Pesona Visual Memukau 'How To Train Your Dragon' Adaptasi Aksi Nyata Dan Re-Imagi Yang Cantik

oleh: zizi hashim

Terlalu mudah untuk mencurigai filem adaptasi aksi nyata, apatah lagi apabila ia lahir dari naskhah animasi yang begitu dicintai. Namun, 'How To Train Your Dragon' (HTTYD) versi terbaharu ini yang kini menjejak bumi dengan nyawa baharu membuat saya terpaku. Dengan lembut, tulus dan jujur, filem ini telah menambat jutaan jiwa, sekaligus menyapa saya dengan cara yang saya sendiri tidak duga. Datang dengan ekspektasi sederhana kerana saya kira dunia sudah terlalu sarat dengan adaptasi yang mengecewakan, kosmetik indah tapi jiwa kosong. 

Begitu pun saat awal mukadimah filem ini saya tahu ada sesuatu yang berbeza. Sinematografinya bukan hanya memukau mata, ia memahat rasa. Langit Berk terbentang megah, seakan-akan mengundang saya masuk ke dalam dunia yang tidak asing, tetapi kini terasa lebih intim dari sebelumnya. Dean DeBlois, sutradara asal trilogi animasi, kembali menyambung legasi menakhoda naratif ini bukan sekadar dengan rasa hormat, tetapi dengan sepenuh jiwa raga.

Pertemuan pertama Hiccup dengan Toothless membuat saya menggenggam jari jemari saya sendiri. Saat mereka membina kepercayaan, saya sendiri terperangkap dalam keindahan hubungan itu yang tidak dibina atas kuasa atau kehebatan fizikal, tetapi keberanian untuk memahami apa yang ditakuti. Tepukan spontan daripada penonton ketika babak itu ditayangkan adalah bukti bahawa filem ini mengalir selari dengan degup jantung mereka yang menyaksikan. Saya juga, di bangku pawagam, turut sama menahan dada yang berombak kerana kagum dan terharu.

Mason Thames sebagai Hiccup adalah pilihan yang begitu mengesankan. Wajah mudanya membawa raut resah dan azam yang kita semua kenali, perasaan mahu menjadi sesuatu yang berbeza daripada yang ditentukan dunia. Dia tidak melawan dengan senjata, tetapi dengan empati. Dan kerana itu, saya percaya padanya. Toothless pula, meskipun hadir dalam bentuk lebih realistik, tidak kehilangan sisi comel dan mempesona. Reka bentuk naganya cermat, menjaga keseimbangan antara fantasi dan kredibiliti visual. Mereka bukan sekadar binatang bersayap, tetapi simbol kepada segala yang kita takutkan, tetapi dalam diam ingin mendekati.

Visualnya? Cukup memukau. Bukan semata-mata cantik, tetapi dibina dengan kelembutan yang mampu menghidupkan landskap Berk dengan denyut emosi. Tidak terbeban oleh keinginan untuk melampaui asal usulnya, HTTYD tidak tergesa-gesa untuk menambah sesuatu yang baharu demi kelainan. Sebaliknya, ia mengekalkan segala yang penting dan hanya memperhalusi, seolah-olah menyentuh semula lukisan lama dengan sapuan warna yang lebih abstrak. Ada kritikan yang mengatakan tambahan baharu dalam naratif ini tidak begitu menyerlah bagi saya terasa tidak adil kerana yang penting, jiwa filem ini kekal utuh dan murni.

Saya kehilangan kiraan berapa kali air mata menitis. Harus saya akui, filem ini, entah bagaimana, menjentik setiap ruang emosi. Ada kesyahduan yang tak mampu dijelaskan dengan logika ketika menonton filem ini. Mungkin kerana di sebalik naga dan Viking, filem ini adalah kisah tentang menjadi diri sendiri. Tentang keberanian untuk memilih jalan yang tidak disukai orang tua, tentang kasih sayang yang tidak selalu terucap tetapi hadir dalam setiap gerak geri. Dan saya kira, kita semua, samada kita sedar ataupun tidak, pernah menjadi Hiccup dalam kehidupan sebenar kita.

Gerard Butler sebagai Stoick membawa beban jiwa seorang ayah dengan cemerlang. Hubungannya dengan Hiccup menyentuh tema universal, bahawa kasih seorang bapa tidak selalu tampil dalam bentuk pelukan, tetapi dalam pertarungan yang sunyi antara harapan dan kebimbangan. Dan saya, sebagai penonton, merasai pergelutan itu di dalam dada saya sendiri.

Muzik latar filem ini pula seperti hembusan angin di tengah malam. Menenangkan, tetapi menyimpan gema yang mendalam. Skor muziknya tidak memaksa, tetapi melengkapi. Ia membungkus keseluruhan naratif dengan selimut emosi yang lembut tetapi menyengat.

Tidak semua filem perlu menyentak dengan kejutan besar. Kadang-kadang, kekuatan tersembunyi dalam detik-detik kecil seperti cara Hiccup menyentuh Toothless buat pertama kali, atau nada suara Stoick yang serak dengan harapan yang tak terucap. Kesetiaan filem ini terhadap nadi asalnya harus dipuji. HTTYD memilih kekal dengan sedikit pelarasan yang cukup halus untuk disedari dan tidak mengganggu keutuhan jiwa filem.

Jujur, filem ini lebih daripada re-imagi cantik atau setia. Ia adalah kisah bagaimana keberanian tidak selamanya berwajah garang, dan bagaimana seekor naga boleh menjadi guru tentang erti menjadi manusia. Saya tidak hanya menonton filem tentang naga. Dalam masa yang sama, saya belajar tentang kasih yang melepaskan, tentang keberanian yang sunyi, dan tentang jiwa yang tahu memilih pengertian berbanding penguasaan.

Sehingga kini, hati saya masih tertinggal di Berk. Masih ada rasa enggan melepaskan, seolah-olah saya sendiri baru turun dari menunggang di belakang Toothless. Dan ya, seperti ramai yang lain, saya juga pulang dengan satu harapan kecil di dada... alangkah indahnya jika saya juga punya seekor Toothless! Tayangan di pawagam bermula 7 Jun 2025, ada cerita yang tidak perlu dicipta semula untuk menjadi hebat. Cukup disampaikan semula dengan cinta yang tulen dan 'How to Train Your Dragon' telah melakukan itu dengan cukup gemilang.