Konon 'Azimat' Bawa Tuah Atau Penawar Nasib Malang, Sebaliknya Malah Undang Mimpi Ngeri

oleh: zizi hashim

Suatu getar halus muncul sebaik nama Azimat disebut. Cerita yang lahir dari Bumi Kenyalang ini membawa aroma hutan basah, mitos lama, dan desahan jiwa yang tidak pernah selesai. Menonton filem ini terasa seperti memasuki ruang rahsia seseorang yang dipenuhi bisikan trauma, bayangan yang memerhati, dan keinginan untuk diselamatkan meski dengan cara yang cukup berisiko. . Kisah mengenai kepercayaan terhadap azimat dan trauma jiwa terasa dekat, meremang, mengundang rasa simpati dan takut secara serentak. Filem ini berhasil menjelmakan rasa itu dengan cara yang lembut tapi mencengkam.

Azimat karya Kay Rezza Karim tidak mengejar teriakan murahan; film ini merambat perlahan, seakan tangan yang dingin menyentuh bahu ketika kita tidak bersedia. Gaya penceritaannya mengikat rapat unsur psikologi dan mistik tempatan, sebuah kombinasi yang jarang dipersembahkan dengan sedemikian teliti dalam sinema Malaysia. Faktanya, naskhah ini dibina dari satu soalan yang berat: berapa jauh manusia sanggup menggantung harapan pada sesuatu yang tak terlihat? 

Azimat lahir bukan sekadar untuk menakutkan tetapi untuk menggali trauma, kepercayaan dan nasib manusia. Jalan cerita mengajarkan bahawa kadang-kalau kita terlalu menggantung harapan pada benda ghaib, kita lupa bahawa luka sebenar ada di dalam diri dan bayangannya ikut menyeret jiwa. Filem ini memberitahu: azimat mungkin pelindung, tapi kadang juga gerbang ke dalam rimba kegelapan. Menariknya, seluruh produksi, dari pelakon sehinggalah kru, majoritinya adalah anak jati Sarawak. Energi itu terasa di layar; Azimat bukan sahaja sebuah filem, tetapi cerminan keupayaan sinema Borneo untuk berdiri megah.

Disitulah yang buat filem ini terasa organik, dekat dan penuh identiti. Setiap dialog bercampur bahasa Melayu Sarawak, Iban dan Inggeris, berlari dari bibir pelakon dengan naluri, bukan hafalan. Lokasi penggambaran di Kuching bukan dipilih secara kebetulan: ia membawa roh budaya, sentuhan tradisi, dan identiti unik Sarawak ke layar perak menjadikannya lebih dari sekadar filem seram, ia adalah potret jiwa dan warisan. Kay Rezza memilih lokasi penuh tekstur budaya: rumah tradisional, lorong sunyi, hutan yang menyimpan banyak kisah, membina atmosfera yang menggetarkan tanpa perlu bantuan efek yang berlebihan.

Kay Rezza menumpukan filem kepada keresahan wanita bernama Hanna, satu watak yang terasa hidup, rapuh dan amat manusiawi. Lakonan Dee Dee Aine Peter memberikan jarak antara kekuatan dan ketakutannya; ada masa dia tampak seperti hendak pulih, tetapi di saat lain, jiwanya seolah digenggam sesuatu yang bukan dari dunia kita. Filem ini juga menyentuh isu yang jarang diangkat: bagaimana kepercayaan boleh jadi pedang dua mata. Ia boleh memulih, tapi juga boleh memusnahkan. Itulah intipati Azimat, bukan hanya menakutkan tetapi renungan.

Keseraman Azimat bukan datang daripada hantu yang melompat keluar. Ia tumbuh daripada kesunyian. Daripada trauma yang dipendam. Daripada ilusi keselamatan yang kita cipta sendiri. Beberapa babak khususnya benar-benar menggigit, Hanna berdiri di bilik gelap hanya mendengar suara halus memanggil namanya, atau saat azimat itu sendiri tampak 'bernyawa', mengawal ritma emosi Hanna. Meski padat dengan unsur spiritual, filem ini sangat realistik dari segi psikologi: ia memaparkan bagaimana seseorang yang terdesak mudah mempercayai 'penyelamat' yang akhirnya menghancurkannya dari dalam.

Sinematografi Azimat terasa seperti hela nafas yang tidak pernah benar-benar stabil, ada getarnya, ada keresahannya. Setiap bingkai digarap untuk mengingatkan penonton bahawa dunia Hanna sentiasa terancam meski dalam sunyi. Kamera sering bergerak perlahan, mengekori langkahnya dari belakang; meski sesuatu itu tidak terlihat mengekori, mengintai atau memerhati. Sudut-sudut sempit di dalam rumah, lorong-lorong lembap, serta daerah Sarawak yang sunyi, semuanya dirakam dengan kesedaran halus terhadap ruang dan ketakutan. Visualnya tidak menjerit; ia meresap.

Dibiarkan sedikit kusam, begitulah perumpamaan colour grading yang telah disedut jiwanya. Paletnya banyak berkisar pada ton tanah, kehijauan kelam dan biru yang mendalam; memberikan impresi bahawa setiap adegan berada di antara dunia nyata dan ruang batin yang penuh luka. Cahaya sering memancar samar, seperti harapan kecil yang terperangkap di dalam kabut trauma. Ia memberi tekstur emosi, seolah hidup Hanna dibasuh oleh nasib malang yang panjang.

Kay Rezza turut berkongsi bahawa penggambaran selama 37 hari disertai insiden pelik seperti bunyi aneh dan peralatan terganggu seolah-olah dunia filem menembusi realiti. Bunyi tak dijangka, gangguan peralatan, dan pengalaman mistik kru sendiri. Rasanya, pengalaman ini memberi tenaga tambahan pada filem seperti kalau dunia nyata ikut bertindak sebagai latar belakang mistiknya. Itu menjadikan takutnya lebih realistik dan getarnya lebih mendalam.

Muziknya menambah lapisan getir, menjadikan setiap babak lebih rapat di dada, lebih besar kemungkinan memanggil memori, ketakutan, dan persoalan tentang apa yang sebenarnya memburu Hanna: azimat itu, atau dirinya sendiri? Secara keseluruhan, gaya visual dan bunyi Azimat bukan hanya memperkuat naratif, tetapi membina sebuah atmosfera sarat misteri, seolah penonton turut berjalan dalam kabus tebal yang memerangkap jiwa Hanna. Jika anda seorang pencinta filem seram yang menghargai craft, bukan sekadar jump scare, maka Azimat menawarkan sesuatu yang lebih bertekstur, lebih merasuk dan lebih hidup. 

Biarpun naskhah ini dibina sebagai fiksyen, warnanya jelas diinspirasi kisah nyata masyarakat, kisah orang yang mengejar perlindungan walaupun bayaran emosinya terlalu tinggi. Pada akhirnya, rasa yang tertinggal bukanlah seram semata-mata. Yang tinggal ialah kesedaran bahawa kadang-kadang, azimat paling berbahaya adalah yang kita percaya sepenuh hati.  Karya ini wajib ada dalam senarai tontonan. Jika mahu merasai seram yang bersifat mental dan spiritual, Azimat adalah undangan ke dunia yang jarang dibuka kepada umum.

Menonton Azimat seperti menyentuh luka lama kita dicelah antara harapan dan was-was, antara kepercayaan dan ketakutan. Untuk penonton yang mencari lebih dari sekadar menjerit dalam gelap, yang mahu rasa, hayati, dan mungkin renung diri, Azimat sesuai untuk anda. Filem ini adalah bisikan jiwa, doa terpendam, dan bayang masa lalu yang tak boleh dilupakan. Bakal menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 27 November 2025, Azimat adalah untuk pencinta mistik tempatan, sinema psikologi, dan filem yang membawa jiwa Sarawak ke layar perak.