Membawa Rahsia Yang Mengubah Ritma Keluarga, 'Ninavau' Buka Ruang Wacana Mendamaikan Perbezaan

oleh: zizi hashim

Gementar langkah Ninavau saat tiba di KKIA, membuka semula pintu kenangan yang sekian lama tertutup oleh jarak dan waktu. Senyuman ayah menyambutnya, namun di balik keakraban itu, wujud getaran halus yang hanya dirasakan oleh anak yang membawa pulang rahsia tersimpan dalam diam. Rahsia yang jarang berani bincang. Filem arahan sutradara Bebbra Mailin ini menangkap momen-momen kecil sebegini, detik yang tidak meletup secara dramatik, tetapi meresap perlahan ke dasar hati.

Inspirasi kisah benar menjadikan naskhah ini hidup dengan kejujuran yang tidak dibuat-buat. Setiap gerak Ninavau, setiap renungan bapanya, terasa seperti serpihan jiwa yang pernah dikutip pengarahnya sendiri. Bebbra dibesarkan dalam keluarga Kristian Katolik di Sabah, dan ketika memilih Islam pada 2020, konflik batin yang lahir antara keluarga, iman dan identiti menjadi bahan bakar kepada naskhah ini. Ninavau pada asalnya ialah filem pendek yang pernah memenangi Best Short Film di MIFFest 2019, sebelum diberi ruang bernafas sebagai filem cereka penuh.

Dari situ, ia tumbuh menjadi karya panjang yang lebih matang, lebih berani, namun tetap lembut dalam penyampaiannya. Perjalanan Ninavau tidak dibina dengan dialog berat atau konfrontasi meninggi suara; ketegangannya hadir melalui renungan panjang, suapan makanan yang ditolak perlahan, dan cara ayahnya berbicara tentang aktiviti gereja seolah mahu mengikat kembali anaknya pada tradisi lama. Yang menyentuh bagi saya bukan lontaran dialog, tetapi ruang-ruang diam yang menyimpan makna.

Secara peribadi, filem ini terasa cukup dekat dengan saya kerana kakak ipar saya sendiri yang berasal dari Borneo memeluk agama Islam 23 tahun yang lalu. Detik di meja makan ketika 'Sinalau Bakas' dihulurkan terlihat relatif. Renungan keluarga yang cuba memahami sesuatu yang di luar kebiasaan mereka, dan momen di mana identiti terbelah tetapi kasih masih ingin bertahan. Ninavau hanya memandang. Banyak yang ingin dijelaskan, tetapi lidahnya terkunci oleh kasih sayang yang masih belum sanggup dilukai dan keberanian yang masih belum terjumpa.

Sinematografi Bayu Prihantoro Filemon menghadirkan Sabah seperti halaman puisi, menghasilkan bingkai-bingkai yang hening tetapi sarat emosi.. Desa yang sunyi, langit yang luas dan rumah keluarga yang memeluk sejarah.  Setiap sudut rumah kayu, setiap cahaya jingga dari dapur, setiap tatapan frontal memperlihatkan wajah-wajah terluka yang seakan meminta penonton untuk menjadi saksi, bukan hakim, tetapi pendengar kepada konflik jiwa seorang wanita.

Warna filem ini pula berdenting antara tona hangat rumah kampung dan kebiruan yang menandakan kesunyian batin. Setiap bingkai terasa seperti lapisan emosi yang menunggu untuk dikupas. Skor muzik yang dirakam di Freedom Studio Infinity, Tokyo embawa lapisan sonik yang lembut, memberi suasana melayang seolah-olah suara hati Ninavau berdengung dari jauh, mencari jalan pulang. Ia mengikat Sabah dan dunia luar dalam satu atmosfera yang saling melengkapi, memperlihatkan bagaimana perjalanan hidup seseorang tidak pernah statik pada satu ruang budaya sahaja.

Rekabunyi Mohsin Othman pula memanfaatkan kesenyapan, menjadikan desiran angin, langkah kaki, dan dengusan nafas sebagai bahasa kedua dalam penceritaan. Pemenang dua kali FFM ini menambah kedalaman pengalaman kerana percaya terkadang diam lebih melukakan dan filem ini membuktikannya. Meski tiada adegan ganas atau seksual, Ninavau menerima klasifikasi P16, sesuatu yang menurut penerbit, Muzzamer Rahman, mungkin kerana sensitiviti isu yang disentuh. Pihak produksi sendiri telah menapis skrip dengan teliti sebelum dihantar ke LPF, malah satu adegan yang berpotensi dimanipulasi telah dibuang secara sukarela. Filem ini tidak mencari kontroversi; ia mencari kejujuran.

Barisan pelakon sepenuhnya dibentuk oleh bakat Sabah seperti Jovenea Jim, Edward Sinsong, dan Tati Eliana Tonny, disertai Fatimah Abu Bakar dan Hasnol Rahmat sebagai rencah pengalaman. Setiap daripada mereka membawa keaslian yang jarang terlihat dalam filem arus perdana. Ninavau berjaya menjadi filem pembuka MIFFest 2025, dan turut terpilih ke Festival Filem Madani Indonesia. Karya sebegini jarang muncul, sebuah filem yang merakam tanya, bukan menjawab; yang mengajak penonton merenung diri sendiri melalui konflik orang lain.

Apa yang paling saya simpan selepas menonton sebenarnya bukanlah konflik tentang agama semata-mata, tetapi tentang bagaimana seorang anak belajar berdiri antara cinta dan prinsip. Pertalian darah tetap mengalir, meski keyakinan berubah bentuk. Malah filem ini membuka ruang wacana tentang penerimaan masyarakat, keterbukaan keluarga, dan bagaimana Malaysia (dengan segala kepelbagaian) masih bergelut mendamaikan perbezaan. Oh ya, dalam masa yang sama, ayahnya turut menyimpan rahsia besar yang perlahan-lahan terbongkar seiring masa berjalan. Biarlah saya tak mahu spoiler, anda wajib tonton untuk mengetahui rahsia besar apakah itu.

Ninavau memurnikan tema homecoming dengan cara baharu. Ia tidak memaksa resolusi, tidak menengking mesej; ia hanya mengajak penonton merasa. Dan mungkin itu yang menjadikannya salah satu karya paling signifikan tahun ini, sebuah kisah kecil dari Sabah yang membuka perbualan besar tentang siapa kita sebagai negara. Namun pada inti paling lembutnya, Ninavau ialah cerita tentang pulang ke tempat yang kita cintai, tetapi tidak pasti sama ada masih layak menjadi milik kita. Pulang ke rumah yang pernah membentuk kita, sambil membawa versi baru diri yang mungkin mereka tidak mengerti. Bebbra Mailin menjahit naratif ini dengan kehalusan seorang wanita yang memahami bagaimana diam pun mampu membawa badai.

Ketika hujan renyai turun di luar jendela, Ninavau dengan telekung putihnya sedang duduk antara dua sujud. Pintu tidak tertutup rapat. Pasu bunga baru mekar di sisinya. Simbol bahawa kehidupan sentiasa menemukan jalannya, meskipun antara dua dunia, dua iman, dan dua harapan. Filem ini tidak memaksa penonton memilih sisi. Ia hanya mengajak kita memahami bahawa keluarga boleh terluka kerana cinta, dan seseorang boleh memilih agama kerana kebenaran dalam dirinya.

Ini bukan filem tentang perbalahan; ini filem tentang keberanian, tentang mencari ruang untuk berdiri tanpa menyingkirkan kasih sayang. Saya terfikir, barangkali yang paling sukar dalam hidup bukan memilih jalan, tetapi memegang tangan orang yang kita sayang sambil melangkah ke arah yang bertentangan. Ninavau bakal menghuni pawagam seluruh Malaysia bermula 4 Disember 2025. Mari menjadi saksi perjalanan seorang wanita yang berjuang antara hati, prinsip dan asal-usulnya. Jom sokong karya yang jujur, sensitif dan berani membuka bicara tentang identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Jom tonton filem kita, wajah kita!