Rumah Kosong Tanpa Jiwa, 'Siccin 8' Dalam Bayangan Legasi Seram yang Kian Suram

oleh: zizi hashim

Saya masih ingat bagaimana kali pertama mendengar nama Siccin, ia disebut-sebut sebagai siri yang begitu berani dalam menggabungkan realiti spiritual masyarakat Turki dengan kengerian sinema. Setiap naskhah terdahulu dipuji kerana melanggar batas visual, melemparkan penonton ke dunia sihir hitam, jin, dan sumpahan keluarga dengan cara yang tidak pernah dibuat oleh filem seram arus perdana. Justeru, ketika memasuki pawagam untuk Siccin 8, saya datang dengan ekspektasi tinggi mengharap ritual ngeri yang bakal melekat di fikiran, seakan-akan bekas luka yang tidak sembuh. Tetapi layar yang terpampang malam itu hanyalah ruang kosong, seperti rumah lama yang bergema dengan suara tetapi kehilangan roh.

Kisahnya berpusat pada Fatih (Fatih Gülnar) yang bersetuju dengan cadangan isterinya, Berna (Melike Balçk), untuk menghantar ibunya yang uzur ke rumah jagaan orang tua. Keputusan kecil itu menjadi titik mula malapetaka apabila ibu mertua, Gönül (Gönül Ürer), kembali dengan sesuatu yang jauh lebih gelap daripada sekadar dendam. Dari sudut konsep, premis ini memiliki potensi besar. Pertembungan antara dosa keluarga, penyesalan, dan gangguan ghaib. Namun pengisahannya gagal mencengkam.  Adegan-adegan disusun longgar, seperti helai benang yang tidak pernah dijahit menjadi kain. Naratifnya tidak pernah menajam, sekadar mengulangi pola lama tanpa ada keberanian untuk menolak lebih jauh.

Kelemahan paling ketara ialah pada atmosferanya. Siccin pernah dikenali dengan kengerian yang ekstrem, visual mengganggu yang membuat perut penonton berombak, serta ritual mistik yang memberi nuansa realistik. Tetapi dalam edisi kelapan ini, semua itu terasa jinak. Bunyi latar dipukul berulang tanpa kreativiti, efek visual tampak murahan, malah babak seramnya tidak lebih daripada bayangan yang sudah dijangka. Setiap kali sepatutnya saya menjerit, yang lahir hanyalah helaan nafas kecewa. Dialognya pula hambar, seperti dihafal tanpa jiwa, menjadikan watak-wataknya sekadar patung yang bergerak.

Saya rasa tertipu apabila melihat trailer yang agak seram dan membuat saya terpanggil untuk membeli tiket dan menonton Siccin 8. Pulangkan duit saya! Namun begitu, saya tidak menafikan masih ada detik yang menyelamatkan. Tatapan dingin Gönül Ürer benar-benar meninggalkan kesan, seakan sepasang mata yang membawa rahsia zaman purba. Kehadiran Aylin (Hatice Irkin) dan Ela (Masal Aksel) juga memberi sentuhan manusiawi yang kecil tetapi tulus. Malangnya, kilauan itu cepat padam kerana jalan cerita dan pengarahan gagal membiarkan mereka bersinar lebih lama.

Sebagai penonton, saya tidak dapat mengelak daripada membandingkan Siccin 8 dengan filem seram Indonesia seperti Pengabdi Setan atau Kafir, yang berjaya menyeimbangkan naratif keluarga dengan teror spiritual. Di sana, kengerian bukan sekadar kesan bunyi atau wajah menyeramkan, tetapi berakar pada emosi yang dekat: rasa kehilangan, penyesalan, dan cinta yang terhimpit oleh kuasa gelap. Siccin 8 sepatutnya boleh berdiri di medan yang sama, namun ia memilih jalan pintas dengan bergantung pada formula lama tanpa roh baharu.

Yang membuatkan sayapaling kecewa ialah hakikat bahawa ini kali pertama sayamenonton Siccin di layar besar. Saya masuk dengan semangat untuk mengenali warisan seram Turki yang kononnya tidak berkompromi. Saya mahu digoncang, digigit, dan ditinggalkan termanggu-manggu selepas lampu pawagam menyala. Tetapi yang tersisa hanyalah kehampaan. Filem ini tidak pernah benar-benar menakutkan; ia sekadar bayang-bayang samar daripada legasi besar yang suatu masa dahulu digeruni. Langsung tidak seram! Hanya jeritan entah apa-apa yang tak faham biji butirnya.

Akhirnya, Siccin 8 terasa seperti rumah berhantu yang masih berdiri gagah, tetapi sudah lama ditinggalkan penghuninya. Bayangan memang ada, gema masih kedengaran, namun jiwa yang seharusnya menjadikan rumah itu hidup sudah pun pergi. Kalau menurut saya, ini bukan sekadar filem seram yang gagal, tetapi juga peringatan pahit bahawa bahkan nama besar sekalipun boleh kehilangan taring jika terlalu lama bergantung pada mitos lama.

Namun mungkin pendapat saya terlalu keras. Barangkali ada yang masih mampu menemui sisi seram yang sayatidak rasa, atau merasakan nadi kengerian di celah-celah kehampaan yang sayalihat. Kerana itu saya tetap mahu menyeru: tontonlah Siccin 8 di pawagam, dan nilailah dengan mata sendiri. Siapa tahu, di mana saya hanya melihat rumah kosong, anda mungkin menemukan roh yang masih belum mati. Sudah ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 11 September 2025.