak menjadi kegilaan penonton. Mungkin kerana keberkesanan seramnya yang tidak bertangguh dan ketegangan yang dirasakan dari awal hingga akhir.


Meski rekaan bunyi dan visualnya meminjam semangat filem klasik seperti The Exorcist, namun Mudborn sejatinya berdiri pada identiti moden: nadi urban, estetika fantasi Cina, dan montaj ritual yang sengaja diolah megah agar tampak kerasukan budaya pop seram Asia. Ia bukan naskhah sempurna, tetapi cukup kuat untuk menjadi perbualan ramai. Akhir filem pula membawa rasa perit yang lembut: pahit, futuristik, dan penuh dilema moral. Kesan akhir itu membuatkan penonton termenung, bertanya apakah yang akan terjadi pada keluarga itu, dan ke mana arah kisah ini selepas post-credit scene yang menyelinap masuk seperti amaran kedua.
Namun, di balik segala pujian, Mudborn turut menerima kritikan yang lantang: karektor wanita yang tipis seperti helaian tisu, stereotaip 'ibu penyayang' dan 'bapa yang cuba menjadi hero', serta aksi eksorsisme yang dilihat terlalu berlagak hingga mencairkan konsep folklore sebenar. Nada “fantasi pseudo-mistik” itu membuat sesetengah penonton merasa jauh daripada kekuatan seram tradisi yang diharapkan. Meskipun begitu, gambaran trauma keluarga, keretakan hubungan, dan ancaman terhadap seorang isteri yang bakal melahirkan membuat filem ini tetap mempunyai inti emosi yang mengikat.


Mengalir seperti mimpi buruk yang tumbuh perlahan, Mudborn memerangkap dalam senyap kemudian mencengkam tanpa peringatan. Dunia realiti maya, tanah liat purba dan jiwa manusia bertaut seolah-olah setiap pergerakan kamera mengingatkan kita bahawa kejahatan tidak selalu datang dalam bentuk yang lantang. Terkadang ia sekecil retakan pada boneka yang dibawa pulang tanpa sengaja. Hsu-Chuan, dengan raut lelaki yang cuba sekuat mungkin mengekalkan rasional, berasa dunianya semakin menggelongsor keluar dari genggaman.
Muhua pula, yang asalnya tenang, lembut dan berdedikasi sebagai penjaga artifak perlahan-lahan berubah. Tubuhnya menjadi ruang tak diundang untuk sesuatu yang lebih tua, lebih purba, lebih mengidamkan daging manusia daripada kasih sayang. Penceritaan Mudborn bersifat organik, tumbuh dari akar budaya seram Cina yang kaya dengan pantang larang, namun diberi sentuhan moden melalui latar VR dan dunia teknologi. Keunikannya terletak pada gabungan dua dunia itu, tradisi dan futurisme, yang saling bergeseran hingga mencipta ketegangan baru.
Saya suka ritma penceritaan Mudborn yang cekap, saspensnya yang tidak pernah mati dan kesan seramnya yang terus menghantui. Menyingkap apa akan terjadi apabila teknologi menyentuh sesuatu yang tidak seharusnya diganggu, apabila sejarah lama menagih balasan, dan apabila keluarga menjadi benteng terakhir melawan kegelapan. Itu semua rasa-rasanya cukup untuk membuat tidur malam jadi resah. Setiap ketakutan, setiap jeritan, setiap pegangan tangan antara Hsu-Chuan dan Muhua membawa kita kembali kepada pertanyaan yang pedih: berapa jauh seseorang sanggup pergi demi melindungi insan yang dicintai?
Penonton yang menggemari filem seram seperti Annabelle, Insidious, atau The Conjuring akan menemui ruang yang akrab dalam naskhah ini tetapi dengan warna budaya Asia Timur yang lebih flamboyan dan dramatik. Secara keseluruhan, Mudborn ialah sebuah pengalaman yang bergerak dari cemerlang ke kacau-bilau, kemudian kembali memanjat ke puncak menegangkan. Ia menjadikan pawagam seperti medan ritual, dan penontonnya sebagai saksi tanpa pilihan. Pahit, menghantui, namun indah dengan caranya sendiri.
Membuka potensi kesinambungan dunia Mudborn seolah bumi masih belum selesai mendedahkan kegelapan, saya akui telah melalui pengalaman seram yang optimum: sengit dan menggerunkan sepanjang durasi 111 minit. Filem ini bukan hanya menakutkan; ia meragut nafas penonton dengan emosi yang tiba secara senyap dan menghunus dari dalam. Jangan ketinggalan untuk merasakan sendiri remang seram Mudborn bermula 27 November 2025 di pawagam berdekatan anda!